Pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa dan merubah kehidupan yang takkan lagi sama seperti sebelumnya. Ada anak kehilangan ayah, cucu kehilangan atok mahupun nenek, isteri kehilangan suami dan sebagainya. Begitu juga perancangan yang diatur sebaik mungkin terpaksa ditunda demi mengutamakan keperluan yang lebih penting. Lebih-lebih lagi apabila terlibat sebagai petugas barisan hadapan.
Besar pengorbanan petugas barisan hadapan, diri berhadapan dengan risiko setiap kali menjalankan tugas. 8 hari berjuang melawan jangkitan Covid-19, takdir menentukan doktor muda ini menghembuskan nafas terakhirnya sekaligus meleburkan impiannya untuk mendirikan rumahtangga bersama tunang tersayang.
Tangguh Nikah
Seorang doktor muda yang sebelum ini sanggup menangguhkan pernikahan demi merawat pesakit Covid-19, maut akibat wabak berkenaan, Sabtu lalu.
Dr Michael Robert Marampe, 28, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Rumah Sakit Polri Kramat Jati di Bogor.Berita kematiannya disahkan Pengurus Besar Ikatan Doktor Indonesia (IDI), Dr Halik Malik.
Ads
Mendiang Dr Michael Robert Marampe
Rancang Nikah 11 April
Dr Michael yang sebelum ini bertugas di Rumah Sakit Permata Bunda, Cibitung, Bekasi, pada awalnya merancang bernikah dengan gadis pilihannya, pada 11 April lalu.
Bagaimanapun, beliau menunda tarikh perkahwinan itu kerana perlu bertugas susulan penularan wabak Covid-19 di Indonesia. Tribune.news.com melaporkan Dr Michael juga berhasrat memperdengarkan lagu ciptaannya buat pertama kali untuk isteri pada majlis pernikahan mereka.
Disamping tunang tersayang dan kad undangan perkahwinan yang telah ditunda tarikhnya.
Sempat Beri Kata Semangat
Selain itu, ketika menerima rawatan, Dr Michael sempat memberikan kata semangat kepada rakan seperjuangan di barisan hadapan yang masih bergelut merawat pesakit.
Ads
Doktor itu dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan dan menerima rawatan selama lapan hari di hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Dalam pada itu, Dr Halik memaklumkan setakat ini, 24 doktor di seluruh republik itu meninggal dunia akibat Covid-19.Setakat jam 3 petang semalam, Indonesia merekodkan 8,882 kes jangkitan dengan 743 kematian.
MW: Besar jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan, sanggup memberi khidmat, mengutamakan nyawa orang lain hingga diri sendiri tergadai. Semoga pihak keluarga mendiang, terus kuat dan tabah menghadapi ujian ini.
Pereka fesyen popular, Ezuwan Ismail teruja apabila berpeluang mereka busana buat penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw bersempena dengan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung malam tadi di Axiata Arena Bukit Jalil baru-baru ini.
Menurut Ezuwan, kesudian penyanyi lagu Gantung itu untuk menyarung persalinan ilham pereka tempatan buat julung kalinya sebagai satu penghargaan besar buat dirinya.
“Melly sudah melihat busana Ezuwan Ismail Kuala Lumpur yang dipakai oleh penyanyi, Aina Abdul ketika membuat persembahan di dalam sebuah majlis anugerah pada Februari lalu.
“Kebetulan ketika itu dia disolek oleh jurusolek Epie Termerloh yang bertanya sama ada dia berminat untuk cuba guna khidmat pereka tempatan sekiranya membuat persembahan di Malaysia selepas ini.
Foto: Kredit Bangsawan Pictures
“Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini.
“Satu penghormatan bila dia terus nak pakai baju pereka tempatan kita dalam satu persembahan skala besar. Rasa teruja campur berdebar bila berpeluang untuk berkarya seterusnya reka baju figura terkenal Seberang seperti Melly Goeslaw.
“Iyalah bukan senang nak dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini,” katanya.
Busana Paling Mahal
Berkongsi mengenai rekaan tersebut, Ezuwan menjelaskan baju yang direka adalah yang termahal pernah dihasilkan untuk mana-mana selebriti setakat ini.
“Sesuai dengan karektor dan personaliti Melly, Saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.
“Lebih 70,000 manik dan mutiara telah digunakan yang makan masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan. Kalau dijual di pasaran, harganya sekitar RM130,000 dan mutiara pelbagai saiz itu juga telah dibeli dari luar negara.
“Memang mahu cipta satu kelainan yang eskklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah ‘signature’ Ezuwan Ismail Kuala Lumpur.
“Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi ‘fitting’ dilakukan. Satu penghormatan juga bila Melly menyarung ia pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya telah dipersembahkan pada segmen itu.
“Malah sudah semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail Kuala Lumpur hasilkan sebab sebelum ini saya sudah mereka persalinan ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain.
“Syukur atas pelbagai maklum balas positif yang diterima. Saya anggap ini rezeki dan sudah semestinya pencapaian baik ini menjadi pembakar semangat untuk Ezuwan Ismail Kuala Lumpur terus mencipta sukses selepas ini, insya-Allah,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap hari lambakan kes bayi dibuang merata-rata dengan cara yang cukup menyayat hati.Ada yang dibuang di tong sampah, dibunuh kejam dalam lubang tandas, ditinggalkan dalam semak digigit semut dan binatang liar.
Dilahirkan berpunca akibat terlanjur berzina, mangsa rogol dan sebagainya. Kebanyakan mangsa mungkin takut, malu, buntu atau tidak tahu tempat untuk dituju ‘membuang’ bayi dengan selamat. Menerusi tempat perlindungan ‘baby hatch’, bayi-bayi ini dapat diselamatkan sekaligus memberi kehidupan lebih baik buat mereka.
1. Boleh bawa bayi tersebut ke Pusat Kebajikan ORPHANCARE yang ada di Petaling Jaya, Johor Bahru dan Sungai Petani.
2. Tak perlu jumpa sesiapa, luar garaj rumah ada ‘baby hatch’.
3. Masukkan bayi, PENTING isi nama dan warganegara bayi pada borang yang disediakan.
4. Identiti maklumat dirahsiakan dan bayi selamat.
5. Bayi akan dijaga dan diambil sebagai anak angkat bagi pasangan yang memerlukan.
Senarai ‘baby hatch’ di Malaysia
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Perlu ingat, baby hatch ini bukanlah menggalakkan penzinaan. Sebaliknya ia membantu bayi yang tidak berdosa ‘dibuang’ dengan selamat berbanding dibuang merata-rata dengan cukup menyayat hati. Bayi tersebut dapat diselamatkan, diberikan kehidupan kerana ramai pasangan suami isteri yang tiada anak memerlukan mereka.
Sila kongsikan maklumat ini, semoga perkongsian ini dapat membantu mereka yang memerlukan, sekaligus menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa!
Dalam kehidupan kita, sebenarnya adalah penting untuk menghargai diri sendiri dahulu barulah mengutamakan dan menghargai orang lain.Rasa seperti mementingkan diri sendiri, namun ada alasan tersendiri kita perlu bertindak demikian.
Perkara ini dikongsikan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang merupakan seorang pendakwah dan penulis buku-buku motivasi. Berikut merupakan perkongsian beliau yang wajar dijadikan renungan.
HARGAI DIRIMU DULU, KEMUDIAN BARU HARGAI ORANG LAIN
Apakah petunjuk, seseorang itu mempunyai harga diri yang tinggi?
1. Menghargai Orang Lain
Pertama, dia mudah menghargai orang lain. Sebab itu kalau kita lihat dalam kehidupan seseorang ini yang mana mereka ini mudah mesra, menghormati orang lain, boleh bergaul dengan baik dengan orang lain, itu petanda bahawa dia mempunyai harga diri yang tinggi.
Sebaliknya kalau kita lihat ada orang suka meremehkan orang lain, mengejek-ngejek orang lain, selalu memandang kecil kepada orang lain, itu petanda bukan orang lain yang diremehkan itu rendah, tetapi dirinya yang rendah.
Analoginya mudah. Hanya orang yang ada wang boleh memberi wang kepada orang lain. Begitu juga hanya orang yang punya harga diri sahaja yang boleh menghargai orang lain. Sebab itu hanya apabila kita menyayangi diri kita sendiri, barulah kita boleh menyayangi orang lain.
2.Mempunyai ‘Self Talk’ Positif
Kedua, mempunyai ‘self talk’ yang positif. Dalam masa 24 jam, sebenarnya kita lebih banyak bercakap dengan diri kita berbanding kita bercakap dengan orang lain. Petanda orang yang mempunyai harga diri yang tinggi ialah percakapan dirinya terhadap dirinya sendiri ialah percakapan-percakapan yang positif.
Bila dia dengar sahaja kuliah atau dengar sahaja tazkirah atau membaca tulisan yang bermotivasi seperti ini, ‘self talk’nya sentiasa positif;
“Input ini adalah yang terbaik untuk aku. Aku boleh amalkan dan insyaallah aku akan sampaikan kepada orang lain. Motivasi atau input-input yang baik ini akan menyinari hidupku dan aku akan buat satu perubahan yang akan memberi inspirasi kepada orang lain.”
Begitulah orang yang mempunyai harga diri yang tinggi. ‘Self talk’nya, percakapan dirinya ialah yang positif.
Tetapi malangnya ramai orang yang punyai ‘self talk’ yang negatif. 90 % yang dicakap terhadap dirinya adalah negatif. Kalau dia membaca buku motivasi suara hatinya akan berkata:
“Ala aku boleh dengar sahajalah, mana boleh aku amalkan.” Sehinggakan sampai satu tahap dia berkata; “Entah-entah orang yang menulis ini pun tidak amalkan apa yang dia tulis.”
Akibat self talk yang negatif, ramai manusia yang gagal untuk membuat perubahan ke arah kebaikan. Dia bukan didorong ke hadapan, sebaliknya sentiasa digeser ke belakang.
Oleh itu, penting sekali kita mendapat keyakinan, hasil daripada percakapan-percakapan yang positif daripada dan kepada diri kita sendiri. Sebab itu misalnya, dalam ibadah solat kita juga sebenarnya sedang mengingatkan diri kita sendiri melalui bacaan-bacaan di dalam rukun solat.
Dalam rukun qauli, bacaan surah al fatehah yang kita baca… wajib didengar oleh telinga kita sendiri. Ini satu selftalk yang positif yang mengingatkan bahawa kita hamba Allah, yang meminta pengampuna-Nya, kekuatan-Nya. Dalam duduk antara dua sujud, kita minta sihat dan kita minta hidayah dan sebagainya. Insya-Allah ‘selftalk’ ini positif, dan akan membentuk diri kita yang positif juga.
Sebaliknya, orang yang punya harga diri yang rendah, dia akan sentiasa melakukan sabotaj terhadap dirinya sendiri. Ya, kegagalan itu bermula di dalam diri kita sendiri, sebab itu kita gagal ‘menakluki’ diri kita sendiri. Justeru, sering diperingatkan bahawa kita sebenarnya perlu bertanding dengan diri kita sendiri.
“What happen in you is more important then what happen to you…” Begitu kata-kata ahli-ahli yang bijaksana. Apa yang berlaku di dalam diri kita sebenarnya lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita.
Sebab itu kita kena hapuskan sikap ‘self sabotaging habit’ ini. Kalau dibiarkan berterusan kita akan menjadi “Toxic people”, manusia beracun yang melemahkan diri sendiri dan orang lain.
Mula-mula kita sabotaj diri kita, kemudian akhirnya kita jadi ‘toxic people’ yang mensabotaj orang lain.. Kita boleh menghasut, kita boleh mengumpat dan kita boleh memfitnah orang lain hasil daripada perasaan negatif yang ada di dalam diri kita.
Orang yang memfitnah, mengumpat ialah orang yang penuh dengan racun. Orang yang sebegini tidak akan berjaya di dalam hidupnya. Dia tidak akan menyelamatkan dirinya dan dia tidak akan mampu menyelamatkan orang lain. Dia ‘membunuh’ dirinya sendiri, keyakinannya sendiri, harga dirinya sendiri dan dia tidak akan pernah membina aspirasi kepada orang lain.
3. Mampu Menyayangi Orang Lain
Ketiga, mampu menyayangi orang lain hasil dia menyayangi dirinya sendiri.
Bagaimana keadaan itu?
Saya pernah menonton satu filem tentang hari ibu. Yang mana seorang wanita tua telah ditinggalkan oleh anak-anak dan suaminya di rumah orang tua. Pada waktu itu ibu itu mengeluh, lalu berkata, “Yang paling malang dalam hidup ini apabila tidak disayangi.” Dia tidak disayangi oleh suami dan anak-anaknya.. Tetapi kawannya di sebelah menepuk bahunya dan berkata bagi membetulkan persepsi ibu tadi dengan berkata, “yang paling malang dalam hidup ini bukan tidak disayangi tetapi apabila kita tidak menyayangi.“
Punca kita tidak disayangi ialah apabila kita tidak menyayangi diri kita sendiri. Hanya orang yang menyayangi dirinya mampu menyayangi orang lain. Kalau kita tidak mampu untuk menyayangi diri kita yang paling dekat, mana mungkin kita boleh menyayangi orang lain yang ‘jauh’?
Kelihatannya seperti kita terlalu mementingkan diri?
Sebenarnya, tidak! Kita tidak mementingkan diri sendiri sekiranya kita menyayangi diri kita terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain.
Tamsilannya begini. Ketika kita menaiki kapal terbang, pramugari selalunya memberi panduan sekiranya oksigen dalam kapal terbang itu berkurangan, maka akan keluar corong yang berwarna kuning. Arahannya ialah kita perlu bernafas dahulu barulah kita membantu anak kita yang masih kecil untuk bernafas. Walaupun kita sayang anak kita, malah sanggup mati untuk mereka, tetapi aturannya ialah kita perlu ambil corong oksigen itu dan bernafas terlebih dahulu baru kita bantu anak kita bernafas.
Apa maksudnya?
Hanya orang yang hidup sahaja boleh memberi kehidupan. Hanya orang selamat sahaja yang mampu menyelamatkan. Dan hanya orang yang menyayangi dirinya dahulu boleh menyayangi orang lain.
Sayangnya, ramai kaum ibu yang kadangkala oleh kerana terlalu sayang anaknya…dia jaga anaknya sampai mengabaikan kesihatan dirinya sendiri. Ini salah. Kita perlu menjaga kesihatan diri kita untuk menjaga kesihatan anak kita. Ini bukan mementingkan diri… tidak! Tetapi untuk menyayangi orang lain perlu terlebih dahulu menyayangi diri kita.
Justeru, pada saya orang yang tidak menjaga kesihatan dirinya ialah orang yang mementingkan diri. Kenapa? Kerana jika dia jatuh sakit, orang lain terpaksa menjaga dirinya. Tetapi bagi orang yang sihat, dia yang mahu menjaga orang yang sakit. Jadi orang yang menjaga dirinya agar tidak sakit ialah orang yang tidak mementingkan diri!
BAGAIMANA HARUS MENYAYANGI DIRI?
Kunci katanya ialah, “Kita tidak boleh menyayangi orang lain tanpa terlebih dahulu menyayangi diri kita sendiri dan kita tidak mampu menyayangi diri kita sendiri kalau tidak terlebih dahulu menyayangi Allah SWT. “
Sebab itu dalam kehidupan ini, kita perlu sentiasa meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan menyedari bahawa diri kita hakikatnya adalah amanah Allah terhadap diri kita sendiri.
Justeru dalam Islam, kita tidak boleh menjatuhkan diri kita kepada kebinasaan. Contohnya, kita tidak boleh membunuh diri. Kalau dipersoalkan, apa salahnya kalau saya membunuh diri saya sendiri, saya bukan membunuh orang lain?
Ingatlah bahawa menurut Islam, diri kita pun bukan kita yang empunya. Diri kita hanyalah amanah daripada Allah SWT. Sebab itu kalau orang itu sayang yang benar-benar kepada Allah, dia akan sayang kepada dirinya sendiri. Dan orang yang menyayangi dirinya sendiri insya-Allah, akan boleh menyayangi orang lain.
Tiada yang lebih menyayat hati bagi seorang ibu selain melihat anak yang dikandung, dibesarkan dan disayangi dengan sepenuh jiwa, kembali dalam keadaan sudah tidak...