Anak saya cuma tiga dan cukuplah cuma tiga. Itu sudah complete. Alhamdulillah… Anak sulung saya, Mirza Yadiy budaknya sangat berkira-kira. Baik dari bangun tidur sampailah nak masuk tidur.
Dia tepat dan tak boleh sangat nak di bawa bergurau. Kuat merajuk! Macam saya barangkali..
Anak kedua saya, Zarif Ziyad. Ya ampun, tajuk itu saya tuju untuknya.. ‘Super Nakal’ Sejak dari ‘baby’ dia mahukan perhatian. Tapi saya tak rajin sangat nak beri. Dan di hujung-hujungnya, dia akan merajuk dan sentap. Nah, akhirnya Zarif macam saya juga..
Anak ketiga saya, Qaseh Zahirah satu-satunya ‘princess’ dalam rumah ini. Karakternya bila dia mahukan sesuatu, dia akan cuba peroleh. Disebabkan dia satu-satunya perempuan, manjanya.. ya ampun.
Entah kenapa, saya senang sekali berkongsi cerita-cerita tentang anak kedua saya, Zarif. Mungkin disebabkan sifatnya yang kelakar. Macam anak-anak kedua yang lain, Zarif tetap ada sindrom anak kedua.
Dia manja, terlalu mahukan perhatian dan selalu saja buat saya geram. Sampai pernah saya sanggup hantar dia ke rumah mak sebab tak boleh nak handle emosinya yang merentan-rentan.
Ada banyak cerita kelakar saya dengan Zarif. Pernah saya makan di kedai makan dan Zarif meronta-ronta sampai terbalik meja makan dibuatnya. Ok.. itu baru sedikit. Pernah juga dia merentan-rentan sampai kasut yang dia pakai tercampak dalam tray makanan yang hendak dijual di kedai mamak.
Itu cerita waktu dia kecil. Makin membesar, tahap kelakarnya makin mecabar. Satu hal yang saya perasan, rupa-rupanya dalam pada dia asyik membuatkan saya geram, kami juga semakin akrab.
Dia jugalah anak yang paling kerap saya peluk, paling kerap saya nasihat, paling kerap saya berikan alasan sebab apa tak boleh buat itu tak boleh buat ini. Dan hasilnya, dia yang paling dekat dengan saya. (Walaupun selalu buat saya geram).
Dan dari situ saya belajar sesuatu; dalam satu-satu perkara saya tak boleh terlalu membenci sesuatu, kerana apa yang kita tak suka itulah kadang kala yang terbaik untuk kita. Ya, yang paling baik sekali.