Tangan Berkuku Panjang Terjulur & Larian Makhluk Misteri Menakutkan

Share

Kursus induksi kepimpinan melibatkan pekerja baru di jabatan kami lazimnya akan dilakukan selama empat hari. Lokasinya akan berubah-ubah. Tetapi menurut beberapa orang senior kami yang pernah ke resort ini sebelum ini ramai yang mengatakan hati-hati kalau perlu berkursus ke situ. Kerana ada beberapa peristiwa mistik yang berlaku disitu. Walaupun begitu, resort itu menawarkan perkhidmatan yang sesuai untuk urusan kursus dan sering mendapat pujian dari mereka yang pernah menginap di situ.

Malam itu, malam ketiga kami berkampung di resort itu. Sejak dari hari pertama kami mendaftar masuk ke resort ini, perasaan tak enak itu asyik berlegar-legar dalam lubuk hati. Melihat binaan rumah resort ini yang khabarnya hampir keseluruhannya diambil dari rumah lama dan diguna pakai semula dalam pembuatan resort ini…memanglah nampaknya cantik dan klasik, tetapi bila melihat ruang yang luas di bahagian laluan angin di atas tingkap bilik…tiba-tiba dalam fikiran mula terbayang penampakkan misteri yang muncul mengintai dari lubang angin itu. Eh ngerilah.

Lambakan kucing

Menurut Nana lagi, selaku orang yang tidak terlalu obses dengan kucing… dia cukup pelik dengan pemandangan di resort itu yang dipenuhi dengan kucing. Macam-macam warna dan saiz serta baka yang ada. Menariknya kucing-kucing disitu khabarnya dijaga rapi dan berdisiplin. Pada sebelah siangnya, kucing-kucing ini dibiarkan berkeliaran di sekitar resort. Manakala disebelah malamnya kucing-kucing ini ditempatkan dalam dua sangkar khas.

Malam itu, Nana terlibat dengan pembentangan idea. Memandangkan hampir 20 kumpulan yang ada dan semuanya perlu membentangkan hasil kerja masing-masing…dalam tak sedar, sesi perbincangan itu tamat ketika jam menjelang 11 malam. Terdapat 10 rumah kecil di dalam kawasan resort itu, dan setiap satunya menempatkan enam orang peserta dan rumah inap Nana terletak yang paling hujung.

“Sambil ditemani sinar rembulan yang samar-sama bayangnya, kami beramai-ramai berjalan pulang ke rumah. Setelah seorang demi seorang berhenti dan masuk ke rumah masing, tinggal kami berenam masuk ke rumah. Memandangkan hari sudah lewat malam, kami bersama-sama ke tandas dan berebut-rebut mengambil wuduk untuk menunaikan solat Isyak. Walaupun mata dah terlalu berat dan bantal memanggil-manggil untuk tidur. Selesai solat, kami mencari posisi masing-masing di katil. Ada yang masih bermain dengan telefon bimbit ada juga yang menyapu muka dengan krim malam.

“Tiba-tiba sayup-sayup Riza dan Farah terdengar suara orang bercakap-cakap diserambi depan. Tak jelas butir percakapannya dan jika difikir logik akal, siapa pula yang berani duduk di serambi luar yang gelap dan lewat malam begini. Kebetulan lampu jalan menghadap rumah kami terbakar mentolnya. Menambahkan kesuraman dan keseraman kami berenam.

“Sedang cuba menenangkan diri, tiba-tiba terdengar ada yang berlari-lari diatas bumbung rumah. Lagaknya seperti ada benda teramat berat dan besar berlari. Bagai nak roboh atap genting ni, dan kami yang pada mulanya tidur di kamar berasingan berlari dan berkumpul di satu bilik sama. Gempar sungguh dengan usikan yang menakutkan itu.

“Belum reda dengan bunyi rancaknya orang berlari-lari di atas bumbung…kami dikejutkan pula dengan bunyi kucing mengiau yang aneh bunyinya. Bayangkan kucing yang bergaduh, bulunya kembang terpacak dengan mulutnya tak berhenti mengiau nyaring. Dah kenapa pula kucing-kucing tu. Seolah-olah ada sesuatu yang menakutkan mereka muncul di hadapan. Kerana terlalu takut, tiga lagi teman Nana saling berkelubung di dalam satu selimut. Mujur badan masing-masing langsing bak model.

“Riza pula dalam keadaan mendebarkan itu, ternampak ada satu tangan berkuku panjang menjulur masuk melalui lubang angin yang luas di atas tingkap. Segala bacaan yassin, ayat-ayat al-quran berterabur bacaannya. Siang di rasakan terlalu lama, malam dirasakan terlalu lambat. Perasaan mengantuk hilang entah ke mana, hanya selepas terdengar laungan azan, gangguan itu perlahan-lahan hilang. Apa agaknya yang berlaku di luar rumah kami malam tadi. Mujur hari ini kami akan ‘check out’. Harapnya inilah kali pertama dan terakhir ke sini,”kongsi Nana mengenai pengalaman misteri berkursus di resort misteri yang mustahil untuk dilupakan seumur hidupnya

Published by
Mastura Burhanuddin