Tanda-tanda tertentu pasti ada terlihat daripada bahasa tubuh atau tutur kata pasangan bila ada perkara yang tak memuaskan hatinya berkaitan pasangannya.
Kita semua mahukan perkahwinan bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat. Bukan setakat ke akhir hayat sahaja bahkan kita mahu bersama sehingga ke Jannah Allah SWT.
Selalunya ucapan dan harapan begitu kita dengar daripada isteri. Jarang sangat kita dengan ucapan begitu datangnya daripada suami. Namun walaupun ucapan tersebut tidak disebut di mulut tetapi berjuta-juta lelaki baik di luar sana juga mempunyai harapan yang sama apabila mereka berkahwin.
Memang ada pasangan yang sangat bertuah. Mereka mengharap, berusaha, berdoa dan akhirnya hasrat murni itu dimakbulkan. Namun kepada pasangan yang harapan itu tidak tercapai, keluhan itu selalu diucapkan oleh isteri. Macam-macam yang kita selalu baca dan selalu dengar.
Sebaik berkahwin barulah tahu perangai suaminya itu begitu begini dan akhirnya harapan bersama ke Jannah itu musnah. Saya tidak nafikan isteri mempunyai semua hak di alam semesta ini untuk kecewa sebab suami mereka barangkali memang dari awal lagi sudah menunjukkan tanda-tanda yang perkahwinan itu sudah gagal dari mula. Jika saya tulis hal yang sama maka nota ini akan menjadi nota yang biasa-biasa sahaja.
Kali ini saya mahu kongsikan satu rahsia. Walaupun orang lelaki ini jiwanya nampak kuat dan kebal tetapi suami juga menyedari tanda-tanda yang isteri tidak mahu ke Jannah bersamanya. Apakata jika saya kongsikan dengan anda tanda-tanda itu?
Jika anda mempunyai tanda-tanda itu tetapi kerana dia sangat menyayangi anda maka dia masih bersabar. Saya tahu jantung anda mula berdegup laju sekarang. Beranikah anda untuk tidak mahu mengetahuinya?
Ada perkara yang jika suami lakukan maka itu tanda isteri mereka sangat bertuah. Sebaliknya ada perkara yang jika isteri mula lupa melakukannya maka itu petanda yang tidak elok. Kita mulakan dengan perkara yang datang setiap tahun; Hari jadi suami. Suami mungkin terlupa hari lahirnya sendiri tetapi isteri tidak boleh buat begitu. Suami lupa hari istimewanya itu kerana dia meletakkan diri tidak penting berbanding ahli keluarga.
Namun jika isteri juga lupa hari jadi suami maka itu satu petanda tidak elok. Suami mula merasa yang isteri tidak peduli kepada dirinya.
Semua orang tahu hubungan intim suami-isteri di bilik tidur sangat berbeza perspektifnya antara lelaki dan perempuan. Orang lelaki mahukan itu atas sentuhan fizikal. Orang perempuan perlukan hubungan itu atas keperluan emosi.
Namun jika isteri terlalu susah untuk ‘menyala’ atau mula berpura-pura sedangkan suami sudah berusaha sedaya-upaya maka satu sahaja isyarat yang sampai kepada suami. Anda fikir apa agaknya makna isyarat itu? Segala alasan dan rungutan boleh anda berikan tetapi jangan sangka suami tidak faham ya!
Memang betul, isteri selalu merungut yang suami tidak sedar dan tak perasan pun yang dia sudah tukar fesyen rambut. Itu belum lagi hal isteri semakin langsing kerana menelan segala jamu, ubat pelangsing badan dan berzumba. Badan penat, duit habis beratus ringgit tetapi suami tidak memuji pun. Itu biasa kita dengar.
Bagaimana pula jika suami yang selalu ‘outstation’ tetapi sudah tidak berani lagi meletakkan sepenuh kepercayaan kepada isteri semasa menyediakan kelengkapan peribadi dan pakaian dalam beg yang akan dibawa? Stokin tertinggal, tali pinggang tidak diletak atau tali leher yang tidak sesuai. Ya, suami boleh sediakan sendiri tetapi itu tanda yang dia sudah tidak percayakan anda lagi. Anda sukakah dia rasa begitu selepas ini?
Perkahwinan yang ceria dan bahagia sentiasa penuh dengan kenakalan, gurau senda dan kejutan-kejutan positif yang tidak disangka. Kita bergurau dengan orang yang kita suka. Kita mengusik dengan orang yang kita cinta.
Seandainya itu semua tiada atau sudah hilang maka perkahwinan itu hanyalah seperti mesin. Segalanya rutin dan membosankan. Bilakah kali terakhir anda bergurau dengan suami Jangan berhenti mengejutkan suami yang membuatkan dia ketawa. Jangan tunggu sehingga dia mengejutkan anda dengan kejutan yang anda tidak suka.
Sumber artikel: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation https://www.facebook.com/Promind-Training-And-Consultation-136635193169189/