Tuduh Isteri Nusyuz, Walhal Suami Cakap ‘Kasar’ Pun Boleh Jatuh Derhaka
Kredit foto hiasan : islampos.com

Hati-hati ya suami, sebelum tuding jari kata isteri nusyuz, perati dulu diri sendiri. Bila suami abaikan perkara-perkara ini, salah satunya sering cakap ‘kasar’ dengan isteri pun boleh dah dianggap nusyuz kepada isterinya.

Cakap ‘kasar’ yang bagaimana? Peguam Syarie, Fahmi Ramli dari Khairul Fahmi Associates jelaskan selebihnya tanda-tanda suami nusyuz atau kata lainnya, ingkar dengan perintah Allah.

Jangan Ingat Isteri Jer, Suami Pun Boleh Nusyuz

Ramai yang tau, apabila isteri enggan taat pada perintah suami, disisi syarak ia disebut sebagai nusyuz. Jika seorang isteri disabitkan nusyuz oleh Mahkamah, maka, dia dah tak berhak untuk terima nafkah dari seorang suami.

Tapi, ramai yang tak tahu, selain isteri, suami juga boleh dikira sebagai nusyuz. Cuma perkara ini jarang kedengaran sebab isteri jarang nak mohon suami disabitkan nusyuz sebabnya, suami yang beri nafkah khasnya. Tapi, sama ke nusyuz isteri dan suami? Mari saya kongsikan.

Bila Yang Dikatakan Suami Nusyuz?

Kalau isteri isteri itu dianggap nusyuz bila dia tidak mentaati perintah suaminya, maka suami pula dikira nusyuz bila dia mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya sebagai suami.

Apa Tanda-tanda Suami Nusyuz?

Nusyuz suami melalui percakapan;

– Suami boleh dikira nusyuz disisi syarak jika dia seringkali tidak mahu bercakap dengan isterinya dan bercakap kasar. Kasar disini bermaksud sering memanggil isteri dengan perkataan yang keji dan tidak sepatutnya. Dan ada ketika memberi gelaran yang jijik pada isteri dan mencarut dalam perbualan.

Ads

– Suami juga boleh dikira nusyuz jika dia mengarahkan isterinya untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya, menyuruh isteri melacur untuk cari pendapatan. Nauzubillah.

Nusyuz suami melalui perbuatan;

– Suami dikira nusyuz bila dia langsung tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan lebih teruk bila dia berzina dengan wanita lain selain dari isterinya untuk puaskan nafsu.

– Paling dikira nusyuz bila suami bertindak kejam dan keras terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, menggigit dan lain-lain yang boleb datangkan kecederaan pada tubuh badan isteri. Kasihankanlah isterimu itu wahai lelaki.

Ads

– Nusyuz juga bagi suami yang tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya dari segi makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri tetapi menghabiskan duitnya kepada benda yang tidak berfaedah seperti membeli rokok. Mintak maaf, ini hakikat.

– Tidak memelihara kehormatan isteri juga boleh dikira sebagai nusyuz dimana sering membuka aib isteri tambah-tambah hal dalam kain. Dan nusyuz juga bagi suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Nusyuz Suami Tidak Dituntut Di Sisi Undang-undang

Walaupun nusyuz suami ini tidak dituntut disisi undang-undang, tetapi dosanya amatlah besar disisi Allah kerana isteri itu adalah amanahnya yang paling besar. Saya sangat tidak bersetuju bila kaum suami asyik salahkan isterinya nusyuz sedangkan dia tidak semak kenusyuzan dia terlebih dahulu sebelum nak nusyuzkan isteri.

Ads

MW : Bolehkah sabitkan suami nusyuz di mahkamah

Fahmi : Sebenarnya tak ada peruntukan undang-undang khas yang bercerita tentang nusyuz suami. Kalau nusyuz isteri pun hanya ada pada seksyen cerita tentang nafkah sahaja jika isteri nusyuz.

Sebabnya, nusyuz ini kesannya tak boleh terima nafkah. Jadi, kalau mahkamah buat juga sabitan nusyuz pada suami. Tak ada apa-apa kesan di sisi undang-undang sebab suami yang bagi nafkah. Cuma kesan di sisi Allah sahaja kalau suami ini nusyuz iaitu langgar amanah Allah.

Jadi, tak boleh heret ke mahkamah untuk nusyuz. Lagipun, isteri takkan buat sabitan nusyuz dah pada suami, baik terus fail fasakh sahaja.

Sumber/Foto : Fahmi Ramli yang banyak berkongsi info isu syariah di fanpagenya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI