Tanda Perempuan Penat, Suami Kena Pandai Baca Untuk Ambil Alih Tugasnya

Share

Tak suka nak meluah tentang emosinya, tetapi kalau perempuan penat sangat dia akan bertukar jadi garang. Serius, bukan tak nak berkongsi apa yang terbuku di hati tetapi selagi boleh mak-mak akan berusaha mudahkan urusan anak-anak dan bahagiakan perut suami.

Inilah pengorbanan seorang siteri dalam rumah tangga. Pendek kata, tanpa seorang isteri, rumah tak akan naik serinya. Nak merasa suasana kucar kacir, cubalah hantar isteri balik kampung. Haaa… kemas ke tak semua benda dalam rumah.

Namun apa yang peliknya, isteri ini mulutnya sahaja bising. Selagi boleh bangun, tangan dia laju buat keja rumah. Malah kalau dia jenis keluar bekerja sekali pun, makan minum anak-anak tetap dia fikir. Sekali pun tak masak, dia dah beli siap-siap waktu balik dari tempat kerja. Punyalah dia prihatin pada orang sekelilingnya. Dari mana kekuatan itu datang pun, kadang tak tercapai dek akal.

Percayalah, isteri mungkin tak akan cakap tahap mana kepenatan yang dia lalui, tetapi andai nampak perangai ini dalam rumah, cepat-cepatlah ambil alih tugasnya.

1. Benda kecil pun dia bising

Ini biasa, benda sekecil apa pun boleh jadi punca isteri untuk mengamuk dan membebel tak tentu pasal. Contoh mudah, pasal air tumpah pun boleh buat kaum mak-mak marah macam nak terbalik dunia. Punyalah dia stres! Lagi teruk, cerita jadi panjang sebab dia mula mengungkit sejarah yang lepas-lepas.

2. Mudah menangis

Menangis sendirian di dalam bilik tanpa sebab. Betul, bila isteri penat sangat dia akan menangis sendiri. Jadi suami kena lah faham. Waktu solat berjemaah, cubalah tanya keadaan isteri dan apa aktiviti harian isteri. Silap-silap, isteri boleh mengadu dan siap menangis sebab badan tak cukup rehat.

3. Mudah jatuh sakit

Kerap demam, sakit badan, migrain.. itu tanda isteri penat sangat. Dia penat fizikal dan emosi juga. Jadi, suami berilah peluang untuk isteri berehat. Contohnya, dalam seminggu berikan cuti memasak bagi dia.. suami pula ambil alih tugas tu.. pasti dia suka.

4. Nampak lesu dan tak bermaya

Wajah kusam, banyak jerawat dan tak bermaya.. itu tanda penat melampau. Kalau bersolek sekali pun, wajah tetap tak akan naik serinya. Sebab letih sangat. Tapi kalau penat sangat mana mampu nak make up bagai. Jadi, suami kena faham jdan mulut kena jaga. Jangan tahu nak kritik soal kecantikan isteri.

5. Selera makan melampau, berat bertambah

Bila badan terlampau penat, akan hilang selera makan atau selera makan meningkat melampau lampau. Ada yang jenis asyik nak makan tetapi boleh jadi isteri tak lalu nak makan sebab terlalu PENAT. Jadi, ini menyebabkan dan punca badan isteri kurus atau gemuk tanpa sedar.

Kalau saiznya dah berubah, jangan pula ditegur atau kritik. Nak selamat, terus cari jalan penyelesaian. Contoh mudah, ajak dia join keluarkan peluh bersama. Lama-lama nanti dia sendiri seronok dan sekali gus dapat amalkan cara hidup yang sihat. Banyak senam, tubuh badan bebas daripada segala penyakit dan tekanan.

6. Anak Jadi Mangsa

Selalu tinggikan suara tanpa sebab pada anak-anak. Kasihan kalau anak-anak jadi tempat isteri melampiaskan tekanan emosi.

Haa… apa yang suami boleh bantu?

Bila isteri penat buat kerja, peluklah dia dengan penuh kasih sayang. Ambil alih tugas buat kerja rumah atau lakukan kerja rumah bersama-sama. Bila dia tengah memasak, suami tolong lah jaga anak. Isteri basuh baju, suami tolong sidaikan. Itu saja sifirnya.

Nak lagi bahagia, suami kena berikan ruang untuk isteri lakukan apa yang dia suka. Satu lagi cara mudah, ajak isteri shopping. Tak payah tempat mahal pun, ajak pergi pasar malam atau kedai RM2 pun dia dah seronok!

Cara Rasulullah Ajar Fatimah Hilangkan Penat

Salah satu cara untuk mengenyangkan roh dan mengatasi kepenatan adalah petua yang diajarkan oleh Rasulllah SAW kepada puterinya, Fatimah.

Tatkala Fatimah mengadu kepada suaminya, betapa penatnya membuat segala kerja rumah. Saidina Ali menyarankan Fatimah berjumpa bapanya, Rasulullah SAW untuk meminta seorang pembantu.

Namun, Rasulullah tidak memberikan sebarang pembantu, sebaliknya sekalung zikir yang dipanggil ‘Zikir Fatimah’, khas untuk anaknya yang kepenatan menguruskan keluarga.

Tasbih, Subhanallah 33 kali
Tahmid, Alhamdulillah 33 kali
Takbir, Allahu akbar 33 kali

Rasulullah SAW menyuruh Fatimah mengamalkannya setiap kali merebahkan diri untuk tidur. Sabda Baginda bahawa itu jauh lebih baik dari seorang khadam.

Maka umak-mak yang selalu kepenatan di rumah, amalkanlah zikir Fatimah setiap malam sebelum tidur. Semoga esok pagi bangun dalam keadaan ceria dan gembira!

Published by
Nadia