Tanda Emosi Isteri Tak Bahagia, Jangan Dah Mereput Baru Nak Sedar

Share

Bagi seorang isteri, perkahwinan dan rumah tangga adalah segala-galanya. Mereka akan berkorban apa sahaja untuk rumah tangga dengan harapan untuk bahagia.

Ada isteri yang bertuah kerana benar-benar merasa bahagia. Ada pula yang meratap hiba kerana perkahwinan itu sudah menjadi neraka dunia.

Namun ramai juga isteri yang tidak pasti perasaan sendiri. Adakah dia bahagia atau sebenarnya sedang sengsara? Bunyinya kedengaran mudah tetapi bisik emosi ini sukar ditafsirkan walaupun oleh tuan punya badan itu sendiri.

Kali ini saya kongsikan beberapa tanda-tanda yang sebenarnya memakan perasaan seorang isteri dari dalam. Ianya umpama sel kanser.

Hadirnya tidak terasa sehinggalah selepas segala-galanya sudah reput dan terlambat.

3 Tanda Emosi Isteri Tak Bahagia

Pertama : Selepas 2 Tahun Anda Sedar Banyak Kurangnya..

Setiap wanita terjun ke alam perkahwinan dengan anggapan dan harapan tinggi kepada pasangan mereka.

Anggapan itu terbina hasil daripada analisa sendiri, ‘promosi’ daripada bakal suami atau hasil cadangan daripada rakan-rakan atau keluarga.

Semuanya sudah tentu yang baik-baik dan hebat. Dengan anggapan-anggapan semua itu benar maka tinggilah juga harapan anda untuk bahagia.

Namun ramai isteri mengaku bahawa dalam masa dua tahun sahaja, mereka sedar bahawa banyak daripada apa yang dilihat pada suami tidak secantik yang dipandang.

Tidak ada manusia yang sempurna. Masalah timbul apabila anda terlalu mengharap yang lelaki itu memenuhi segala-gala anggapan dan harapan yang anda bina sebelum berkahwin.

Kedua : Hadam Maksud ‘ Pengorbanan & Kebodohan’ Itu Sempadannya Senipis Bawang

Anda mengungkit dan memprotes kelemahannya sehingga terlupa kebaikannya yang tersembunyi. Jika itu yang kerap kali berlaku sekarang maka anda menempah status sebagai isteri yang tidak gembira dalam perkahwinan sendiri.

Perkahwinan perlukan pengorbanan. Itu semua orang tahu tetapi pengorbanan itu perlu dilakukan dalam had dan sempadan yang sewajarnya.

Ada orang cakap ‘dalam sesebuah rumah tangga pengorbanan dan kebodohan’ itu sempadannya senipis kulit bawang. Tidak ada erti pengorbanan itu jika hati kecil anda meratap setiap malam kerana sedih dengan pengorbanan yang tidak dipedulikan itu.

Anda bukan isteri yang bahagia sekiranya merasa begitu.

Sekiranya hal ini sedang berlaku pada anda maka rujuklah kepada pihak yang boleh memberi bantuan. Hak-hak anda sebagai wanita dan juga sebagai isteri adalah jelas dan perlu dipertahankan. Itu beza antara isteri yang derita dan isteri yang bijaksana.

Ketiga : Termenung Itu Dah Macam Rutin Hidup

Selalukah anda termenung sendirian dan tertanya-tanya ‘adakah aku gembira atau derita dalam perkahwinan ini?’ Apakah bunyi jawapannya? Adakah anda seperti merenung dua helai kertas laporan dengan terlalu banyak contengan tebal markah merah berbanding dengan markah biru?

Gerak rasa emosi berada di dalam zon separa sedar minda. Ianya tidak boleh dikawal. Anda boleh berpura-pura gembira tetapi bayangan sedih dan hiba dalam mimpi adalah apa yang sebenarnya bersarang tebal dalam fikiran.

Jika anda selalu bermimpi sedih atau ngeri maka itulah bisikan emosi sebenar anda dalam perkahwinan itu. Izinkan saya bertanya, dalam dua minggu lepas bagaimana mimpi anda? Mimpi yang seronok atau mimpi yang menakutkan?

Orang cakap perkahwinan itu ialah saling melengkapi. Benar sekiranya itu satu perkahwinan yang bahagia. Namun itu tidak bermakna kita mesti menunggu orang lain datang melengkapi kekurangan yang kita ada sebelum kita boleh merasa bahagia.

Seperti yang saya katakan tadi, itu hanya harapan yang belum tentu menjadi kenyataan.

Bagaimana jika orang itu datang bukan datang melengkapkan tetapi lebih merosakkan apa yang telah anda miliki? Realitinya kita sendiri yang sebenarnya bertanggungjawab membina kebahagian itu.

Jangan Kecewa Jika Pasangan Tak Mahu Berubah..

Anda boleh mengharap dia berubah menjadi lebih baik tetapi adakah anda mesti merosakkan diri jika dia tidak mahu berubah? Bersedih, meratap dan mengutuk diri kerana merasa diri gagal mengubah perkara yang tidak mampu kita ubah adalah perkara sia-sia.

Sebab itu kita disuruh berusaha dan kemudian berserah kepada Allah SWT untuk menentukan.

Namun sebagai hamba-Nya kita diperintahkan untuk redha atas apa takdirnya. Jika takdirnya itu seperti yang kita mahu maka bersyukurlah. Sekira tidak maka sesungguhnya itu adalah yang terbaik dan Dia juga yang Maha Mengetahui.

Penulis : Dr Syed Yusaini Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Ci=onsultation. Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita.

Baca juga :

Published by
webadmin