‘Tanam Jenazah Secepat Mungkin.’ Anak Ralat Baru Terjumpa NOTA, Kelengkapan Urus Jenazah Mak

Share

‘Tanam jenazah secepat mungkin.’ Anak ralat baru terjumpa nota dan kelengkapan urus jenazah mak ketika mengemas bilik arwah ibu mereka.

Namun segala yang berlaku adalah takdir dan anak-anak arwah bersyukur majlis pengebumian ibu mereka berjalan lancar. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Artikel Berkaitan : “Selalu Berdoa Meminta Petunjuk Awal Kematiannya.” Lelaki Ini Tempah Kubur Sehari Sebelum Meninggal

Tanam Jenazah Secepat Mungkin


“Pohon tanam jenazah mak secepat mungkin. Tidak perlu tunggu sesiapa.”

Itu antara pesanan terakhir pesara polis, Allahyarhamah Muhyizan Muhyi kepada tiga anaknya sebelum meninggal dunia akibat barah usus pada 6 Mei bersamaan dengan 5 Syawal lalu.

Apa yang menyedihkan, nota itu baru ditemui tiga anaknya semalam dan mendapat perhatian selepas salah seorangnya, Nor Azuana Masshar, 36, berkongsi kisah di Facebook (FB).

Anak Ralat

Menurut Nor Azuana, nota itu ditemui oleh adiknya, Nur Asyikin, 34, dalam almari baju ketika mereka bersama-sama mengemas bilik tidur arwah ibunya dengan adik bongsu, Muhammad Aizuddin, 30.

Jelas Nor Azuana, nota itu ditemui bersama bungkusan berisi tudung berwarna putih, kain batik panjang, kain batik lapik, plastik lapik tilam dan telekung.


.


“Emak memang ada beritahu mengenai kelengkapan pengurusan jenazah disediakannya, seingat saya pada awal tahun ini namun saya dan adik-beradik tidak ambil pusing sangat kerana enggan berfikir ke arah itu.

“Lagipun, emak sihat ketika itu dan tak sangka pula ia petanda arwah akan meninggalkan kami.

Baca Di Sini: 

Masuk Hospital Selepas Rebah, Arwah Sempat Urus 19 Jenazah Covid-19 Sebelum Meninggal

“Wasiatkan Emas Untuk Sedekahkan Pada Masjid”, Wanita Ini Kongsi Persediaan Maknya Sebelum Meninggal

SEMPAT Belikan Sarapan TERAKHIR Untuk Isteri Yang Angin Ahmar Sebelum Meninggal

Baru Terjumpa Nota

“Saya menangis selepas membaca nota itu malah rasa ralat dan terkilan kerana tidak dapat gunakan kelengkapan itu bagi menguruskan jenazah emak.


‘Saya bagaimanapun tetap lega kerana urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Temoh Stesen, Temoh, Perak iaitu kampung halaman emak berjalan lancar,” katanya.

Tambah Nor Azuana yang bekerja sebagai jururawat, ibunya disahkan menghidap barah usus tahap empat pada 27 Februari lalu iaitu dua hari selepas tiba di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, Melaka.

“Emak menetap di Taman Murni, Gurun, Kedah bersama abah (Masshar Ahmad, 62) manakala kami tiga beradik tinggal berasingan dengan keluarga masing-masing.

Kelengkapan Urus Jenazah Mak

“Pada 25 Februari lalu, emak datang ke rumah saya untuk membantu menjaga anak saya selepas pengasuh anak positif Covid-19.

“Emak sihat pada mulanya sebelum mengadu sakit perut dua hari kemudian dan sebaik dibawa ke hospital, doktor mengesahkan emak menghidap barah usus tahap empat. Lapan hari juga emak tidak sedarkan diri di hospital sebelum dibenarkan pulang pada 14 Mac.

“Sejak itu, emak tinggal terus di rumah saya dan sempat juga saya menjaganya termasuk bantu tukarkan beg stoma serta lampin pakai buang selepas pulang kerja,” katanya.

Petanda Sebelum Pergi

Selain itu, menurut Nor Azuana, selain meninggalkan kiriman nota, ibunya juga ada menunjukkan petanda lain sebelum meninggal dunia.

“Paling tak dapat lupa, emak beritahu keinginannya untuk raya betul-betul tahun ini kerana dia dapat rasakan ini (raya) yang terakhir namun satu juadah raya pun dia tidak jamah.

“Allah lebih sayangkan emak dan saya bersyukur kerana ada di sisinya sebelum menghembuskan nafas terakhir walaupun berasa emak pergi terlalu cepat dan belum puas menjaganya.

“Abah juga masih sedih dan tidak boleh bersendiri kerana ke mana saja pergi, emak yang akan temankannya. Kini, kami adik beradik bergilir-gilir menjaganya,” katanya.

Terima Kasih Atas Doa

Dalam pada itu, Nor Azuana mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan ibunya selepas dia berkongsi kisah berkenaan di FB.

“Niat saya berkongsi kisah itu sekadar untuk meluahkan perasaan.

“Diharap perkongsian itu jadi peringatan buat kita semua untuk bersedia ke alam sana kerana mati itu pasti,” katanya.

Mingguan Wanita : Mati itu pasti, semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat semua. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah dan menempatkannya di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Sumber : myMetro

Foto : Facebook Nor Azuana Masshar

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat