Cuti sekolah kembali lagi! Tak tahu ke mana nak bawa anak-anak bercuti, jom Mingguan Wanita kongsikan lokasi terbaharu yang tidak jauh dari lembah Klang untuk diterokai!
Setelah lama dinanti-nantikan, Skyline Luge Kuala Lumpur (Skyline Luge KL), sebuah taman aktiviti yang mesra keluarga dibuka kepada umum bermula 9 Disember lalu. Hab hiburan seluas 50 ekar itu terletak di Gamuda Luge Gardens, di tengah-tengah koridor kemajuan utara Lembah Klang. Sebagai tambahan terbaharu kepada landskap hiburan bandar, ia menjanjikan pengembaraan yang sukar dilupakan untuk para pengunjung dari segenap lapisan umur.
Skyline Luge Kuala Lumpur
Mingguan Wanita diundang secara eksklusif untuk merasai sendiri keunikan SKyline Luge yang diasaskan di New Zealand pada tahun 1985. Uniknya, Skyline Luge Kuala Lumpur merupakan yang pertama di Malaysia, serta tapak Luge yang kelapan di seluruh dunia dan yang kedua di Asia Tenggara.
Taman aktiviti ini menampilkan jumlah trek sepanjang lebih 1.6 kilometer, terdiri daripada empat trek dengan tema berbeza, iaitu Legenda, Ultra, Graviti dan Ekspres, yang setiap satunya menjangkau sehingga 650 meter. Ciri keunikan taman ini terletak pada terowong terpanjang yang pernah dibina dalam portfolio Skyline, yang disirami lampu LED bergerak yang penuh keajaiban.
Tarikan terbaharu untuk seisi keluarga
Alamilah Night Luge, satu pengalaman unik dengan trek bermandikan warna-warni pada waktu malam. Skyline Luge adalah mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur, sekali gus menyediakan satu aktiviti ideal untuk dinikmati bersama rakan dan keluarga. Selain itu, tingkatkan pengalaman anda dengan helmet RFID bebas tangan, bagi merakam semua memori indah melalui foto dan video automatik ketika anda memecut di trek.
Taman tema untuk semua
“Skyline Luge sentiasa di barisan hadapan dalam menyampaikan pengalaman yang inovatif dan hebat. Jadi, kehadiran kami dalam landskap hiburan di Malaysia akan membuka satu lembaran yang mengujakan bagi kami. Taman aktiviti Kuala Lumpur kami menampilkan terowong terpanjang yang pernah dibina, sekali gus menetapkan piawaian baharu untuk para pencari keseronokan!
Saya sangat teruja untuk memperkenalkan pengembaraan baharu ini kepada rakyat Malaysia. Ia menjanjikan pengalaman menakjubkan dan sukar ditandingi, yang sudah tentu akan menjadi kemuncak dalam kemeriahan landskap Kuala Lumpur,” kongsi Pengurus Besar Skyline Luge Kuala Lumpur, Gavin Barnes.
Terdapat had umur atau ketinggian untuk kanak-kanak yang ingin menunggang Luge secara solo. Tetamu mesti sekurang-kurangnya 110cm tinggi untuk menunggang Luge secara bersendirian.
Jika tidak, mereka dengan ketinggian 85cm – 110cm boleh berkongsi Luge dengan seorang dewasa. Bagi Skyride (chairlift), tetamu yang melebihi 136cm boleh menaiki Skyride secara bersendirian, manakala penunggang antara 85cm – 135cm perlu ditemani orang dewasa.
Penerangan Harga:
Five Luge Rides + Skyride RM80.00
Four Luge Rides + Skyride RM70.00
Three Luge Rides + Skyride RM60.00
Two Luge Rides + Skyride RM50.00
Waktu operasi rasmi adalah seperti berikut:
Hari Waktu Operasi:
Khamis hingga Selasa Dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang
Jumaat, Sabtu, dan Ahad Dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam
Rabu TUTUP (kecuali pada cuti umum dan sekolah)
Selain menjadi tambahan penting kepada pembangunan Gamuda Gardens, Skyline Luge juga menjanjikan keriangan untuk semua, tidak kira para pencinta pengembaraan ataupun seisi keluarga. Dalam suasana meriah yang dikelilingi pelbagai tarikan Gamuda Luge Gardens, pengunjung bukan sahaja dapat mengalami keseronokan Luge yang memacu adrenalin, tetapi juga tarikan FunPark yang mesra keluarga, serta Big Bucket Splash, tarikan permainan air yang menyeronokkan.
Ketiga-tiga tarikan hebat ini akan mengesahkan status Gamuda Luge Gardens sebagai satu destinasi terulung yang menyatukan pengembaraan, hiburan dan keseronokan yang tiada bandingan untuk semua peringkat umur!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI