“Takut DiTinggalkan Suami.” Isteri Sanggup Benam Paku Di Kepala Untuk Dapatkan Bayi Lelaki

Share

“Takut ditinggalkan suami.” Isteri sanggup benam paku di kepala untuk dapatkan bayi lelaki setelah mendapat saranan daripada seorang dukun.

Kasihan sungguh pada ibu ini. Sudah tentu dia merasa tertekan dan bimbang bila suami sanggup menggugut untuk meninggalkan dirinya, jika kelahiran kali ini juga anak perempuan.

Takut DiTinggalkan Suami

Polis Pakistan memburu seorang dukun selepas dia didakwa mengarahkan seorang wanita hamil membenamkan paku ke kepalanya sendiri bagi mendapatkan bayi lelaki.

The Independent melaporkan, ia bermula selepas imej X-ray tular di media sosial, selepas wanita itu tiba di hospital di bandar Peshawar dengan paku sepanjang lima sentimeter di kepalanya.

Ibu kepada tiga anak perempuan itu mendedahkan bahawa seorang dukun bertanggungjawab atas perbuatan mengerikan itu.

Katanya, suaminya mengugut untuk meninggalkannya, jika dia melahirkan anak perempuan keempat.

Isteri Sanggup Benam Paku Di Kepala

Polis Peshawar, pada Khamis lalu berkata, pihak berkuasa mengenal pasti wanita terbabit dan suaminya.

“Kesihatan mental wanita itu tidak kelihatan stabil dan dia sedang menjalani pemeriksaan kesihatan. Mangsa dan suaminya memutuskan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor psikiatri,” kata polis.

Ketua polis Peshawar Abbas Ahsan mengumumkan bahawa satu pasukan khas ditubuhkan untuk membawa lelaki itu ke muka pengadilan kerana membabitkan nyawa seorang wanita yang tidak bersalah.

“Pasukan itu juga akan menyiasat mengapa kejadian itu tidak dilaporkan kepada polis oleh doktor yang merawat wanita berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramai Tanya Yatt Hamzah Tip Dapatkan Anak Lelaki, Ini Jawapannya

Soal Dikurniakan Anak, Bukan Semudah Membeli Barang Di Pasar! Itu Tuhan Punya Kuasa

Untuk Dapatkan Bayi Lelaki

Menurut kakitangan hospital berkenaan, wanita itu mengalami pendarahan dan diberi pertolongan cemas sebelum dibawa ke bilik bedah.

Pakar bedah saraf, Dr Haider Suleman, berkata, paku menembusi jauh di dalam tengkorak wanita terbabit dan keluarga cuba untuk mengeluarkan paku itu di rumah, tetapi gagal.

“Dia berkata bahawa seorang wanita di kawasannya melakukan perkara yang sama dan melahirkan anak lelaki walaupun ujian ultra bunyi menunjukkan anak dalam kandungannya adalah perempuan,” kata doktor itu.

Jumpa Dukun

Akibat takut kepada suaminya, mangsa didakwa berjumpa dukun yang memberinya azimat, untuk dibaca, dan paku.

“Mangsa kemudian pulang ke rumah dan membenamkan paku di kepalanya. Dia ditemukan ahli keluarga selepas dia menjerit kesakitan dan dipindahkan ke hospital,” kata kakitangan hospital.

Mingguan Wanita : Sesungguhnya seorang isteri sanggup melakukan apa saja untuk kebahagiaan suaminya. Namun permintaan suami ini amat melampau kerana soal anak adalah di luar kawalan seorang isteri dan juga ibu.

Sumber : myMetro

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat