Kerohanian

“Takkan dengan kerja dakwah pun nak berkira,”-Respon Ustazah Asni Mansor Isu Bayaran “Mahal” Penceramah

Share

Takkan dengan kerja dakwah pun nak berkira. Baru-baru ini, Isu bayaran khususnya melibatkan golongan pendakwah hangat diperkatakan  apabila timbul isu penetapan harga yang tinggi untuk sesebuah program berkaitan agama.

Sememangnya tiada ketetapan rasmi tentang berapakah jumlah yang wajar dan setimpal diberikan kepada golongan tersebut yang mencurahkan ilmu untuk dikongsi bersama masyarakat.

Malah wujud pula dakwaan yang mengatakan pendakwah masa kini mengenakan bayaran tinggi untuk memenuhi undangan majlis ilmu disebabkan faktor populariti.

Pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor tampil mengutarakan pandangannya mengenai perkara tersebut.  Meskipun sering menerima undangan untuk program televisyen atau melakukan usrah bersama para artis, dia tidak pernah meletakkan kasta memilih undangan ceramah mahupun meletakkan bayaran dengan harga melampau.

Menurut Ustazah Asni yang ditemui media baru-baru ini menegaskan dirinya kurang arif dengan bayaran yang dikenakan oleh pendakwah lain namun dia percaya perkara seperti ini boleh diselesaikan melalui cara perbincangan yang baik di antara kedua belah pihak.

“Bercakap soal bayaran, janganlah sampai kita tak menghargai orang itu (pendakwah). Kalau kita kata ikut suka, nanti bagi RM100. Duit minyak pun tak lepas. Biarlah berbaloi bila kita menghargai seseorang. Namun, jangan pula kita minta sehingga melampaui batas.

“Pada saya, bila buat kerja agama ini, minta pun salah, tak minta pun salah. Kalau tak minta, itulah antara cara mereka untuk memenuhi keperluan,” katanya penuh sopan.

“Takkan dengan kerja dakwah pun nak berkira,”

Ustazah Asni turut berharap agar orang ramai dapat membuka minda dan lebih menghargai mereka yang melakukan usaha dakwah ini.

“Saya tidak pernah memilih tempat undangan. Semua tempat saya jejak untuk sampaikan dakwah baik di ceruk pedalaman mahupun di dalam penjara. Mana-mana undangan saya terima.

“Apa yang dibayar itu hanyalah satu penghargaan, penat lelah dan tanda kita tak memandang rendah pekerjaan dakwah. Kita kena bertolak ansur.

“Kalau kita menilai kerja dakwah Rasulullah, memang tak ternilai. Nabi sampai ditawarkan emas setinggi Gunung Uhud untuk bayaran berdakwah tetapi baginda menolak.”

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/gaji-dj-radio-cecah-rm150k-sebulan-fauziah-nawi-maklum-rm5k-rm40-k-adalah-biasa/

Asni turut mendedahkan pernah ditipu soal bayaran di mana wang yang diterimanya kurang RM800 daripada apa yang dipersetujui.

“Saya pernah berhadapan dengan situasi di mana tiada bayaran langsung. Saya juga pernah berada dalam situasi jumlah yang saya dapat kurang hingga beratus ringgit berbanding dengan apa yang telah dipersetujui.

“Kalau ikutkan, kita tak boleh nak nilaikan ilmu. Ia tidak ternilai walaupun bayar puluhan ribu ringgit. Soal nilai ilmu dan kerja dakwah ini, biar Allah sahaja yang bayar di akhirat.

“Maka saya pulang sahajalah, reda dan berharap Allah ganti dengan sesuatu lebih baik,” dedahnya mengakhiri perbualan.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

 

 

Published by
Rosmah Idayu