Betapa peritnya ujian bila masih tidak memiliki zuriat sendiri walaupun telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga. Lebih perit apabila menerima pelbagai kata-kata nista dan cemuhan daripada orang sekeliling yang tidak sensitif dan tidak memahami. Lukanya cukup pedih bagai dihiris sembilu.
Jemput baca perkongsian kisah benar ini semoga menjadi panduan dan pesanan buat kita dalam menuturkan kata-kata.
Assalamualaikum admin dan para pembaca. Firstly, saya harap artikel saya ini dapat disiarkan untuk renungan kita bersama. Saya bekerja di firma guaman syariah hampir 5 tahun dan pelbagai masalah perkahwinan, perceraian yang berlaku pada masyarakat kita pada hari ini yang kadangkala tak masuk akal.
Pasti akan jadi terlebih panjang jika mahu dihuraikan cuma sekadar memetik kisah pasangan tanpa zuriat ini. Apa yang saya lihat terlalu sedikit yang tiada zuriat ini berakhir dengan perceraian. Bukan tidak ada tetapi nisbah itu sedikit dibandingkan yang punyai anak. Kita sering mendengar kata-kata kurang enak masyarakat “takde anak nanti laki kau cari lain’, ‘kau mandul habislah kena cerai’.
Astaghfirullah tidak puan-puan malah ada 3 rakan dan sepupu saya tiada anak yang hidup bahagia tetapi yang beranak pinak ini kes makin meningkat. Tujuan saya adalah untuk buka mata orang melayu kita ini cukup dan sedarlah dari menyakiti pasangan ini.
Saya sendiri punyai 2 orang anak tapi saya tak nampak langsung kekurangan atau kehinaan pada mereka malah hidup mereka bahagia. Sepupu yang agak saya rapat sering mengadu sedih dan depressed kerana kata-kata cacian orang. Nak diikutkan mereka okay je tapi mengapa kata dari mulut kita ini ringan sangat nak menghina orang?
Anda hebatkah hanya kerana punyai anak? Anda hebatkan setiap tahun mengandung? Ya, hebat jika berjaya jadikan anak anda itu MANUSIA YANG BERGUNA. Sedarilah zaman sangat mencabar ini bukan mudah nak didik dan besarkan anak jadi mengapa terlalu berani mengejek ujian manusia lain? Tidak takutkah jika anak yang kita banggakan ini menjadi ujian terbesar pula pada kita?
Saya sedih melihat situasi ini hingga ada cubaan membunuh diri kerana tidak tahan dihina mandul. Nasib sempat diselamatkan dan hadir ke sesi kaunseling. Saya amat bersimpati dan tertanya jika benar mereka mandul pun apa masalahnya? Tidak ada dalam Alquran berdosa tidak punya anak, tidak ada dalam agama islam kau tak subur mandul baik kau takyah hidup! Tak ada tuan puan. Yang ada hanya anak-anak itu adalah ujian untuk kamu. Kita ni yang ibubapa akan ditanya apa didikan kita yang telah kita laksanakan.
Kita dipertanggungjawabkan itu yang patut kita risaukan bukan kita sibuk yang tiada zuriat. Saya terkilan bila mertua, saudara mara terdekat sendiri kadangkala yang menyakitkan hati mereka. Contoh baru ini di whatsapp group saudara mara. Seorang sepupu saya dengan sengaja menghantar jika mencari anak angkat dengan caption takde anak amik je anak angkat dapat juga pahala. Ya Allah pahala itu luas sangat kenapa perlu memerli didepan ramai yang boleh membaca.
Adakah dia bangga ada anak 5 orang tapi anaknya sendiri seorang dihantar kampung ibu ayah sudah tua menjaga kerana dia sendiri sudah tak mampu didik. Adakah berbangga cuti bersama kawan-kawan ke korea dan anak lagi 4 orang itu dihantar ke kampung?
Kita ini bab melihat kekurangan orang laju sahaja mulut ni nak bercakap tapi bila disebut kekurangan sendiri baru terhantuk agaknya. Antara ibubapa yang saya respect dan kagum adalah ibubapa kepada 5 orang huffaz professional. Sudahla berjaya dunia Insyallah berjaya akhirat juga. Tuan puan boleh search dan baca kisah bagaimana didikan mereka pada anak-anak.
Itu yg patut kita lakukan dan usaha sebaik boleh bentuk generasi kita yang mendatang. Jangan disibuk orang ini tak dapat anak sebab banyak dosa lah, sebab tak sedekah la, tak tahajud lah. Jadi mereka perlu buat itu semua hanya sebab anak atau sebab ikhlas? Yang kita ini tak perlu buat? Jika begitu matematiknya bagaimana pula yang kita lihat lifestyle lagi moden, minum alkohol elok je ada anak? Ini ujian mereka dan lambat dapat zuriat hanya asbab sahaja. Sama seperti kita yg diuji anak sakit, anak kurang upaya sedangkan kita sudah beri makanan terbaik, jaga kesihatan ketika mengandung tetapi tetap diuji.
Kerana ujian itu memang sebahagian dari kehidupan kita. Ujian rezeki memang diberi berbeza. Jaga kata-kata, jaga mulut lebih lagi para ibu. Dari anda sibukkan hal tak bermanfaat dan menyakiti hati orang lain, lebih baik mulut itu banyakkan berdoa kerana kata-kata anda makbul. Ini digunakan menghina insan lain tidak takutkah jika ujian lagi teruk berbalik pada kita? Jangan begitu. Kita sesama wanita seharusnya lebih faham bukan menjatuhkan lagi emosi mereka.
Kita sama-sama hebat, Allah ciptakan kita dengan Maha Adil. Tak hebat pun kita ada anak ramai, dan tak hina pun kita ada nak seorang atau tiada. Hebatnya kita ‘disana’ nanti. Pelihara mulut, akal dan hati.
– Sarah
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
MW: Jagalah mulut daripada berkata-kata yang boleh menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain. Rezeki dapat anak adalah ketentuan daripadaNya.Memiliki anak satu ujian, tidak memiliki juga merupakan satu ujian. Bersabarlah, pasti terselit hikmah yang dijanjikannya.
Sumber: IIUM Confessions