Tak Tahan Sering Dihina Tak Pandai Masak, Wanita Tekad Racun Ahli Keluarga Sendiri!

Share

Kesabaran ada batasnya, berhati-hatilah dalam berkata-kata jangan sampai menghina dan menyakitkan hati orang lain.Bila hati dah sakit dan geram, macam-macam perkara boleh dilakukan sehingga sanggup meracun dan membunuh ahli keluarga sendiri!

Memetik laporan Hindustan Times, akibat tidak tahan sering dihina kerana tidak pandai memasak, seorang wanita di India dihukum mati atas pertuduhan membunuh lima ahli keluarganya dalam sebuah majlis ‘housewarming’ pada Isnin lalu.

Guna Racun Ular

Dalam kejadian di daerah Raigad, tertuduh didakwa mencampurkan sejenis racun untuk membunuh ular ke dalam kuah dal yang dihidangkan kepada tetamu. Menurut pihak polis, tertuduh, Pradnya Survase, 23 tahun, sering dihina oleh keluarganya kerana warna kulitnya dan tidak pandai memasak.

Sehubungan itu, polis juga berkata, Survase mempunyai niat untuk membunuh suaminya, ibu mertua serta dua kakak ipar dan seorang birasnya yang sering melontarkan kata-kata hinaan hampir setiap hari.

“Sejak perkahwinannya dua tahun lalu, dia telah dihina hampir setiap hari kerana berkulit gelap dan tidak dapat memasak dengan baik.

“Survase yang pernah gagal dalam perkahwinan pertamanya mempercayai saudara mara beliau juga telah merosakkan hubungannya dengan suami,” kata jurucakap polis kepada Hindustan Times.

Dianggarkan 120 orang tetamu hadir ke majlis berkenaan yang bermula pada pukul 2.30 petang hingga 11.30 malam, lapor media tempatan. Bagaimanapun, tetamu lain yang menikmati makanan pada majlis itu mula berasa mual, muntah dan sakit perut hanya beberapa jam kemudian dan sedang dirawat di hospital.

Ujian forensik mendedahkan racun tersebut wujud di dalam kuah dal berkenaan dan racun itu dijumpai berhampiran rumah mangsa. Survase didakwa atas tuduhan membunuh dan konspirasi cubaan membunuh di bawah Kanun Keseksaan India.

Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran, jangan suka sangat jadi makcik pakcik ‘bawang’, yang menyakitkan hati orang lain dalam berkata-kata. Bagi yang bergelar ibu mertua, kakak ipar, adik ipar mahupun biras, jagalah hubungan dan ikatan kekeluargaan. Jika tidak ada perkara yang perlu diperkatakan, adalah lebih baik diam daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris hati.

Sumber: Astro Awani & Hindustan Times

Published by
Suhaidah Abd Wahab