Sakit bersalin memang tak tertanggung rasanya.Lebih-lebih lagi jika tiada pengalaman merasainya sebelum ini dan ia kelahiran yang pertama. Atas faktor tidak tahan menanggung ‘azab’ kontraksi yang lama, mungkin ada mak-mak yang mengambil jalan mudah meminta untuk dilakukan pembedahan kaedah Caesarean bagi mempercepatkan proses kelahiran, tanpa memikirkan risiko dan akibat yang bakal dihadapi nanti.
Perkongsian oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak yang merupakan Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi ini semoga memberi ilmu dan panduan buat mak-mak semua;
Berikut antara perkongsian beliau;
“Saya tak tahan dah sakit nak bersalin ni doktor. Operate je lah! Senang, abes cerita!”
Apabila kita berada dalam kesakitan melampau, terkadang kita hilang pertimbangan dan meminta untuk diperlakukan apa sahaja tanpa memikir baik buruk sesuatu keputusan itu.
Walau bagaimanapun jika terdapat indikasi pembedahan Caesarean perlu dilakukan, kami tanpa berlengah lagi akan memastikan ianya dilakukan dengan sepantas kilat untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi dalam kandungan.
Yang menjadi perhatian saya adalah ibu-ibu yang meminta agar dilakukan pembedahan caeserean ke atasnya tanpa sebab musabab yang difikirkan perlu secara perubatannya. Pembedahan caeserean bukannya benda main-main, silap haribulan segala macam komplikasi boleh timbul. Maka, kedua-dua pesakit dan suami perlu ambil tahu mengenai risiko yang bakal mereka hadapi.
Apakah risiko-risiko utama pembedahan Caesarean?
1. Kesakitan
Selepas pembedahan anda bukannya boleh berjalan segera seperti sediakala. Ada kalanya memerlukan bantuan untuk bergerak berhari-hari lamanya. Anda akan rasa sakit pada bahagian luka pembedahan dan rasa tidak selesa pada bahagian perut selama beberapa minggu selepas pembedahan.
Anda akan diberi ubat tahan sakit untuk menangani kesakitan ini, tetapi ia masih akan mengganggu aktiviti seharian anda untuk beberapa ketika.
2. Jangkitan kuman
Sebelum dibedah, anda akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan kuman. Walau bagaimanapun, kira-kira 8 % daripada wanita yang menjalani caesarean masih mendapat jangkitan selepas pembedahan.
Ads
Terdapat tiga jenis jangkitan utama yang perlu diberi perhatian:
1) Jangkitan pada bahagian luka pembedahan
Tanda-tanda jangkitan pada luka termasuk kemerahan, berair, atau kesakitan yang semakin teruk pada bahagian tersebut. Ada kala ianya mengeluarkan nanah.
2) Jangkitan pada rahim
Ini dipanggil endometritis. Masalah ini lebih berkemungkinan berlaku jika air ketuban anda pecah lama sebelum anda mula rasa sakit bersalin. Tanda-tanda jangkitan ini termasuk pendarahan yang teruk dan darah nifas berbau busuk dan juga demam ketika berpantang.
3) Jangkitan salur kencing
Semasa pembedahan, sejenis tiub kencing akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing anda. Jangkitan boleh berlaku melaluinya.
3.Darah beku
Mana-mana pembedahan meningkatkan risiko anda mengalami darah beku. Ini boleh jadi serius, bergantung kepada di mana pembekuan itu berlaku. Jika pembekuan berlaku dalam paru-paru, ia boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda masalah ini termasuk:
Ads
– batuk;
– sesak nafas;
– kesakitan atau bengkak pada bahagian betis
– sakit dada
Doktor mungkin akan memberi anda ubat untuk mencairkan darah dan sejenis stokin khas untuk memastikan peredaran darah menjadi lancar pada kaki anda. Anda juga digalakkan supaya berdiri dan berjalan-jalan secepat mungkin selepas pembedahan caesarean. Ini akan membantu peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku.
4. Perlekatan Organ Dalaman
Seperti juga pembedahan lain pada bahagian perut atau pelvis, caesarean berisiko menyebabkan lekatan (adhesion) semasa proses penyembuhan. Perlekatan yang saya maksudkan ialah kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ-organ pada abdomen anda melekat sesama sendiri atau pada bahagian dalam dinding perut. Kira-kira separuh daripada wanita yang menjalani caesarean mengalami perlekatan ini dan jumlah ini meningkat kepada 83 % selepas tiga kali pembedahan caesarean.
Kadang kala perlekatan boleh menyebabkan kesakitan (adhesion colic) kerana ia mengehadkan pergerakan organ-organ dalaman.
5. Pembiusan
Kebanyakan pembedahan caesarean dilakukan tanpa pembiusan penuh (general anaesthetia), yang membuatkan anda tidur. Sebaliknya, anda akan diberi spinal atau epidural yang akan menyebabkan bahagian perut dan kaki berasa kebas supaya pembedahan boleh dilakukan. Epidural/spinal lebih selamat bagi anda dan bayi berbanding pembiusan am. Walau bagaimanapun, apa-apa jenis pembiusan melibatkan sedikit risiko.
Ads
Apakah Komplikasi Lain ?
Komplikasi yang serius sangat jarang berlaku, iaitu kurang daripada 1 %. Komplikasi serius yang dimaksudkan :
Kecederaan kepada pundi kencing, tiub yang menyambungkan buah pinggang dengan pundi kencing ( ureter ), atau kepada usus. Doktor mungkin perlu menjalankan pembedahan membuang rahim (hysterectomy) sebagai langkah menyelamatkan nyawa jika berlaku tumpah darah yang serius yang boleh mengancam nyawa ibu.
Anda mungkin perlu menjalani pembedahan caeserean pada masa akan datang. Perkara ini akan dibincangkan semula dalam kehamilan berikutnya.
Ada juga bayi yang terluka sedikit akibat terkena pisau bedah. 2% bayi mengalami luka kecil semasa pembedahan caeserean.
Akhir kata, buat keputusan yang sewajarnya, jangan membabi buta. Jangan ambil bulat-bulat ‘cakap-cakap’ orang. Banyakkan bertanya pada mereka yang berilmu dan bertauliah.
Takde nye saya potong orang sesuka hati, tanpa sebab yang munasabah
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Sudah ajalnya, penuntut lelaki jurusan Sains Univeriti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor maut selepas jatuh dari tingkat empat bangunan asramanya ketika berbual menerusi telefon bimbit.
Namun sebelum belaku kejadian ini, ayahnya ada rasa sesuatu yang pelik pada arwah anaknya. Ini seperti yang diceritakan olehnya sendiri apabila anaknya meluahkan rasa nak belanja kawan-kawannya makan rambutan.
“Ayah, bawa buah rambutan banyak-banyak, Addin nak belanja kawan-kawan satu blok.”
Pesanan itu masih terngiang di telinga Azmi Alias, 54, bapa kepada Allahyarham Nik Muhammad Addin, 18, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan asramanya, malam tadi.
Cerita Dari Si Ayah
Azmi ketika berkongsi saat akhir bertemu anaknya berkata, Addin baru tiga minggu berada di Universiti Teknologi Mara, Dengkil mengikuti kursus Sains Asasi.
“Semalam, saya bersama isteri (Nik Azizon Nik Tauran) dan abangnya (Nik Muhammad Aliff) mengajak Addin ke rumah pakciknya di Port Dickson untuk makan durian namun Addin memaklumkan tidak dapat ikut kerana banyak tugasan dan kertas kerja yang perlu disiapkan.
“Dia berpesan meminta kami singgah apabila dalam perjalanan pulang dan meminta agar saya membawa buah rambutan sebanyak yang mungkin.
“Saya berikan satu plastik penuh rambutan, tetapi Addin beritahu tidak cukup kerana dia ingin belanja semua kawan-kawannya. Saya pelik kerana dia baharu sahaja berada di situ selama tiga minggu tetapi sudah mempunyai ramai kawan.
“Kami berempat kemudian ke kompleks beli belah untuk membeli baju untuk arwah anak saya. Sebelum kami pulang, ibunya sempat berpesan kepadanya supaya belajar rajin-rajin, dan dia hanya tersenyum kepada isteri saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan PJS4, Petaling Jaya, hari ini.
Ibunya Sendiri Memeriksa Nadi
Mengimbas kembali ketika menerima berita sedih kejadian menimpa anak bongsunya, Pakar Teknikal di syarikat swasta itu berkata, isterinya menerima panggilan kira-kira 11 malam.
“Saya kemudian memandu kereta selaju yang mungkin. “Sebaik tiba, saya lihat anak saya terbaring dan ditutup dengan kain, saya meminta isteri saya yang juga seorang doktor untuk memeriksa nadinya. Isteri saya mengesahkan Addin sudah meninggal dunia.
“Arwah seorang budak yang sangat baik, bila saya memberikan khabar sedih ini kepada jiran dan sesiapa yang mengenali, semua sedih. Dia tidak pernah cerita buruk mengenai orang lain, dan dia seorang anak yang boleh diharap.
“Hati saya rasa berat dan sedih sangat. Saya menjaganya daripada dia masih kecil, setiap hari saya hantar dia daripada mula masuk tadika hinggalah ke sekolah menengah. Bila dia masuk ke UiTM, tidak sampai sebulan, kami kehilangannya,” katanya.
Berbual Menerusi Telefon Bimbit
Allahyarham Nik Muhammad Addin disembahyangkan di Surau Al Husna, Taman Medan Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan PJS4.
Menurut keterangan rakannya yang juga saksi kejadian, mangsa sedang berbual menerusi telefon bimbit sambil duduk di atas palang besi balkoni menghadap ke luar bangunan.
Mangsa tergelincir daripada besi itu sebelum terjatuh dari ketinggian tingkat empat bangunan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Abdul Aziz berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Info: Harian Metro Dan Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai pasangan yang ingin memiliki anak kembar. Namun apabila diuji dengan kelahiran bayi kembar istimewa, Down Syndrome bagaimanakah agaknya perasaan untuk menghadapi kenyataan ini. Kelahiran Iman Razin & Iman Raziq merupakan ujian dan anugerah teristimewa buat pasangan cekal Ahmad Amin Abd Rahman, 31, dan isterinya, Khalila Ibrahim, 30.
Keluarga bahagia ini dikurniakan dengan empat orang anak-anak lelaki yang comel dan kian membesar. Aiman Hakim, 9, Akif Hakim, 6 dan sepasang bayi kembar Iman Raziq, Iman Razin 2 tahun 9 bulan.Dua kelahiran pertama mereka ini membesar dengan sihat dan ceria. Namun ditakdirkan kelahiran ketiga kali ini, pasangan ini diuji dengan dikurniakan anak-anak lebih istimewa yang mempunyai Down Syndrome.
Tiada Masalah Sepanjang Mengandung
Mengimbas kembali pengalaman ketika mengandungkan Razin dan Raziq, Khalila berkata;
“Detik perjalanan sepanjang mengandungkan kembar istimewa ini cukup mudah. Tidak mempunyai masalah dan tidak mengalami alahan seperti kebanyakan wanita lain alami. Genap kandungan dua bulan, saya telah disahkan mengandung kembar oleh doktor apabila memiliki dua kantung berasingan melalui ujian imbasan yang dilakukan. Pelbagai perasaan teruja dan gembira bercampur baur apabila bakal dikurniakan kembar.
“Apabila kandungan memasuki usia tujuh bulan, kedudukan bayi masih dalam keadaan melintang dan posisinya juga tidak berubah. Apabila kandungan menjangkau usia 37 minggu, doktor membuat keputusan kelahiran harus dilakukan melalui proses pembedahan.
“Tarikh 2 Jun 2015, si kembar istimewa ini dilahirkan. Iman Razin memiliki berat 2.7kg manakala Iman Raziq 2.8kg. Sejurus dilahirkan, doktor dan suami merahsiakan daripada saya, yang anak kami mempunyai Down Syndrome. Para doktor di Hospital Ampang Puteri mengambil masa sehingga tiga hari untuk mengesahkan bayi kembar kami mempunyai Down Syndrome .
“Ini kerana melalui ujian kesihatan dan pemeriksaan yang dilakukan sewaktu mengandung semuanya dalam keadaan normal. Hatta, kami turut telah melakukan ujian imbasan bagi menentukan ujian analisis kromosom untuk mengenal pasti keadaan kandungan ketika itu, dan keputusannya juga negatif. Bahkan, kedua-dua keluarga kami juga tidak mempunyai sejarah genetik Down Syndrome ini. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang, takdir Allah menentukan segala-galanya.
Masalah Jantung Berlubang & Tiada Lubang Dubur
“Belum reda sepenuhnya menerima hakikat keadaan kembar, perasaan kami sekali lagi diuji apabila doktor mengkhabarkan bahawa kedua-dua bayi kami mengalami masalah jantung berlubang dan ketiadaan lubang dubur yang memerlukan pembedahan untuk membuat saluran tersebut.
“Bagaikan halilintar membelah bumi, pada mulanya agak sukar untuk saya terima hakikat, mengapa saya yang terpilih dikurniakan anak-anak syurga ini, ditambah pula dengan komplikasi yang mereka alami. Tidak tertanggung rasanya perasaan ini. Saya merasa sungguh down sehinggakan sampai satu tahap saya rasa tidak ingin melihat mereka kerana tidak sampai hati memikirkan masa depan yang akan mereka lalui jika tanpa saya di sisi.
“Selama dua minggu sepanjang tempoh berpantang beliau dan suami berulang alik ke hospital melihat keadaan si kembar, berkampung tidur di hospital. Enam bulan pertama, kami berusaha untuk tidak keluar rumah kerana dalam tempoh ini, antibodi bayi kembar istimewa ini tidak cukup kuat dan mudah mendapat penyakit,” ujar Khalila panjang lebar mengenai kronologi kelahiran dan pemeriksaan yang telah dilalui oleh si kembar Razin dan Raziq sejak bayi lagi.
Keluarga Beri Semangat
Raziq telah menjalani pembedahan Stoma iaitu bukaan pada sebahagian daripada usus atau saluran kencing di bahagian permukaan atas perut sebagai saluran keluar untuk bahan kumuh seperti najis atau air kencing, pada bulan Disember manakala Razin telah menjalani pembedahan yang sama ini pada bulan September 2016. Selepas pembedahan tersebut, Khalila dan suami, perlu mencuci, menukar beg stoma dan tapak beg stoma setiap hari demi memastikan kebersihan dan percernaan si kembar ini berjalan lancar. Berita baik juga diterima, saluran jantung mereka tidak lagi berlubang dan mereka tidak perlu menjalani pembedahan.
Selain itu, sebagai ibu dan bapa, kedua-duanya cuba sebaik mungkin untuk membantu perkembangan si kembar agar terus positif melalui terapi. Khalila dan suami melakukan inisiatif dengan mengupah ahli fisioterapi seminggu sekali untuk datang ke rumah untuk melakukan terapi khusus pada kembar istimewa ini. Ia demi memastikan tahap pembesaran dan kemahiran Razin dan Raziq berkembang dengan lebih cepat. Ini kerana bagi anak-anak Down Syndrome ini, ia perlu diberikan stimulasi dan diajar pergerakannya.
Menurut Khalila lagi, beliau amat bersyukur anak kembar istimewanya cukup mudah dijaga, tidak mudah meragam dan menangis, selain bersikap manja dan penyayang. Kehadiran mereka bagaikan memberi sinar, membuka mata dan hati beliau dan suami agar lebih mendekatkan diri pada Ilahi. Suami dan abang sulung Khalila banyak memberikan kata-kata semangat dan motivasi buatnya, untuk belajar menerima hakikat ini dan agar lebih positif, selain ahli keluarga dan rakan-rakan yang turut memberikan semangat.
Selain itu, Khalila dan suami juga turut aktif menyertai aktiviti persatuan KIWANIS dan grup ‘Bunga-bunga Syurga’ di Facebook yang khusus untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak Down Syndrome. Satu azimat daripada pasangan ini, banyakkan bersabar dan paling utama jangan putus asa dalam menjaga anak-anak teristimewa ini.
Buat mak ayah yang turut memiliki anak syurga yang teristimewa ini, semoga terus cekal dan tabah memiliki anak ini. Anggaplah mereka sebagai ‘saham’ kita untuk mengumpul pahala di akhirat nanti. Hakikatnya, insan-insan istimewa inilah yang mendidik kita menjadi sebenar-benar manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Jika tak tahan dengar tangisan bayi, tak sabar.” Jangan cuba mengasuh anak orang. Menjaga anak sendiri dan anak orang banyak bezanya.
Anak sendiri mungkin lebih mudah mendengar kata, nama pun budak kecil manalah dia faham. Oleh itu kalau anda memang seorang yang penyayang, sukakan budak-budak mungkin tidak ada masalah.
Tetapi jangan disebabkan fikirkan untung dan semata-mata ingin tambah pendapatan, janganlah dipertaruhkan nyawa anak orang.
Kongsi Dr Erna Nadia, kes melibatkan kematian bayi dan kanak kanak tak kiralah di rumah sendiri atau pengasuh atau sekolah sekalipun memang akan menyentuh titik hati paling dalam.
Tak boleh tengok atau baca sampai habis sebab macam-macam yang terbayang dalam kepala.
Anak kucing malah anak anjing kena lenyek kenderaan atau kena dera pun dah sayu kita lihat, apatah lagi anak manusia.
Nauzubillahiminzaalik.
Semoga kita, keluarga kita, sahabat kita dan semuanya dijauhkan dari jahat yang ini.
Nasihat saya cuma satu, jika anda memang tak boleh tahan dengar tangisan bayi atau kanak kanak atau anda tak sabar untuk jaga anak anak, sila jangan cuba-cuba untuk jaga atau asuh anak anak orang lain. Jangan hanya sebab duit, kita iya kan padahal tidak mampu.
Untuk yang sudah kahwin atau plan untuk kahwin, kalau masih rasa belum mampu nak handle anak-anak kecil, janganlah dulu. Ramai juga yang parents sendiri pun dera anak anak sendiri. Bukan setakat dera tapi lebih dari itu pun ada.
Jangan Cuba Mengasuh Anak Orang
Kasihan anak kecil.
Mereka tak tahu apa dan tak berdaya pun.
Allah Maha Melihat dan Mengetahui. Dia yang cipta kita pun. Kalau pun kita terlepas hukuman dunia, akhirat yang kekal abadi tu kita tak akan terlepas pun. Nak lari ke mana. Semua dosa salah kita akan ditayangkan di hadapan semua orang. Setiap satunya.
Ya Allah, lindungilah kami dan keluarga kami dari kejahatan dan kekejaman manusia, amin ya rabbal alamin.
Dr. Erna Nadia
Seminggu kena kuarantin, buka fb macam macam cerita ada na. Allahuakbar.
Mingguan Wanita : Kes-kes yang berlaku kadang-kadang membuka mata mak ayah agar berhati-hati dalam memilih pengasuh atau nursery. Tidak dinafikan itu adalah takdir, namun jika diberi peluang, pilihlah yang terbaik untuk anak-anak.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.