Tak Semua Ubat Kena Simpan Dalam Peti Ais Dan Ikutlah Cara Yang Betul

Share

Rasanya setiap rumah mesti ada simpan ubat, terutamanya ubat demam. Kalaulah tiba-tiba anak sakit atau demam tengah malam, tak adalah risau. Minum ubat demam dan nanti baruah ke klinik atau hospital.

Walaupun ada ubat simpanan di rumah, mak-mak kena ambil tahu sebab tak semua ubat yang ada di rumah kena simpan dalam peti ais. Mesti mak-mak tak berapa yakin simpan kat luar atau guna suhu bilik sahaja. Rasa selamat bila simpan dalam peti ais kan.

Ikuti perkongsian daripada Muhammad Mawardi bin Zakaria, Pegawai Farmasi Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia tentang cara beul penyimpanan ubat-ubatan.

Kesan Waktu Kecemasan

Amalan penyimpanan ubat yang betul adalah penting bagi memastikan ubat-ubatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Kesan rawatan yang diingini mungkin tidak tercapai sekiranya ubat-ubatan tidak disimpan dengan cara yang betul, lebih-lebih lagi bagi ubat-ubatan yang digunakan untuk mengawal penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, asma dan kegagalan jantung.

Sekiranya ubat-ubatan tidak disimpan dalam keadaan yang baik, ia boleh membawa impak kepada pesakit terutamanya ketika waktu kecemasan. Bayangkan keadaan sekiranya ubat sedut (inhaler) yang diperlukan oleh pesakit yang mengalami serangan asma hilang keberkesanan akibat daripada cara penyimpanan ubat yang tidak sempurna, ia boleh mengundang bahaya kepada pesakit.

Setiap ubat memerlukan keadaan penyimpanan yang berbeza. Keadaan ini sering menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pesakit berkaitan cara penyimpanan ubat yang sesuai. Justeru, adalah amat penting bagi setiap pesakit untuk mengetahui dan mengamalkan cara penyimpanan ubat-ubatan yang betul supaya kualiti, keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan sentiasa terpelihara.

Tengok Label Kotak

Lazimnya, cara penyimpanan setiap ubat dicetak oleh pihak pengilang pada label kotak ubat atau dalam sisipan produk. Selain itu, ahli farmasi juga akan menerangkan cara penyimpanan ubat yang betul kepada pesakit semasa proses pendispensan. Pesakit dinasihati untuk merujuk kepada mana-mana ahli farmasi sekiranya masih keliru berkaitan arahan cara penyimpanan ubat.

Terdapat beberapa perkara asas yang perlu diamalkan oleh pesakit dalam penyimpanan ubat-ubatan.

1. Ubat-ubatan perlulah disimpan dalam bekas yang bertutup dan disimpan di tempat yang tidak mudah dilihat dan dicapai oleh kanak-kanak.
2. Menyimpan dan meletakkan ubat jauh daripada capaian kanak-kanak merupakan perkara asas yang seharusnya diamalkan kerana kanak-kanak cenderung untuk memasukkan sebarang objek ke dalam mulut.
3. Pesakit juga dinasihatkan untuk menyimpan ubat dalam bungkusan asal berserta label ubat.
4. Ubat-ubatan ini perlu dilabel untuk memudahkan pencarian ubat dan memudahkan pesakit mengenal pasti ubat-ubatan mereka. Ini adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan dan memastikan pesakit mengambil ubat yang betul.

Simpan Berasingan

Selain itu, pesakit dinasihatkan untuk menyimpan ubat-ubatan secara berasingan dan tidak mencampurkannya dengan barang-barang yang lain. Asingkan ubat makan (tablet, sirap dan sebagainya) dan ubat untuk kegunaan luar (krim, salap, losen dan sebagainya). Amalan ini boleh membantu mengelakkan kejadian kesilapan pengubatan yang tidak diingini seperti terminum ubat untuk kegunaan luar.

Di samping itu, suhu tempat penyimpanan ubat merupakan perkara yang perlu diberi perhatian. Bukan semua jenis ubat perlu disimpan di dalam peti sejuk. Simpan ubat seperti yang disarankan pada label ubat bagi memastikan kualiti ubat tidak terjejas. Secara umumnya, ubat-ubatan disimpan pada suhu bilik, kecuali jika dinyatakan secara spesifik untuk disimpan pada suhu yang lebih rendah.

Bekas Tertutup

Sekiranya terdapat arahan pada bungkusan ubat menyatakan “simpan ubat pada suhu 2°C hingga 8°C”, ia bermaksud ubat tersebut perlu disimpan di dalam peti sejuk. Simpan ubat dalam bekas bertutup di bahagian tengah peti sejuk.

ELAKKAN SIMPAN UBAT DI BAHAGIAN SEJUK BEKU ATAU DI PINTU PETI SEJUK.

Antara contoh ubat-ubatan yang perlu disimpan dalam peti sejuk adalah seperti insulin, sesetengah jenis ubat titis mata dan suspensi antibiotik yang telah dibancuh. Sekiranya ubat tersebut tidak disimpan seperti yang disarankan, ia boleh menyebabkan kerosakan ubat dan berkemungkinan pesakit juga akan mendapat kesan sampingan yang tidak diingini.

UBAT JUGA TIDAK BOLEH DISIMPAN DI DALAM KERETA. Ini kerana kereta yang terletak di bawah sinaran cahaya matahari boleh mencecah suhu yang tinggi. Ini seterusnya boleh menyebabkan ubat tersebut rosak dan boleh hilangan keberkesanannya.

Pesakit dinasihatkan untuk menyimpan ubat-ubatan tersebut dalam beg sejuk (cooler bag) bersama-sama pek ais jika pesakit perlu melakukan perjalanan dengan ubat-ubatan yang memerlukan penyimpanan sejuk. Ubat-ubatan tersebut juga perlu terus disimpan dalam peti sejuk sebaik sahaja tiba di destinasi.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

MW: Mak-mak kena faham betul-betul, ubat mana yang sesuai untuk disimpan pada suhu bilik dan dalam peti ais. Ini belum lagi kita tengok tamat tempoh ubat itu.

Published by
Nora