Isteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan.
NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Sumber/Foto : Husna Adnan
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW