Isteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
TIDAK SEMUA SAKIT TERLIHAT PADA MATA
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Ads
Pengalaman Pesakit Panic Disorder Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa?”
Ya, kita yang sihat tidak akan faham sekiranya tiada ilmu. Hal biasa saja tapi kenapa nak takut beria?
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Buku Biru Sebagai Bukti Ketika Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Ads
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak.”
Aku pun angguk dan berjalan ke arah pintu masuk sebelum seorang lagi petugas wanita bersuara, “Masuk tapi tak boleh duduk ya kak. Akak kena berdiri. Kerusi untuk yang nak isi borang je.”
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Sebagai Penjaga Pesakit, Ini Yang Selalu Dihadapi
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Orang Tak Beri Duduk, Saya Tak Duduk
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.
Ads
Harap Mudahkan Urusan Kes Yang Ada Bukti Klinikal
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan. NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Boleh jadi anak kita jenis hipersensitif bunyi. Tapi sebab ibu kurang ilmu, ibu tak faham bila anak-anak asyik meragam dan menangis tak sudah. Inilah juga yang dihadapi Maryam Jamadi, Occupational Theraphy / Terapi Cara Kerja ketika berhadapan dengan anakny, Eva yang hipersensitif bunyi
Anak Hipersensitif Bunyi
Bagi susu, tak nak.
Bagi biskut, tak nak.
Bagi mainan, tak nak.
Bagi buku, tak nak.
“Ketuk” perut, tak kembung.
Makin dipeluk, makin meronta.
Tadi saya makan di kedai makan steamboat sebab teringin nak makan tomyam thai, selalunya saya akan pilih meja hujung dan tak ramai orang tapi kali ini terpaksa duduk betul-betul di sebelah dapur jenis terbuka .
Anak saya, Eva memang sangat suka makan dan “excited” bila tahu masa untuk makan. Tapi hari ini dia meragam, menjerit dan menangis tak tentu pasal macam kena dera.
Semua “modal” dah keluar tapi Eva masih mengamuk. Cara terakhir, saya bawa Eva keluar dari kedai sebab orang lain dah pandang lain macam.
Tiba-tiba Eva diam dan senyum.
Bila saya masuk semula sebab makanan dah sampai, Eva mengamuk semula. Takut juga ada “something” dalam kedai itu.
Baru saya teringat yang Eva memang hipersensitif bunyi sejak lahir. Bunyi-bunyi dari dapur terbuka menakutkan dan “mendera” deria pendengarannya.
Tanda-tanda Ini Menunjukkan Anak Kita Hipersensitif Bunyi
1. Kalau tidur dalam keadaan senyap, pantang ada bunyi sikit hatta kain bergesel, jalan macam ninja pun boleh terjaga.
2. Takut dengan bunyi mesin seperti “vacuum cleaner” dan blender.
3. Mudah terkejut dengan bunyi, kadang-kadang mummy dengan papa tiba-tiba ketawa kuat pun dia boleh terkejut dan menangis ketakutan.
4. Sangat peka dengan sekecil-kecil bunyi yang ada dimana-mana, contohnya bunyi construction, pintu atau binatang.
5. Mudah terganggu dan kadang-kala takut dengan bunyi yang berterusan seperti bunyi kipas, “aircond”, air menitik atau hujan.
6. Walaupun tinggikan suara sedikit semasa bercakap, akan menangis seperti didera dan dimarahi.
Tanda-tanda di atas memang ada pada Eva tetapi semakin berkurangan melalui terapi dengan mummy-nya. (Nasib baik).
Anak yang ada hipersensitif pendangaran memang sangat peka dengan bunyi. Mereka boleh mendengar sekecil-kecil bunyi. Tentang ini memang ada pros and cons:
PROS:
√ Anak akan mudah memahami arahan, mudah respon serta mengikut bunyi.
CONS:
√ Boleh menyebabkan risiko kelewatan bercakap jika selalu disogok dengan bunyi yang tidak bermakna dan tidak penting.
7 Cara Ini Bantu Mak Ayah Hadapi Anak Hipersensitif Bunyi
1. “Auditory Filtering”
Kebolehan menapis bunyi ataupun “auditory filtering” bagi anak bawah 2 tahun selalunya memang dalam “pembinaan” lagi. Maka, mereka akan dengar dan serap semua bunyi yang ada.
Untuk anak jenis hipersensitif bunyi, jika 24 jam diberi input pada deria pendengaran memang menyebabkan masalah untuk anak mengenal dan menapis bunyi.
Cuba bayangkan betapa penatnya deria pendengaran anak jika terlampau banyak bunyi dalam satu masa sampai satu tahap anak tapis semua bunyi menyebabkan mak ayah panggil pun tak menyahut.
2. Hormat Dan Fahami Anak
Jika mak ayah dapati anak dalam kategori ini, dinasihatkan untuk hormat dengan deria pendengaran anak yang sangat sensitif.
Walaupun bagi mak ayah “alah, bunyi blender pun nak takut”, tapi bagi anak ia umpama ada speaker bunyi blender di sebelah telinga. Hormat dan beri sokongan pada anak semasa anak takut dengan sesuatu bunyi.
3. Beri Masa Jangan Takutkan Anak Boleh Sebabkan Trauma
Beri anak masa untuk membiasakan dengan bunyi yang baru dan menakutkan bagi mereka, elakkan menakut-nakutkan anak kerana boleh menyebabkan trauma.
4. “Kawan” Dengan Punca Bunyi Yang Jadi Ketakutannya
Kalau anak takut dengan “vacuum cleaner:, mak ayah pegang-pegang “vacuum cleaner” dan ajak anak pegang sekali ambil sebut nama mesin. Jangan memaksa, beri anak masa untuk “berkawan” dengan punca bunyi yang menakutkan itu.
5. Beritahu Sebelum Buka Punca Bunyi
Kira 1 hingga 10 sebelum buka “vacuum cleaner” atau apa-apa mesin yang menakutkan supaya anak bersedia untuk menerima bunyi.
6. Jangan Tengking Anak
Anak kategori ini mak ayah tak perlu pun marah atau tegur menggunakan suara yang terlalu kuat, kadang-kadang dengan cara berbisik pun anak boleh dengar.
7. Elakkan TV Dan Gadget Semasa Umur Bawah 18 Bulan
Saya mempunyai banyak kes kelewatan bercakap disebabkan anak hipersensitif bunyi tetapi mak ayah dedahkan dengan TV atau gadget 24 jam.
Sayang sangat tak gunakan deria pendengaran anak yang sensitif untuk meningkatkan skil bahasa anak. Jangan terkejut bila saya katakan anak yang dalam kategori ini mempunyai potensi belajar pelbagai bahasa jika mak ayah didik dengan cara yang betul.
Maka, dalam mendidik anak sangat penting untuk mak ayah tahu “pattern” anak sebelum menghukum anak. Macam kes Eva tadi, akhirnya kami terpaksa makan bergilir-gilir.
Bacaan ini khas buat mak ayah yang selalu suap anak dengan gajet tanpa ada had. Perkongsian daripada Murni Murni ini mendapat perhatian netizen sebab senarai masalah-masalah yang dikait memang selalu berlaku pada kanak-kanak hari ini, jom semak…
Budak ni guna Hp untuk main online game dan sentiasa minta duit dari atok dia. Sekali, atok dia tak mahu bagi, dia mengamuk dan ambil pisau potong daging tu. Kiri kanan tangan pegang pisau sambil menjerit-jerit minta duit. Siap ugut-ugut bagai. Korang baca la sendiri screenshot tu. Ngeri aku tengok video tu.
Aku pun masih dalam proses mendidik anak untuk mengelakkan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh gadget ni.
Jom kita senaraikan masalah-masalah yang boleh timbul disebabkan oleh gadget ni supaya kita berusaha sehabis baik menjauhkan anak-anak kita dari gadget.
1. Masalah mata! Anak seorang guru rabun jauh 350 degree pada usia 7 tahun. Angkara gadget. Ada yang kena cancer mata diusia muda, juga disebabkan oleh gadget. Ni bukan cerita dongeng. Ini kenyataan! Macam aku dan suami tak rabun. Alhamdulillah. kalau ditakdirkan anak kami rabun, maksudnya, kami yang salah. Masih belum terlewat untuk berubah.
2. Masalah emosi. Nampak tak kat video tu. Bukankah itu masalah emosi? Emosi yang tidak terkawal boleh menyebabkan kematian! Perasan tak anak kita tantrumnya melampau2 kadang tu bila kita tak bagi gadget? Baling barang bagai. Sebaiknya tak payah bagi langsung.
3. Perkembangan fizikal anak2 terbantut. Biasanya budak mengadap gadget ni kan menunduk sikit. Untuk tempoh yang panjang, posisi macamni boleh rosakkan bahagian atas tulang belakang dan menekan saraf yang menghubungkan bahagian badan dan kepala. Itu belum lagi cerita bab gangguan kepada perkembangan kognitif, psikomoto bagai. Sistem pendengaran pun boleh terganggu. Anak2 kadang minta nak dengar lagu pakai earphone/headphone. Anak2 ku lah itu. Maknya dah sembuyikan semua itu d office.
4. Last but not least, gadget juga mengganggu tidur anak-anak. Screen Hp mengeluarkan bluelight yang mengganggu pengeluaran hormon melatonin iaitu hormon yang mengawal tidur dan bangun kita. Prof. Dr. Muhaya mencadangkan, sejam sebelum masa tidur, jauhkan anak2 dari gadget2 ni untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.
P/S: Untuk emak-emak juga, kalau tak nak kulit tu cepat kendur, sila kurangkan penggunaan gadget ok. Anda kata nak kekal awet muda kan?
Siapa baca sampai habis? Say ‘saya ibu bapa hebat. Aamiiin.
Terima kasih.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siapa yang digelar perampas? Apakah pihak ketiga yang menganggu rumah tangga seseorang? Sebenarnya ia bukan sekadar itu.
Kes 1:
Seorang wanita berstatus isteri kedua setelah mengahwini seorang lelaki berstatus suami kepada seorang wanita dan empat orang cahaya mata di negeri jiran Thailand, mengadu dia tidak menikmati haknya sebagai isteri selepas perkahwinan mereka yang berusia tiga bulan diketahui oleh isteri pertama.
Sejak rahsia perkahwinan dimaklumi, isteri pertama mendesak agar suami tidak melaksanakan tanggungjawabnya mengambil kira pengorbanan isteri yang sanggup menerima kehadiran madunya.
Akur kepada kehendak isteri yang banyak membantunya sebelum itu, suami tidak melaksanakan giliran, berjumpa hanya sesekali dalam sebulan itu pun secara sembunyi dan tidak memberikan sebarang perbelanjaan. Kejadian berlangsung hampir dua tahun sehingga kes diadukan kepada saya.
Kes 2:
Seorang wanita mengahwini lelaki berstatus suami orang. Sejak sembilan bulan perkahwinan, isteri kedua tersebut melarang suaminya daripada balik ke rumah isteri sedia ada malah suami tidak ambil peduli mengenai tujuh anak yang ada.
Kes 3:
Seorang ibu yang baru kematian suami meminta anak lelaki tunggalnya agar balik menetap di kampung bersamanya. Akur kepada kehendak ibu, si anak yang juga suami kepada seorang wanita dan lapan cahaya mata bertindak berhenti kerja dan balik ke kampung tanpa mengambil peduli lagi mengenai isteri atau anak-anak.
Isteri yang tidak bekerja merayu agar turut dibawa balik ke kampung tetapi ibu mentua enggan terima. Bila menantu mengingatkan ibu mentua mengenai tanggungjawab anaknya yang telah bersuami, menantu diherdik dan dicaci maki kerana lupa, darjatnya sebagai ibu berikannya hak yang lebih berbanding isteri.
Kes Yang Benar Berlaku
Kes-kes dikongsikan di atas adalah tiga kes yang benar-benar berlaku dan sampai ke pengaduan saya. Berdasarkan kes, siapakah yang anda fahami sebagai perampas? Perampas biasanya dilabelkan kepada mana-mana gadis atau wanita yang bercinta atau mengahwini lelaki yang telah pun beristeri. Realitinya, bukan semua gadis atau wanita yang mengahwini suami seorang wanita yang lain adalah perampas.
Sukar dipercayai? Analogi mudah, apakah yang dimaksudkan dengan perampas dalam kejadian melibatkan kapal terbang? Pastinya perampas kapal terbang ialah individu yang berjaya mengambil alih matlamat atau tujuan perjalanan kapal terbang daripada juru terbang walau kapal terbang tersebut masih dikendalikan oleh juru terbang yang sama. Ambil alih yang menjadi sebab individu tersebut menjadi perampas.
Siapa Yang Menafikan Hak Orang Lain
Sama dengan isu yang bakal dibincangkan kali ini. Perampas yang sebenarnya menurut kefahaman syariat Islam dan Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di seluruh Malaysia ialah mereka yang dengan sengaja menghalang seseorang yang lain daripada menikmati hak yang disediakan oleh syarak dan undang-undang.
Perampas tak semestinya isteri kedua atau isteri ketiga atau isteri keempat malah perampas boleh juga adalah isteri pertama. Bukan saja isteri malah perampas juga boleh berupa ibu mentua malah sesiapa sahaja yang menjadi dalang dalam menafikan hak seseorang yang lain.
Isteri Pertama Dan Mentua
Merujuk kes dikongsi, dalam kes pertama, isteri pertama adalah perampas. Dalam kes kedua, isteri kedua adalah perampas dan dalam kes ketiga, ibu mentua adalah perampas. Kenapa? Isteri pertama dalam kes yang pertama bertindak menafikan hak isteri kedua.
Walaupun isteri pertama telah berkorban segalanya bukan bermaksud isteri pertama tadi boleh menyekat suaminya memberikan hak yang ditetapkan oleh syariat dan undang-undang kepada madunya. Isteri kedua dalam kes kedua pula adalah perampas kerana menafikan hak isteri pertama dan anak-anak suaminya. Baru atau lebih muda bukan alasan untuk isteri kedua memonopoli si suami.
Dalam kes ketiga pula, ibu mentua adalah perampas kerana menafikan hak menantu. Bagi seorang lelaki, jika telah berkahwin, kewajipan sebagai suami tetap perlu dilaksanakan dan sebagai ibu, anda wajib menyuruh anak lelaki anda melaksanakan tanggungjawabnya, bukan hanya mementingkan kepentingan diri semata.
Jika belum berkahwin dan si gadis atau wanita bercinta dengan suami orang, apakah mereka ini juga perampas? Bagi golongan ini, mereka hanya menjadi perampas jika hubungan yang wujud antara mereka bersama suami orang tadi menyebabkan suami orang tersebut lalai dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami malah sebagai bapa jika telah mempunyai anak.
Lalai bukan hanya bermaksud tidak memberi nafkah atau perbelanjaan bagi keperluan tetapi juga tidak memberi perhatian, layanan dan kasih sayang yang sewajarnya. Jika hanya berhubungan tanpa mengabaikan semua tanggungjawab yang perlu maka mereka bukan perampas.
Jika berdepan dengan perampas, apa yang perlu dilakukan? Perampas boleh didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah malah menurut peruntukan penalti dalam Undang-undang Keluarga Islam.
Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Kaunseling Keluarga Dan Guaman Syariah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!