tersedak susu

Lagi satu kes kematian bayi berusia empat bulan selepas dipercayai tersedak susu di sebuah Taman Asuhan kanak-Kanak (TASKA), Bukit Baru, Melaka.

Cerita dari pihak ayah mangsa, Zainal Abidin Deraman, 34, berkata ketika dihantar ke TASKA itu kira-kira jam 7.30 pagi, anak bongsunya itu berada dalam keadaan sihat.

Kejadian hanya disedari guru TASKA terbabit kira-kira jam 11.45 pagi tadi selepas mendapati muka bayi itu bertukar kebiruan. Dia sangat terkilan dengan insiden tersebut memandangkan dia dan isteri dah lama menunggu untuk mendapatkan zuriat kedua.

“Walaupun masih terkejut, saya redha dengan pemergian anak, kami menantinya kira-kira tujuh tahun selepas anak pertama, tetapi hari ini saya dan isteri berdepan tragedi ini.”

Baru Hantar Bayi Enam Hari

Apa yang lagi menyedihkan, anak kecil ini baru enam hari dihantar ke rumah pengasuh itu. Macam manalah mak-mak yang bekerja tak gelisah untuk keluar mencari rezeki dan tinggalkan anak kepada orang luar.

Bayi itu dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak Isnin lalu apabila si ibu, Roslina Ismail, 34, kembali bertugas sebagai guru selepas habis berpantang.

Selepas kembali bertugas, anak dijaga selama dua minggu oleh ibu mentua dan pada minggu lalu, baru pasangan ini menghantarnya ke TASKA. Luahnya dengan rasa terkilan…

IKLAN

“Tak sangka kejadian ini akan terjadi kepada saya.”

Akur dengan takdir anaknya, cuma ayah si mangsa nak tahu bukti sebenar supaya puas hati.

“Saya minta bedah siasat dibuat supaya puas hati. Buat masa ini kita tidak tahu punca kematian.

“Cuma saya sedih, dia meninggal ketika saya tiada. Sebelum ini, memang perkara sebegini yang saya nak elakkan, kan banyak isu… sebab itu saya bagi mak mertua saya jaga dia.”

Zainal Abidin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata, jenazah anaknya itu dijangka akan dikebumikan di Kelantan selepas selesai proses bedah siasat.

Tersedak Susu Yang Dibekalkan Ibu

Pihak hospital menerima seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12.05 tengah hari.

“Selepas memberikan rawatan menyelamat kira-kira 30 minit, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia jam 12.30 tengah hari,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Bayi itu diberi minum susu yang dibekalkan ibunya jam 8.50 pagi dan pihak TASKA mendakwa bayi berkenaan sudah sendawa sebelum tidur.

Namun tanpa diduga, kira-kira jam 11.45 pagi pengasuh memeriksa bayi itu dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke hospital.

Cara Beri Minum Susu Kepada Bayi Yang Betul

1. Ketika menyusu tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya.

2. Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.

3. Pastikan juga lubang puting botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi.

4. Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.

5. Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan.

6. Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur.

Tak kisahlah anak kecil itu dijaga sendiri atau ada pihak lain menjaga si anak, moga mak-mak di luar sana boleh peka dengan kes seperti ini.