Hiba.. Nur Alya Damia Dicekik Beberapa Minit Dalam Kereta, Sebelum Dicampak Di Tepi Jalan

Sambungan daripada kes kematian adik Nuralya Damia, semua rakan sekelas mangsa terkejut dan sedih apabila dimaklumkan mengenai penemuan mayat penuntut tahun akhir jurusan Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian kolej berkenaan.

Pelajar wanita Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) yang dipercayai dibunuh malam tadi, tidak pernah mengadu ada menerima sebarang ugutan jenayah sebelum ini.

Tak Ada Sikap Ganjil

Menurut rakan sekelas mangsa, Syarifah Noor Shahira Sheikh Mohd Zain, 19, mangsa iaitu Nuralya Damia Mohd Hairi, 19, yang berasal dari Klang, Selangor juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang ganjil sebelum ini kecuali bertukar menjadi sangat periang.

“Dia sangat ceria sebelum ini. Ketika kali terakhir saya menemuinya semasa kelas petang semalam, arwah sangat riang sehingga ditegur pensyarah kami yang turut hairan dengan kelakuannya itu.

“Arwah merupakan seorang yang baik. Kami segera ke tempat kejadian apabila menerima maklumat mengenai kejadian ini dan tak menyangka ia boleh menimpa (Nuralya) Damia kerana setahu kami dia tak mempunyai masalah dengan sesiapa,” katanya.

Ads

Dari rakan serumah mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 19, berkata sebelum kejadian mangsa ada memberitahunya ingin menemui seorang rakan lelaki yang juga pelajar kolej yang sama, kira-kira pukul 9 malam.

“Pelajar lelaki itu turut tinggal di taman yang sama dengan kami,” katanya.

Luahan Ayah Mangsa

Mak ayah mana yang tak sedih dengan berita ini, namun Hairi Jamil, 45 ayah kepada mangsa dan isteri Hanayati Yaakob, 44, reda dengan ketentuan ini.

Ads

“Sepatutnya petang ini dia balik ke Klang lepas habis kuliah. Tak sangka kami menjemputnya dalam keadaan macam ini,” kata Hairi.

Hairi berkata, dia sekeluarga pasti merindui Nur Alya yang mesra dengan panggilan Kak Long kerana arwah seorang anak yang baik dan periang.

Cerita Dari Sudut Orang Yang Menjumpai Mayat Adik Nuralya Damia

Seorang penduduk Taman PD Permata yang mahu dikenali sebagai Aishah, 44, berkata mayat mangsa ditemukan penduduk ketika nak membuang sampah berdekatan kawasan semak berkenaan kira-kira 10.30 malam.

“Saya baru pulang dari solat tarawih dan dikejutkan dengan penemuan mayat pelajar itu, penduduk segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang telah tinggal di kawasan itu sejak 20 tahun.

Ads

Lokasi kejadian itu terletak di kawasan yang agak sunyi iaitu berdekatan rumah paling hujung dalam barisan rumah teres berhadapan tembok tinggi yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat tinggal mangsa.

Ekoran penemuan itu, lokasi itu turut dikerumuni orang ramai. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Takziah buat keluarga mangsa dan semoga pembunuh adik Nuralya Damia ditangkap pihak berkuasa secepat mungkin.

Kredit: Bernama, Berita Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI