
Kita kadang cukup susah nak minta maaf dengan anak sebab EGO. Rasa kita saja yang betul tanpa mengambil kira emosi seorang anak yang sebenarnya mungkin berkecil hati.
Merajuk dan mungkin anak rasa nak marah. Tetapi pernah ke kita guna cara lain selain daripada marah-marah anak?
Macam situasi Doktor Muhammad Hassan ini, pasti mak ayah pernah buat dan cuba tengok kesannya dulu.
Marah Dan Tak Pernah Minta Maaf Dengan Anak
Eee Geramnya.
3 kaedah yang benar-benar buatkan saya berjaya menangani perasaan marah. Yelah anak main HP lepas itu campak sehingga pecah screen. Siapa tidak marah kan? Tapi saya cuba yang ini:
1) Saya akan lakukan DEEP BREATHING. Tarik nafas dalam-dalam dan lepas perlahan-lahan. Lakukan beberapa kali dan saya duduk sambil BERUSAHA SENYUM. Ketika ini saya akan mula rasa boleh fokus apa tindakan yang baik untuk betulkan keadaan.
2) Saya bisik dalam hati.
Itukan anak saya yang diamanahkan oleh الله. Kenapa disebabkan HP saya nak tengking atau pukul dia sampai menangis? Ketika inilah saya perlu tunjukkan akhlak yang baik terhadap anak dalam mendidik. Saya pujuk lagi hati dengan zikir :
Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ) Zikir sebanyak mungkin dan Istiqfar dan baca
حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
Sebanyak mungkin sehinggakan saya rasa sangat tenang dan mampu untuk peluk dan cium anak.
3) Minta maaf kepada anak. Saya cakap muhammad Afiq abi minta maaf ya sebab bagi Muhammad main HP. Abi janji lepas ini afiq nak main HP, abi temankan afiq. Lepas tu tiba-tiba anak peluk saya,cium tangan saya. Lagi saya terkejut dia siap cakap TERIMA KASIH abi.. ya Allah 3 tahun dah pandai cakap terima kasih.
Rupanya bila kita minta maaf dan senyum kepada anak, mereka akan rasa gembira dan mudah giler dengar cakap. Sampai hari ini anak saya dah tak main dah HP. Bila dia nak pegang je terus saya cakap. Muhammad anakku sayang, itu kan abi punya.. sambil saya senyum dan terus dia tak main lagi dan datang kepada saya peluk lagi.

Ya الله .. rupanya mudah sangat kan nak kawal amarah. Baru saya belajar, rupanya bila kita marah ni syaitan bersama kita datang menggoda dan cuba untuk hancurkan kita. Tapi Kan الله ada berfirman.:
وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
• surah fussilat ayat 36.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Fikir Dan Tapis Dulu Sebelum Bercakap, Tak Semua Orang Boleh Terima Komen Kita Pasal Anak!

Baru saja bawa anak keluar dari rumah, mesti ada orang komen pasal anak kita. Mungkin ada yang nak bergurau tetapi dalam diam siapa tahu ada hati yang terguris. Nak-nak anak itu dibandingkan dari segi fizikal dan perangai.
Situasi ini boleh dilihat daripada perkongsian Puan Intan Dzulkefli, ada mulut-mulut yang kadang terlepas cakap tanpa sedar.
Terlajak Kata Komen Pasal Anak
“Kadang rasa bengang bila orang kutuk anak saya ni lambat jalan, lambat tumbuh gigi. Diaorang tak tau ke setiap baby ni lain-lain, mulut tak jaga perasaan orang…” kata ibu A.
Saya mengiyakan dengan senyum.
“Ya betul tu.. baby ni lain-lain.. ada yang cepat, ada yang slow sikit. Asal sihat dan happy, alhamdulillah.”
Kemudian, datang pula ibu B membawa anak-anaknya duduk bersebelahan. Anak-anaknya lebih kurang umur anak-anak saya. Setelah berkenalan serba sedikit antara kami, si ibu A terus bersuara.
“Kecilnya badan adik.. kenapa kurus sangat niiii… anak saya pula nampak lagi besar dan berat dari dia. Kena bagi suplemen ni kak. Chubby la baru comel,”
Zup! Nampak wajah si ibu B terus berubah. Nampak kurang senang dengan kata-kata si ibu A.
“Biasanya bila anak dah pandai berjalan memang badannya jadi susut kan? anak-anak saya pun macam tu. Kadang serba salah juga bila orang mengata kenapa anak kurus sedangkan mak gemuk. Yelah, mana tak gemuk, tiap-tiap hari menghabiskan makanan anak-anak. Diorang taknak makan, leka nak main je,” kata saya sambil tersengih.
Bila saya bercerita begitu, barulah si ibu B mahu senyum kembali sambil beria-ia mengiyakan kata-kata saya.
“Sebenarnya saya suka ja anak saya kecil molek, cepat sikit merangkak, berjalan, barulah aktif. Biasanya baby yang berisi ni duk terlentang gitu je, tak aktif sebab badannya berat kan.”
Balas si ibu B pula sambil senyum sinis memandang bayi dalam kendongan ibu A.
Nampak dia menekan sedikit suaranya. Saya terpandang ibu A yang nampaknya buat muka. Agaknya terasa juga dia.
“Takpalah.. asalkan anak sihat dan happy kan.. Tu pun alhamdulillah..” ujar saya rasa kekok sedikit. Senyap je masing-masing.
Fuh… Terasa seperti ada ketegangan, saya pun terus minta diri, bangun mencari suami di luar. Allahuakbar.
Ini cerita betul… banyak kali juga jumpa yang mungkin situasi sahaja berlainan. Pengajarannya, sebagai ibu, peliharalah lisan kita.
1) Fikir dan filter terlebih dahulu sebelum berkata, tak semua orang boleh terima komen kita meskipun kita anggap ia hanya cakap biasa sahaja. Wanita bila dah jadi ibu ni, hati kadang lebih sensitif terutama bila sentuh bab anak, kan?

2) Jangan pula apabila nampak kekurangan anak orang, kita laju mengata. Apabila orang komen anak kita, terus kita sentap dan kata mereka makcik bawang. Sedangkan itulah silap kita, hanya nampak silap orang & jarang mahu muhasabah silap sendiri. Astaghfirullah.
3) Motherhood is your journey with your children. Not others. Focus on yours, judge others less & respect each other.
4) Tiada yang apapun yang perfect di dunia ini. Memang kita sayang anak kita, maka anak kitalah paling indah sekali di mata kita, namun, jangan lupa orang lain pun rasa begitu juga terhadap anak mereka. Oleh itu, jom saling hormat. JIHAD JAGA LISAN. Jaga dari mengeluarkan komen kepada anak orang lain.
Namun, real battle ialah bila mahu MENAHAN LISAN dari membalas komen menyakitkan hati yang orang lemparkan pada kita. Kan?
Saya pasti banyak khilaf saya juga sebelum ini. Kalau di dunia sudah rasa sukarnya untuk mencari dan meminta maaf dari orang yang tersakiti dari lisan kita, bayangkanlah bagaimana sukarnya pula di akhirat kelak. Ya Allah.
Astaghfirullah.
Muhasabah saya yang menulis. Teringat ustaz pesan, ramai wanita di neraka adalah kerana ketajaman lidahnya. Nauzubillah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lepas Anaknya Merajuk Sebab Leka Main Phone, Lelaki Ini Terus Berubah Dan Praktik 7 Perkara Dalam Rumah

Isi Kandungan
ToggleTak salah main phone di rumah tetapi seeloknya biarlah ada masanya. Ini baru anak-anak yang sentap, macam mana pula dengan kaum mak-mak yang sedap meluah tetapi bila pusing-pusing tengok suami tengah senyum-senyum hadap phone.
Hah, inilah salah satu barah dalam rumah tangga hari ini. Lagi parah sampai keluar berjalan-jalan pun masing-masing sibuk dengan phone. Betapa teruknya kita hari ini, mendahulukan orang yang jauh di mata tetapi depan mata terabai. Jadi sebelum ada lagi hati yang terguris, jemput baca perkongsian saudara Ws Adli W Muhammad, pengalamannya sendiri bila anaknya merajuk sebab terlalu ralit tengok phone.
Anak Merajuk Sebab Ayah Main Phone
Riyadh berkata “Abah, abah dengar tak apa Yadh cakap ni?” Saya menjawabnya acuh tak acuh “Ya Yadh, abah dengar”. Mata saya masih ralit menghadap telefon zaman sekarang. Riyadh sekali lagi berbunyi “Dengar, dendar. Mata pandang telefon. Bukan pun dengar orang cakap. Tak apalah, menghadap aje lah telefon tu. Tak yah bercakap dengan Yadh dah. Telefon tu lagi penting”.
Tersentap saya.
Saya letak telefon, dan cuba pegang tangan Riyadh. Dia marah. Mengelak dari saya dan terus berlari ke dapur mencari kakaknya. Saya panggilnya berulang kali, tak bersahut. Merajuk dia dengan sikap saya yang tidak melayan dia berborak.
Masa kita kecil-kecil dulu, benda teknologi alah begini mana ada lagi. Kita leka dengan dunia kanak-kanak kita yang penuh warna warni, penuh keceriaan, kegembiraan dan banyaknya masa untuk bersama.
Bercerita di bawah pokok jambu dengan kawan-kawan, berborak dengan mak dan ayah di dalam bilik, di dapur dan di ruang tamu. Ada sahaja ruang masa yang tidak pernah mencemburui kita. Banyak yang kita kongsikan sesama ketika dulu-dulu.
Itu belum cerita agung main masak-masak. Sambil main masak-masak, ada juga benda kita ceritakan sesama kawan.
Saya akui, tak payah pergi tengok jauh-jauh. Tengok sahaja kepada diri saya sendiri. Bagaimana cara layanan saya kepada anak-anak. masa dia rancak bercerita, saya menghadap telefon. Jawab sekadar ambil hatinya. Kerap guna perkataan atau ayat “Ooo, macam tu”, “Ya”, “Ha”, dan lain-lain lagi.
Beria mereka bercerita panjang, saya pula layannya acuh tak acuh. Sampailah suatu masa, anak ini agaknya telah menyimpan lama perasaannya melihat sikap buruk saya begitu, maka terkeluarlah perkataan dan ayat begitu.
Kasihan.
Saya yang memusnahkan dan merosakkan masa emas bersama anak-anak. Anak-anak bila dah tak dapat layanan begitu, mereka pun duduk dengan dunia mereka sendiri. Main sama-sama dia aje, duduk termenung dan kurang bercakap dengan kita.
Mula Berubah…
Selepas pada peristiwa itu, saya ubah. Apa yang saya buat ialah:
1. Letak telefon dalam bilik atau letak telefon jauh dengan tempat saya borak dengan anak. Jadi, rasa malas nak pergi ambil, jauh nak akses.
2. Tutup data. Tak adalah gangguan dari aplikasi whatsapp, facebook, instagram, twitter dan macam-macam benda alah yang hidup bersama kita sekarang.
3. Layan anak bercakap. Kajian saya, budak-budak ni bukan lama pun bercerita. Paling lama 2 minit. Biasa tak sampai 1 minit. Yang buat rasa lama bukan apa, bila anak nak susun ayat tu. Dia bercerita sambil fikir apa perkataan perlu digunakan olehnya.
4. Buat-buat kita tak faham sikit apa dia cerita. Dia akan ceritakan semula. Buat-buat tanya soalan, dia akan jawab sampai konon-kononnya kita baru faham.
5. Buat reaksi muka. Ikut cerita dia. Kalau saspen, buat muka saspen. Kalau seram, buat muka seram. Kalau kelakar, gelak sekali. Ambil mood dia tengah bercerita. Tapi tak payah lah over sangat. Huhu.
6. Ada masa anak ini banyak ulang alik nak mengadu, nak berborak, nak bercerita dengan kita. Ambil nafas panjang-panjang. Luangkanlah juga masa yang kita dapat ini. Ini masa Allah bagi pada kita, sampai suatu masa nanti, kita tak merasa dah masa begini. Allah dah tarik. Tinggal kita berdua je nanti dalam rumah tu. Itupun kalau berdua, buatnya sorang pergi dulu, kan semua kuasa Allah.

Bila dah buat begitu, memang rasa tak puas berborak dengan mereka. Rasa macam nak je setiap masa dengar mereka bercerita tentang pengalaman kehidupan mereka di awal usia kecil begitu. Seronok, memang menyeronokkan.
Paling rasa bahagia, apabila mimik muka mereka tidak lagi macam dulu. Macam ada benda tak puas hati nak diluahkan kepada kita. Sekarang, bila dah dapat layanan yang patut mereka terima, ceria sahaja muka mereka.
Kalian,
Allah hantar ujian tak payah jauh-jauh. Cukup hantar kepada diri kita sendiri. Banyaknya, kita lebih memerhati dan mengata kehidupan orang lain. Sedang kehidupan kita belum tentu sempurna dan baiknya, juga indah. Sibuk kita baiki kehidupan orang, tetapi yang kita pun teruk malah ada yang lebih rosak dari orang lain.
Apabila kesedaran itu hadir, ambillah pengajaran. Lekas cuba ubah sikap kita perlahan-lahan. Tuhan itu maha pengasih dan maha penyayang.
Setiap detik ketika bersama anak-anak, saya tatap betul wajah mereka. Saya rakam betul dalam kepala gelak ketawa mereka, senyum manis mereka, masam muka mereka, riak muka mereka ketika bercerita dan bermain. Sampai ketika apabila dipanjangkan umur, inilah yang akan dikenang-kenang semasa tua.
Tidaklah lagi kita rugi dari hilangnya masa emas pernah bersama anak-anak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Ciri TADIKA Pilihan Yang Bentuk Anak Seimbang IQ, EQ Dan Spiritual, Ini Dari Kaca Mata Seorang Ibu

Isi Kandungan
TogglePendidikan awal kanak-kanak tu penting. Ibu bapa menghantar mereka ke tadika seawal usia 4 ke 5 tahun kerana mahu anak-anak berkembang IQ (kecerdasan intelektual), EQ (kecerdasan emosi) dan SQ (kecerdasan spiritual). Keseimbangan 3 elemen ini membentuk anak yang cemerlang dunia dan akhirat.
Ini adalah perkongsian hati Puan Ashikin Hashim, Pengetua Genius Aulad Saujana Utama. Bagaimana pentingnya pemilihan tadika sebegini akan menyedarkan kita, bahawa guru sebenar anak-anak adalah kita.
7 Ciri Tadika Pilihan
1. Buku Yang Sangat Minima
Mengapa?
Tag line bagi seorang anak : Play More You Learn Better. Bermain adalah dunia mereka. Belajar sambil bermain itu adalah metod yang paling baik dan berkesan untuk seorang anak 0 – 6 tahun (sesetengah kajian 0 – 8 tahun).
Buat latihan dalam buku?
Jika tiada lagi bagus. Jika ada, minima 1 – 2 muka surat sahaja. Tidak lebih dari itu.
Jadi Cikgu mestilah superb dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kaya aktiviti dan aktif! Anak akan sentiasa ada aktiviti, bergerak, berfikir, berimaginasi, menyelesaikan masalah dan sebagainya.
2. Tiada Homework
Mengapa?
Anak sebesar 4 dan 5 tahun bawa balik homework? Oh no!
Anak saya memerlukan lebih masa bersama saya selepas waktu bekerja dalam bentuk bermain bersama, membaca bersama, mengaji bersama, solat jemaah bersama.
Can you imagine, kalau ada homework, anak akan serious melakukan kerja. Kalau tak siap dia akan menangis. Mak tertekan sebab tak boleh nak bantu. Anak pula paksa-paksa.
The real homework is, bersama dengan anak, banyakkan berkomunikasi dengannya, baca bersama untuk memperbanyakan vocab nya dan banyakkan bergurau ketawa dengannya.
3. Aktiviti Di Sekolah Lebih Kepada Hands-on Activity
Mengapa?
Itulah cara yang paling bagus untuk mengajar seorang anak 0 – 6 tahun.
Contohnya nak ajar anak matematik. Kita mahu memperkenalkan prinsip tambah dan tolak. Bagaimana? Beri buku? No! No! No!
Anak belajar dengan 3 cara utama -secara visual, audio dan kinestetik.
Ambil 2 keping biskut misalnya. Terangkan kepada (audio), tunjuk biskut tersebut (visual), sentuh dan makan biskut tersebut (kinestetik).
Cikgu ada 2 keping biskut. Murid pun diberi 2 keping biskut yang sama. Jom kira sama-sama! Satu….dua…. Ahmad nak pegang biskut ni? Ahmad pun pegang. Dia pun mengira.
Cikgu makan satu biskut. Ngap!… Nyummy!!!!….Jom kita makan satu biskut.
Sekarang tinggal berapa biskut kita?
Satu!!!!!!!
See? This is how a child 0 – 6 years old learn. Jika bagi buku, depa koyak, depa tenung je buku tu, depa tak nak buat, bukan sebab depa pemalas, degil, tapi sebab cikgu tak faham macamana cara anak-anak ini belajar.
Kalau cikgu komplen cakap anak kita yang 4 tahun tu pemalas sebab tak nak buat kerja dalam buku, carilah tadika lain atau jom lah ajar anak sendiri di rumah. Serious!
4. Tiada Time-out/Denda/Rotan/Berdiri Atas Kerusi Dan Sebagainya
Nak denda anak umur 4 tahun? Sebab apa? Sebab dia gaduh dengan kawan dia? Sebab dia tak dengar cakap cikgu?
Meh kita tengok hadith pasal solat.
Nabi kata solat wajib umuq berapa?
10 tahun kan? Berapa lama seorang ibu dan bapa itu perlukan untuk mendidik seorang anak untuk solat? Ya, 10 tahun!
Adakah gaduh dengan kawan tu dosa dia lebih hebat dari tak solat sampai kita suruh dia berdiri luar kelas?
Adakah tak faham apa yang cikgu ajar itu lebih hebat dosanya dari tidak solat sehingga anak itu disuruh berdiri atas kerusi?
Dan lagi satu, Nabi kata umuq anak 0 – 7 tahun, macamana cara kita didik dia? Ya, dengan cara bergurau, bermain dan bermesra dengan mereka.
Ingat tak cerita Hassan dan Hussin yang main di belakang Nabi semasa baginda solat? Nabi buat apa? Hambat pakai rotan kaaa…? Baginda suh depa berdiri hadap dinding ka?
Pernah dengar tak sebuah kisah, sahabat Nabi panggil anaknya supaya datang kepadanya. Kalau hang datang, ayah bagi ini. Nabi pun tanya, betui ka hang nak bagi kalau dia datang kat hang. Kalau hang tipu hang berdosa!
Tengok…betapa kasihnya Nabi pada kanak-kanak. Kita pula sangat garang pada anak-anak. Bukan setakat itu, kita tak hormat hak depa sebagai kanak-kanak.
5. Mempunyai Cikgu Yang Memahami
Akan keperluan anak-anak di dalam pendidikan awal kanak-kanak
Mengapa penting? Semua orang boleh mengajar budakkan?
Eh…jangan pandang rendah pada cikgu tadika. Ingat senang ke nak ajar pendidikan awal kanak-kanak. Silap gaya, hari ni masuk kerja, petang tengok-tengok dah hilang hihihi… Sebab tak tahan anak tak duk diam. Ada yang menangis. Ada yang hingus meleleh. Belum lagi yang berak kencing dalam seluar.
Ini sangat penting. Mengajar anak tadika tak sama macam ajar anak di sekolah menengah.

Mengajar di tadika bukan boleh duk saja menyandar sambil belek telefon. Sekali kita lepas pandang, ada lah karang anak yang bergaduh kat belakang, tercalar muka lah, yang terjatuh lah….
Cikgu yang tak faham pendidikan awal kanak-kanak, mereka akan kata anak yang mengamuk itu nakal, yang selalu menangis tu manja terlebih, yang tak nak buat apa yang cikgu cakap tu pemalas, yang selalu buat kawan tu degil…
6. Tiada Exam!
Mengapa?
Anak 4 – 6 tahun ada exam? Oh tidak!
Untuk apa kita put them in grades? Sebab nak anak kita duduk dalam kelas pandai bila masuk darjah satu. Betul tak?
Kalau anak kita tak duduk dalam kelas nombor satu, anak kita kategori bodoh kah?
Tahukah anda, banyak kajian telah membuktikan bahawa, kebanyakan anak, kemampuan mereka untuk membaca adalah pada umur 7 dan 8 tahun. Sebab itu ada anak yang masa masuk tadika ramai parents kondem anak sebab tak pandai baca. Bayar mahal tapi tak pandai baca.
Yang dia tak pandai satu je iaitu tak boleh baca. Tapi yang dia pandai, kita tak nampak seperti pandai mengira, tulisan cantik, pandai bergaul, pandai bercerita… Dalam tidak sengaja kita tidak menghargai dan merendahkan anak kita.
Mereka bukan tak pandai baca. Proses membaca itu sedang berlaku. They will know how to read at the right time, inshaAllah. Apa yang kita boleh buat adalah bantu mereka, ransang mereka tapi bukan paksa dan marah-marah.
7. Tiada Whatsapp Group
Mengapa?
Malas lah nak hurai panjang hehehe
Maaf. Sangat panjang status saya kali ini. Semoga mendapat manfaat.
Oh ya..lupa nak tambah. Kita bayar mahal ke tadika bukan bayar untuk cikgu bagi buku then anak-anak buat kerja diam-diam. Kita mahu anak kita di sekolah melompat, bercakap, bergaul, bijak beremosi, berfikir, menyelesaikan masalah. Itu sebenarnya tugas anak dan cikgu di tadika.
Jangan lupa…cikgu sebenar adalah kita! 😉
#makpengetua a.k.a ummi
Sumber/Foto: Ashikin Hashim via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI