Tak sangka alami jangkitan kuman. Bapa ini sedih tak bawa anak ke hospital lebih awal kerana anaknya bukan demam biasa tetapi jangkitan kuman dalam darah.
Satu demi satu dugaan menimpa anak sulung pelakon Nazrief Nazri, Noah yang kini berusia dua bulan apabila terpaksa menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor akibat jangkitan kuman dalam darah.
Menurut Nazrief, sebelum ini Noah yang disahkan positif Covid-19 dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak kelmarin selepas masih belum pulih dari demam panas.
“Tiga hari sebelum saya bawa dia ke hospital, saya dapatkan rawatan di klinik terlebih dahulu. Doktor memaklumkan demam yang dialami Noah mungkin disebabkan kesan akhir Covid-19 yang dialaminya.
“Bagaimanapun selepas membawanya ke hospital, doktor memaklumkan Noah mengalami jangkitan kuman dalam darah. Malah demam panasnya juga turun naik sehingga pernah mencecah 39.5 darjah selsius.
“Buat masa ini, keadaannya stabil cuma saya masih menunggu laporan beberapa ujian yang dilakukan. Setakat ini, saya dimaklumkan penyakit yang dialami tidak serius, cuma masih menanti jawapan punca jangkitan kuman dalam darah,” katanya.
Menurut Nazrief, sebagai bapa dia sedih apabila tidak membawa anak sulungnya ke hospital terlebih dahulu.
“Noah anak yang tak banyak ragam. Walaupun dia demam, dia kerap tidur dan tak macam bayi lain yang meragam kerana tidak selesa. Saya tak sangka Noah akan mengalami jangkitan kuman dalam darah dan perlu melalui semua ini.
“Sepatutnya saya terus bawanya ke hospital untuk menerima rawatan. Tapi itulah saya pun tak jangka perkara ini terjadi kerana saya ingatkan demam yang dialami kerana kesan sampingan Covid-19. Begitu juga dengan komen doktor di klinik,” katanya.
Baca Juga Di Sini:
Kurang Minum Air Punca Pelakon Mia Sara Masuk Hospital, Kena Jangkitan Kuman Pada Saluran Kencing!
Dr Hamid Arshat Ajar Wanita Cara Lakukan ‘Saline Douching’ Bagi Elak Jangkitan Kuman Dalam Peranakan
Terdahulu, Noah yang dilahirkan pada 19 Julai lalu di sebuah perubatan swasta di Putrajaya disahkan positif Covid-19 pada 21 September lalu.
Nazrief bagaimanapun tidak mengetahui bagaimana anak sulungnya itu dijangkiti virus berbahaya itu.
Menurutnya, dia tidak pernah membawa Noah keluar dari rumah kecuali ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bulanan.
Nazrief dan isteri, Aziatul Aqma yang mendirikan rumah tangga pada 15 November tahun lalu bagaimanapun disahkan negatif virus itu.
Mingguan Wanita : Semoga bayi Nazrief cepat sihat dan kembali pulih seperti biasa. Diharap Nazrief dan isterinya kuat menghadapi ujian ini.
Sumber: myMetro/ Instagram Nazrief Nazri