shila amzah

Shila Amzah dan suami Haris Idraki Elias terpilih menjadi penghias cover Mingguan Wanita Isu Mei, Volume 2 yang kini telah berada dipasaran. Banyak cerita-cerita menarik yang dikongsikan seperti keunikan pada majlis perkahwinan penyanyi berbakat besar ini serta perasaan dan perancangan selepas bergelar isteri. Berikut antara temubual eksklusif bersama wartawan Shahrina Azlin Abdullah.

Lima bulan mengikat tali pertunangan akhirnya pada tanggal 19 April 2018 menyaksikan penyatuan dua hati, antara pelantun lagu Patah Seribu, Nur Shahila Amir Amzah, 28, atau lebih dikenali dengan nama Shila Amzah dengan jejaka pilihan hati Haris Idraki Elias, 28.

Dengan sekali lafaz, Shila selamat diijabkabulkan oleh ayahnya ND Lala dan disaksikan oleh Ustaz Helmi Saadon dari Jabatan Agama Islam Selangor. Shila menerima mas kahwin berjumlah RM888 daripada pihak lelaki dengan jumlah hantaran yang dipersetujui keluarga tidak didedahkan. Pasangan ini telah disatukan dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di kediaman Shila Amzah itu dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai.

Tak Sanggup Lagi Berjauhan, Selepas Bergelar Isteri Shila Ke London Mengikut Suami

Persiapan Hanya Dua Bulan

Bercerita tentang persiapan perkahwinan mereka berdua, menurut Shila, segala perancangan dibuat dalam masa dua bulan kerana jadual kerjanya yang padat. Namun Shila beruntung kerana mempunyai keluarga yang sangat memahami selain pembantu peribadi yang banyak menyumbangkan tenaga dalam menjayakan majlis pernikahan dia dan Haris.

“Jadual kerja saya memang padat, jadi perancangan untuk majlis-majlis kami berdua di buat dalam masa dua bulan. Dari awal memang saya dah impikan bagaimana majlis perkahwinan saya nanti dan dibantu sepenuhnya oleh kawan baik merangkap pembantu peribadi saya, Aini. Untuk melancarkan majlis ini saya telah melantik perancang majlis iaitu ANH Events. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun sejujurnya tidak seperti yang saya harapkan sepenuhnya, tapi secara keseluruhan saya gembira kerana ia berjalan dengan lancar. Bagi saya itu semua dugaan biasa nak mendirikan rumah tangga itu pasti ada,” ulas Shila lagi.

Lima Majlis Raikan Cinta Shila dan Haris

Dalam lima majlis yang berlangsung, Shila telah menggunakan perkhidmatan Azura Couture untuk majlis Khatam Al-Quran, Majlis bertandang, Majlis berinai dan juga Majlis resepsi, manakala untuk Majlis pernikahannya pula, rekaan Nurita Harith menjadi pilihan raja sehari ini. Shila turut menggayakan rekaan Melinda Looi untuk persalinan selepas upacara pernikahan pada 19 April yang lalu.

IKLAN

“Bermula dengan majlis khatam Al-Quran, Azura sendiri yang pilih warna merah jambu lembut tapi dalam masa yang sama saya ada juga bagi idea untuk persalinan majlis saya itu. Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan baju-baju yang telah direka untuk saya oleh Azura Couture,” tambah Shila puas hati.

“Saya memang inginkan persalinan nikah rekaan Nurita Harith kerana saya rasa sentuhannya dapat menepati cita rasa saya. Lebih moden dan anggun. Syukur apa yang saya inginkan direalisasikan oleh Nurita Harith. Saya suka dan selesa dengan persalinan pernikahan saya itu.

“Saya memang suka berfesyen jadi saya mahu majlis perkahwinan saya direalisasikan dengan busana-busana idea saya dan juga pereka itu sendiri. kebanyakan rekaan baju saya pada kesemua majlis adalah hasil idea saya sendiri tapi dibantu dan diolah oleh pereka, begitu juga untuk dekorasi.”

Tak Sanggup Lagi Berjauhan, Selepas Bergelar Isteri Shila Ke London Mengikut Suami

Memilih Warna Hitam Di Majlis Resepsi

Menjawab persoalan kenapa memilih warna hitam sebagai busana untuk majlis resepsi yang diadakan di Marriot, Putrajaya, jelas Shila

“Saya rasa warna hitam sangat ‘rare’ dan unik. Saya telah pun memakai pakaian berwarna putih sewaktu majlis akad nikah. Sebab saya memilih untuk memakai baju sanding berwarna hitam ialah kerana saya mahu kelihatan elegan dan saya seorang yang suka lari daripada kebiasaan. Kalau nak diikutkan mak saya pun tak suka dengan warna busana yang saya pilih untuk resepsi tersebut, lagi pula saya bukanlah penggemar warna-warna pastel, saya pun dah pakai 3 warna pastel dalam majlis sebelum ini, jadi untuk majlis resepsi yang terakhir saya pilih untuk memenuhi impian saya untuk memakai warna hitam. Saya nak nampak anggun, misteri, dan different untuk majlis saya itu,” terang Shila.

Tak Sanggup Lagi Berjauhan, Selepas Bergelar Isteri Shila Ke London Mengikut Suami

Kejutan Di Majlis Perkahwinan

Shila menerima kejutan istimewa pada malam tersebut apabila kumpulan Ruffedge membuat kemunculan istimewa menyanyikan lagu Bila Rindu. Wajah Shila jelas kelihatan terkejut dan terharu melihat persembahan daripada Ruffedge yang didendangkan khas untuk majlisnya.Lebih istimewa lagi pada malam itu Shila Amzah turut menghadiahkan sebuah lagu baru dalam bahasa Mandarin yang dicipta khas untuk suaminya.

Belum Rancang Berbulan Madu

Saat diajukan perancangan berbulan madu kedua pasangan ini, menurut Shila dan Haris kedua mereka masih belum mempunyai perancangan kerana kekangan waktu dan masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

IKLAN

“ Sebenarnya saya dan Haris masih belum berbincang tentang bulan madu kerana kedua kami masing-masing sibuk. Tapi Insya-Allah selepas kami selesai pindah rumah perkara itu akan difikirkan bersama ke mana destinasi bulan madu kami,” ujarnya.

Tak Sanggup Lagi Berjauhan, Selepas Bergelar Isteri Shila Ke London Mengikut Suami

Tambah Shila lagi, selepas selesai semua urusan di Malaysia, dia akan mengikut Haris pulang dan tinggal bersama di London.

“Kami berdua tak mahu tinggal berjauhan lagi, sejak bertunang memang kami jarang sangat jumpa. Jadi saya ambil keputusan untuk tinggal bersama suami di London. Memang tak dinafikan kerjaya Shila memerlukan Shila sering berulang ke China, tapi Alhamdulillah suami Shila sangat menyokong. Dia tak kisah jika Shila perlu ke tempat lain untuk bekerja asalkan Shila kembali ke pangkuannya selepas selesai tugas Shila,” tambahnya tersenyum manis.

Ingin Habiskan Masa Berdua Dahulu

Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang gadis, bila mana sudah bergelar seorang isteri kepada jejaka yang berjaya mencuri hati. Begitu juga dengan Shila Amzah, dirinya kini terasa sudah sempurna dengan kehadiran suami di sisi.

IKLAN

“Saya rasa sangat happy dan bahagia. Saya rasa hidup saya dah sempurna. Pencarian saya sudah tamat dalam mencari cinta sejati yang akhirnya saya bertemu. Tak ada perkataan yang boleh saya gambarkan cuma apa yang boleh saya katakan saya bahagia dengan kehidupan baru saya ini,” ulas Shila.

Tak Sanggup Lagi Berjauhan, Selepas Bergelar Isteri Shila Ke London Mengikut Suami

Sebelum mengakhiri perbualan, Shila sempat memberi komen tentang perancangan keluarga atau lebih tepat lagi kesediaannya untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat,

“Sejujurnya saya dan suami tak pernah bincang secara mendalam sangat, tapi saya dan Haris bersetuju untuk rileks dahulu dan menjalani kehidupan suami isteri terlebih dahulu. we just want to spend a lil bit more time antara satu lain terlebih dahulu. Dengan perjalanan karier masing-masing yang sibuk tapi kalau ada rezeki kami mahu sepasang anak,” akhiri Shila.

Tahniah diucapkan buat Shila dan Haris, semoga ikatan perkahwinan yang terbina kekal hingga hujung nyawa.Selamat menjalani kehidupan baru. Jadi jangan lupa dapatkan majalah ini dipasaran. Banyak lagi cerita-cerita menarik lain yang dikongsikan.

Tak Sanggup Lagi Berjauhan, Selepas Bergelar Isteri Shila Ke London Mengikut Suami

Penulis: Shahrina Azin Abdullah
Foto: Nana Azman & Instagram Shahila Amzah

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI