Shila Amzah dan suami Haris Idraki Elias terpilih menjadi penghias cover Mingguan Wanita Isu Mei, Volume 2 yang kini telah berada dipasaran. Banyak cerita-cerita menarik yang dikongsikan seperti keunikan pada majlis perkahwinan penyanyi berbakat besar ini serta perasaan dan perancangan selepas bergelar isteri. Berikut antara temubual eksklusif bersama wartawan Shahrina Azlin Abdullah.
Lima bulan mengikat tali pertunangan akhirnya pada tanggal 19 April 2018 menyaksikan penyatuan dua hati, antara pelantun lagu Patah Seribu, Nur Shahila Amir Amzah, 28, atau lebih dikenali dengan nama Shila Amzah dengan jejaka pilihan hati Haris Idraki Elias, 28.
Dengan sekali lafaz, Shila selamat diijabkabulkan oleh ayahnya ND Lala dan disaksikan oleh Ustaz Helmi Saadon dari Jabatan Agama Islam Selangor. Shila menerima mas kahwin berjumlah RM888 daripada pihak lelaki dengan jumlah hantaran yang dipersetujui keluarga tidak didedahkan. Pasangan ini telah disatukan dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di kediaman Shila Amzah itu dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai.
Persiapan Hanya Dua Bulan
Bercerita tentang persiapan perkahwinan mereka berdua, menurut Shila, segala perancangan dibuat dalam masa dua bulan kerana jadual kerjanya yang padat. Namun Shila beruntung kerana mempunyai keluarga yang sangat memahami selain pembantu peribadi yang banyak menyumbangkan tenaga dalam menjayakan majlis pernikahan dia dan Haris.
Ads
“Jadual kerja saya memang padat, jadi perancangan untuk majlis-majlis kami berdua di buat dalam masa dua bulan. Dari awal memang saya dah impikan bagaimana majlis perkahwinan saya nanti dan dibantu sepenuhnya oleh kawan baik merangkap pembantu peribadi saya, Aini. Untuk melancarkan majlis ini saya telah melantik perancang majlis iaitu ANH Events. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun sejujurnya tidak seperti yang saya harapkan sepenuhnya, tapi secara keseluruhan saya gembira kerana ia berjalan dengan lancar. Bagi saya itu semua dugaan biasa nak mendirikan rumah tangga itu pasti ada,” ulas Shila lagi.
Lima Majlis Raikan Cinta Shila dan Haris
Dalam lima majlis yang berlangsung, Shila telah menggunakan perkhidmatan Azura Couture untuk majlis Khatam Al-Quran, Majlis bertandang, Majlis berinai dan juga Majlis resepsi, manakala untuk Majlis pernikahannya pula, rekaan Nurita Harith menjadi pilihan raja sehari ini. Shila turut menggayakan rekaan Melinda Looi untuk persalinan selepas upacara pernikahan pada 19 April yang lalu.
“Bermula dengan majlis khatam Al-Quran, Azura sendiri yang pilih warna merah jambu lembut tapi dalam masa yang sama saya ada juga bagi idea untuk persalinan majlis saya itu. Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan baju-baju yang telah direka untuk saya oleh Azura Couture,” tambah Shila puas hati.
“Saya memang inginkan persalinan nikah rekaan Nurita Harith kerana saya rasa sentuhannya dapat menepati cita rasa saya. Lebih moden dan anggun. Syukur apa yang saya inginkan direalisasikan oleh Nurita Harith. Saya suka dan selesa dengan persalinan pernikahan saya itu.
“Saya memang suka berfesyen jadi saya mahu majlis perkahwinan saya direalisasikan dengan busana-busana idea saya dan juga pereka itu sendiri. kebanyakan rekaan baju saya pada kesemua majlis adalah hasil idea saya sendiri tapi dibantu dan diolah oleh pereka, begitu juga untuk dekorasi.”
Memilih Warna Hitam Di Majlis Resepsi
Menjawab persoalan kenapa memilih warna hitam sebagai busana untuk majlis resepsi yang diadakan di Marriot, Putrajaya, jelas Shila
“Saya rasa warna hitam sangat ‘rare’ dan unik. Saya telah pun memakai pakaian berwarna putih sewaktu majlis akad nikah. Sebab saya memilih untuk memakai baju sanding berwarna hitam ialah kerana saya mahu kelihatan elegan dan saya seorang yang suka lari daripada kebiasaan. Kalau nak diikutkan mak saya pun tak suka dengan warna busana yang saya pilih untuk resepsi tersebut, lagi pula saya bukanlah penggemar warna-warna pastel, saya pun dah pakai 3 warna pastel dalam majlis sebelum ini, jadi untuk majlis resepsi yang terakhir saya pilih untuk memenuhi impian saya untuk memakai warna hitam. Saya nak nampak anggun, misteri, dan different untuk majlis saya itu,” terang Shila.
Kejutan Di Majlis Perkahwinan
Shila menerima kejutan istimewa pada malam tersebut apabila kumpulan Ruffedge membuat kemunculan istimewa menyanyikan lagu Bila Rindu. Wajah Shila jelas kelihatan terkejut dan terharu melihat persembahan daripada Ruffedge yang didendangkan khas untuk majlisnya.Lebih istimewa lagi pada malam itu Shila Amzah turut menghadiahkan sebuah lagu baru dalam bahasa Mandarin yang dicipta khas untuk suaminya.
Belum Rancang Berbulan Madu
Saat diajukan perancangan berbulan madu kedua pasangan ini, menurut Shila dan Haris kedua mereka masih belum mempunyai perancangan kerana kekangan waktu dan masing-masing sibuk dengan urusan kerja.
Ads
“ Sebenarnya saya dan Haris masih belum berbincang tentang bulan madu kerana kedua kami masing-masing sibuk. Tapi Insya-Allah selepas kami selesai pindah rumah perkara itu akan difikirkan bersama ke mana destinasi bulan madu kami,” ujarnya.
Tambah Shila lagi, selepas selesai semua urusan di Malaysia, dia akan mengikut Haris pulang dan tinggal bersama di London.
“Kami berdua tak mahu tinggal berjauhan lagi, sejak bertunang memang kami jarang sangat jumpa. Jadi saya ambil keputusan untuk tinggal bersama suami di London. Memang tak dinafikan kerjaya Shila memerlukan Shila sering berulang ke China, tapi Alhamdulillah suami Shila sangat menyokong. Dia tak kisah jika Shila perlu ke tempat lain untuk bekerja asalkan Shila kembali ke pangkuannya selepas selesai tugas Shila,” tambahnya tersenyum manis.
Ingin Habiskan Masa Berdua Dahulu
Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang gadis, bila mana sudah bergelar seorang isteri kepada jejaka yang berjaya mencuri hati. Begitu juga dengan Shila Amzah, dirinya kini terasa sudah sempurna dengan kehadiran suami di sisi.
Ads
“Saya rasa sangat happy dan bahagia. Saya rasa hidup saya dah sempurna. Pencarian saya sudah tamat dalam mencari cinta sejati yang akhirnya saya bertemu. Tak ada perkataan yang boleh saya gambarkan cuma apa yang boleh saya katakan saya bahagia dengan kehidupan baru saya ini,” ulas Shila.
Sebelum mengakhiri perbualan, Shila sempat memberi komen tentang perancangan keluarga atau lebih tepat lagi kesediaannya untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat,
“Sejujurnya saya dan suami tak pernah bincang secara mendalam sangat, tapi saya dan Haris bersetuju untuk rileks dahulu dan menjalani kehidupan suami isteri terlebih dahulu. we just want to spend a lil bit more time antara satu lain terlebih dahulu. Dengan perjalanan karier masing-masing yang sibuk tapi kalau ada rezeki kami mahu sepasang anak,” akhiri Shila.
Tahniah diucapkan buat Shila dan Haris, semoga ikatan perkahwinan yang terbina kekal hingga hujung nyawa.Selamat menjalani kehidupan baru. Jadi jangan lupa dapatkan majalah ini dipasaran. Banyak lagi cerita-cerita menarik lain yang dikongsikan.
Pengeluaran Khas KWSP, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah berkongsi berita baik menerusi platform media sosialnya semalam tentang BAYARAN bagi kemudahan pengeluaran khas RM10,000 diawalkan kepada 18 April berbanding 20 April sebelum ini.
Pengeluaran Khas KWSP
Menurut Tengku Zafrul ramai yang memberikan komen di media sosialnya bagi mempercepatkan pengeluran khas.
“Ramai yang message dan komen dalam social media saya, “YB, pengeluaran KWSP boleh cepat lagi tak?”
“Saya mendengar suara anda. Oleh itu, setelah berbincang dengan KWSP, sukacita dimaklumkan pengeluaran khas KWSP akan dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April 2022 dan bukannya 20 April 2022 seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Saya harap pengeluaran ini akan lebih menceriakan sambutan Aidilfitri #KeluargaMalaysia, InsyaAllah,” kongsi Tengku Zafrul.
Ternyata pengumuman itu memberikan khabar gembira buat pemohon permohonan khas KWSP.
Berhati-Hatilah Setiap Langkah Melibatkan Pengeluaran
Sebagaimana perkongsian oleh saudara Firdaus Shakirin yang boleh menjadi manfaat untuk mereka yang menerima pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 berhati-hatilah dalam setiap langkah yang melibatkan pengeluaran wang.
“Sedikit PERINGATAN utk ONE-OFF yg bakal diterima esok dan hari-hari seterusnya…
Elakkan dedah maklumat peribadi seperti nama penuh, no kad pengenalan, akaun bank di media sosial. Dalam keterujaan dan keeksaitetan nk update, tolong jgn sesekali muat naik maklumat ini.
Kalau ada panggilan daripada nombor yg tidak dikenali, maka elakkan drpd angkat atau menjawab panggilan tersebut. Saja2 nak layan dia pun xyah. Cer install TrueCaller di telefon anda. Anda akan dapat info yang call tu siapa.
Kalau dapat apa-apa mesej atau email yg menyatakan anda ada hutang, tunggakan, saman dan surat mahkamah, maka jangan call semula nombor yg tertera pada mesej atau email tersebut sebaliknya boleh sahihkan atau pastikan ttg perkara tersebut secara bersemuka di jabatan yg di nyatakan.
Jangan Login Jika Ragu-Ragu
Semasa melakukan transaksi online, pastikan web itu secure, ada lambang kunci diatas. Jangan login, jangan masukkan password jika anda ragu-ragu dengan kelainan pada paparan web tersebut.
Jika tiba-tiba anda dapat no TAC dan ada nombor tak dikenali wassup/mesej anda utk share no TAC tu sebab dia silap letak no telefon semasa melakukan transaksi online, maka jgn reply, jgn bg dia no TAC, terus block nombor yang tak dikenali tersebut.
Jika anda melakukan pengeluaran secara bersemuka, pastikan anda tidak melakukannya berseorangan. Pastikan anda telah meletakkan duit itu ditempat yg selamat sebelum keluar drpd bank. Jangan jalan sendirian, jangan galas beg dibahu. Pastikan anda pegang beg anda dan pastikan anda tidak keseorangan.
Jangan Melabur Di Tempat Yang Mengarut
Jika datang makhluk yg boleh menggandakan 10k ke 100k atau 1 Juta dalam masa sebulan, maka dengar boleh, percaya jangan. Jangan la masuk skim apa2 bila tgh duit byk. Jangan melabur di tempat yang mengarut. Jangan terpengaruh dgn mulut manis makhluk itu walaupun dia datang naik BMW.
Berhemahlah Dalam Berbelanja!
“Jumlah tu banyak, itu hasil titik peluh kita. Maka jagalah sebaiknya, gunakanlah sewajarnya dan berhemahlah dlm berbelanja,” pesan Firdaus Shakirin.
Peringatan Yang Sangat Baik – Warganet
Menerusi ruangan komen ramai yang berterima kasih kerana Firdaus Shakirin sudi berkongsi peringatan mesra.
‘Bahaya’ sebenarnya bila leka bermain handphone, kerja rumah pun boleh jadi bertangguh dan lambat siap. Sampai suami isteri pun sampai boleh bergaduh!
Gara-gara leka dengan telefon bimbit sehingga terlupa menggosok baju suami, seorang wanita diugut sembelih di kediaman mereka di Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam. Bukan itu saja, suspek turut menghambat anaknya dengan parang apabila cuba meleraikan perkelahian yang tercetus lagi selepas lelaki itu pulang dari kerja.
Baju Kerja Belum Bergosok
Menurut sumber, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek berusia 44 tahun itu sedang bersiap untuk ke tempat kerja apabila mendapati bajunya masih belum bergosok.
Ini menyebabkan suspek yang sudah terlewat, mengamuk dan memarahi isterinya yang berusia 38 tahun sebelum bertindak mengambil telefon bimbit wanita itu.
Wanita itu memujuk suaminya memulangkan semula telefon bimbitnya, namun suspek memaki hamun, mencekik dan menampar mangsa.
“Kekecohan yang berlaku disedari anak sulung pasangan berkenaan yang kemudiannya membantu meleraikan pergaduhan itu.
“Kemarahan suspek tidak berakhir di situ apabila dia pulang dalam keadaan marah kira-kira jam 9 malam itu.
“Suspek dikatakan menuduh mangsa menceritakan kejadian pagi itu dan masalah rumah tangga mereka kepada orang lain,” katanya.
Ugut Sembelih
Sumber itu berkata, suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil sebilah parang lalu mengacukannya ke leher isterinya sambil mengugut akan menyembelih mangsa suatu hari nanti.
Pada masa itu, anak sulung mereka yang melihat kejadian itu bertindak memarahi suspek menyebabkan dia semakin berang lalu mengejar anaknya yang sempat lari menyelamatkan diri.
“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din, ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
MW: Pesanan buat mak-mak dan para isteri, seeloknya siapkan kerja-kerja rumah yang patut disediakn dan disiapkan dahulu, barulah tengok handphone. Bukan apa, bila dah layan handphone memang leka.
Lagi seorang barisan hadapan gugur, ternyata hanya Allah dapat membalas budi dan baktinya kepada masyarakat.
Kisah sedih ini telah dikongsikan di Facebook Fakulti Perubatan UiTM. Semoga Allah menempatkan allahyarhamah di kalangan orang beriman dan mengampunkan dosa-dosanya. Al-Fatihah.
Jururawat ini dikatakan dijangkiti Covid-19 ketika kandungan 30 minggu sebelum meninggal, syukur bayi dalam kandungan berjaya diselamatkan melalui pembedahan dan kini berada di NICU.
Jururawat Dijangkiti Covid-19 Ketika Kandungan 30 Minggu Meninggal
Seorang jururawat yang bertugas di Jabatan Perubatan Pemulihan Pusat, Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Artini Dzolkarnaini meninggal dunia, awal pagi tadi dipercayai akibat komplikasi Covid-19.
Berita pemergian petugas barisan hadapan itu dikongsi Fakulti Perubatan UiTM menerusi Facebook (FB), hari ini.
“Dukacita dimaklumkan Sr Artini Dzolkarnaini telah meninggal dunia, di Hospital UiTM pada 5.30 pagi tadi.
“Seluruh warga Fakulti Perubatan UiTM ingin merakamkan ucapan salam takziah. Kami mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, carian wartawan di FB mendapati pemergian jururawat berkenaan yang juga penulis buku bertajuk Penjagaan dan Pemulihan Jantung terbitan UiTM menerima reaksi duka kenalan arwah dan warga net.
Syukur Bayi Berjaya Diselamatkan
Difahamkan, arwah dijangkiti Covid-19 ketika sedang mengandung 30 minggu berdasarkan beberapa komen balas daripada rakan dan keluarganya di FB.
Dikatakan juga, bayi arwah Artini berjaya diselamatkan secara pembedahan cesarean dan ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) hospital berkenaan.
Artini adalah jururawat program pemulihan jantung dan ibu kepada lima anak termasuk bayi baru dilahirkan.
Harian Metro cuba menghubungi keluarga arwah yang difahamkan belum bersedia untuk berkongsi cerita dan mengharapkan orang ramai berdoa urusan keluarga mereka dipermudahkan.
MW: Semoga keluarga allahyarham Artini dapat menerima ujian berat ini, apatah lagi bayi yang baru dilahirkan. Sesungguhnya dugaan ini amat berat untuk diterima.