
Isi Kandungan
ToggleSetiap anak yang dikurniakan merupakan rezeki bagi pasangan suami isteri. Namun, gara-gara melahirkan 5 pasangan kembar, seorang isteri ditinggalkan suami sendiri atas alasan tak sanggup jaga dan terlalu ramai.
Anggap Keadaan Tidak Normal
Seorang wanita dari Uganda ditinggalkan suaminya selepas melahirkan pasangan kembar kelima mereka dengan alasan keadaan tersebut adalah tidak normal, lapor akhbar Mirror UK, kelmarin.
Nalongo Gloria, telah ditinggalkan oleh suaminya, Ssalongo ketika dia melahirkan anak kesembilan dan kesepuluh mereka.
“Tiga hari selepas saya disahkan hamil anak kembar kelima kami, suami saya memberitahu dia tidak sanggup menjaga anak yang terlalu ramai dan menyuruh saya pulang ke kampung halaman.
“Namun, saya tiada tempat untuk dituju kerana saya datang ke Kampala untuk bekerja sebagai pembantu rumah,” kata Gloria.
Sewa Rumah Kecil
Gloria dan anak-anaknya kini menyewa sebuah rumah kecil bersama sebahagian daripada anak-anaknya.
“Saya tidak menyesal melahirkan anak-anak ini walaupun kewujudan mereka dinafikan oleh bapa sendiri.
“Kini, saya perlu memikirkan ke mana mahu pergi apabila tuan rumah memaklumkan dia tidak suka saya dan anak-anak tinggal di sini,” katanya.
Tambah Gloria, beberapa anaknya yang sudah dewasa sudah membawa haluan hidup masing-masing dan dia tidak tahu lokasi mereka yang terkini.
Mesti Baca:Kembar 9 Membesar Dengan Sihat, Sambut Ulang Tahun Kelahiran Pertama!
Baca Lagi Di Sini:Bukan Bersalin KEMBAR, Wanita Hamil Anak Kedua Ketika Masih Mengandungkan Anak Pertama!
Artikel Menarik:8 Tip Peluang Hamil Anak Kembar, Perkongsian Oleh Dr Hamid Arshat

Mingguan Wanita: Setiap anak-anak yang dikurniakan adalah rezeki. Dianugerahkan dengan anak-anak yang ramai bukanlah alasan untuk menceraikan isteri.
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Sanggup Curang, Alasan ISTERI Jarang Buat SARAPAN, Baru 11 bulan Kahwin

Isi Kandungan
ToggleSuami sanggup curang. Sedihnya, bila orang yang kita percaya dan susah payah bersama sanggup mendua. Lagi teruk dengan beri alasan-alasan yang tak munasabah. Tak kiralah pasangan yang baru berkahwin dan masih darah manis atau yang sudah lama mendirikan rumahtangga.
Selalu kita baca di media sosial tentang kisah suami sanggup curang selepas bertahun-tahun hidup bersama. Itu satu hal dan paling menyedihkan, baru beberapa bulan kahwin dah ada ‘kekasih gelap’.
Di mana silapnya, kita sendiri tak tahu. Hanya sekadar suka-suka atau ada alasan tertentu. Hanya mereka saja yang tahu.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: “Suami Curang Lebih Cepat Mati..”, Pilihlah Untuk Setia, Tentu Tak Berani Untuk Mendua
Pesanan Ikhlas Buat Para Gadis! “Kaya, Hensem Pun Tak Guna Kalau Jenis Curang, Tak Setia”
Inilah yang berlaku kepada pasangan yang baru saja 11 bulan berkahwin tapi sudah terbongkar tentang kecurangan suami. Sedihnya, kisah ini dimuat naik di Twitter apablla seorang isteri mendedahkan tentang suaminya yang kantoi curang.
Suami Sanggup Curang, Ajak Wanita Lain Keluar
Menerusi video yang dikongsikan semula di Twitter, wanita tersebut menunjukkan mesej perbualan di antara suaminya dan beberapa wanita lain di sebuah aplikasi temu janji. Difahamkan, dia telah memberikan peluang kedua kepada suaminya sebelum ini namun peluang tersebut disia-siakan oleh lelaki itu.
Antara yang dilakukan oleh lelaki itu ialah dia telah menipu isterinya dengan mengatakan dia terpaksa bertugas tetapi sebenarnya dia telah mengajak wanita lain untuk keluar bersama.
.
Tambah wanita itu lagi, suaminya juga turut memukulnya sebaik sahaja aksi kecurangannya itu kantoi dan diketahui olehnya. Difahamkan, wanita itu telah membuat laporan polis gara-gara sudah tidak tahan dengan situasi tersebut dan turut melakukan pemeriksaan perubatan kerana kecederaan yang dihadapinya.
Alasan Isteri Jarang Sediakan Sarapan
Dia juga telah berkunjung ke pejabat agama dan lebih mengejutkan, suami memberikan alasan isterinya jarang menyediakan sarapan semasa ditanyakan oleh pegawai di situ.
.

Mingguan Wanita : Hanya tak sediakan sarapan, dijadikan alasan untuk dia curang. Lepas tu bukan seorang tapi kantoi ramai wanita yang dipermainkan. Sedihnya…
Sumber: AL @ ciraplaici
Yang kaki curang, kaki pukul mesti sejenis muka hauk kan? Bini sikit punya lawa tapi tak reti bersyukur. Lebih suka pilih untuk jadi jantan bodoh. pic.twitter.com/vzIZYHxmL2
— AL (@ciraplaici) November 7, 2022
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Komen Jangan Sampai Menghina, Hormatilah Privasi Mak Ayah

Isi Kandungan
ToggleLumrah manusia tak pernah puas dengan apa yang ada. Lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial ni. Semakin galak. Lagi ditepek, lagi orang nak komen dan sampai menghina pun ada.
Masing-masing ada hak dan privasi tersendiri. Tak salah nak komen tapi janganlah sampai menghina.
Inilah antara isu di media sosial. Masing-masing ada cara dan privasi tersendiri. Namun, kalau orang biasa mungkin tak kisah pun tapi disebabkan bergelar selebriti atau artis dan tentu orang akan tertunggu-tunggu perkembangannya.
Perkongsian daripada Nad Masrom ini ada benarnya. Nak komen jangan sampai menghina. Hormati privasi setiap orang.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Jangan Melampau, Jaga Perasaan Ibu Melahirkan, Neelofa Kecewa Individu Edit Muka Bilal
Nak Komen, Jangan Sampai Menghina
Viral tentang muka Bilal yang tersebar luas. Tukang ambil gambar nak jadi yang pertama beritahu netizen. Saya tahu pun sebab ada yang PM saya minta pengesahan, “betul ke tu Bilal?”.
Sebelum tu saya nak beritahu, saya bukanlah pentaksub Neelofa. Walaupun saya kaunselor penyusuan beliau, tapi saya sendiri belum follow beliau ketika dihubungi. Dan selepas beliau DM saya, baru saya follow masa tu.
Saya cuba menulis ni sebab ada yang tanya saya nak minta pengesahan gambar Bilal. Sebelum ni kalau orang tanya, saya jawab “Tengok ig Lofa, dia ada letak muka dia masa kecil. Macam tu lah muka Bilal..”
Saya masuk ke rumah Lofa pun saya tak guna handphone. Apatah lagi tergamak nak ambil gambar dan sebarkan (walaupun memang banyak peluang saya boleh ambil masa tu).
Hormat Privasi
Kita hormat sahaja privasi ibu ayah masing-masing. Anak-anak saya juga saya jaga privasi mereka. Jarang saya update bila anak saya tengah sakit atau reveal muka baru lahir. Selalunya update bila mereka dah besar sikit atau lepas mereka dah sembuh.
Sebab penyakit AIN tu memang wujud. Dulu masa arwah anak pertama saya Najla, sakit alahan, saya keraplah update di facebook. Minta doa, upload gambar Najla.
Kemudian ada seorang kawan facebook saya kata begini pada kawan-kawan dia, “aku tengok anak Nadia si Najla tu macam tak sihat je muka dia. Macam tak panjang umur..”
Ditakdirkan dengan izin Allah, anak saya Najla kembali kepadaNya seminggu kemudian. AIN ni boleh jadi dalam keadaan memuji atau sebaliknya. Mungkin kita tak setuju tentang cara Neelofa tu, satu hal.
Tapi menulis dengan ayat seperti,
“Tak adalah cute mana Bilal tu…”“Serkup jelah dengan plastik..”
Dan kemudian buat perbandingan ‘kecomelan’ bayi mengikut selera masing-masing adalah tidak wajar.
Ni cyber bully. Kemudian ditambah pula ayat seperti “mak dia (Lofa) macam dah mengamuk” macam yang penulis bayangkan, itu juga sudah menghiperbolakan anggapan dan prasangka mereka sendiri untuk diiyakan oleh ramai orang.
Mungkin Neelofa kecewa, sedih, marah. Tapi apa yang mungkin kita faham dengan ‘mengamuk’ ikut kebiasaan?
Kenapa saya tulis ni? Inilah akibat dari tulisan yang tidak diwaraskan dengan akal fikiran yang matang. Mungkin kita lupa, apa sahaja perbuatan dan penulisan kita ni akan dicatat?
Saya yang bukan artis macam Neelofa ni pun selalu juga terkena situasi seperti ini sebab mungkin orang kenal saya sebagai penulis dalam bidang penyusuan.
Pernah je saya dituduh dengan keadaan yang tak berlaku, hanya untuk ‘menyedapkan ayat’ orang yang membuat kenyataan.
Dan paling lucu, suami saya pernah dipanggil DAYUS hanya kerana saya pernah tunjukkan yang suami saya ringan tulang nak membantu saya di rumah. Siap ada yang kata, saya macam nak jual suami untuk dikebas wanita lain di luar sana.
Allahu…
Lepas tu memang saya tak cerita sangat dah tentang suami. Tapi setelah berfikir, pada saya sangat tak adil untuk suami saya kerana bila perlu, saya akan kongsi juga kebaikan beliau dan tidak menurutkan apa yang netizen tidak berpuas hati.
Sekali lagi saya bukanlah pentaksub sesiapa. Bukan juga peminat mana-mana artis. Cuma bila melibatkan anak kecil macam ni, hati tersentuh juga. Percayalah, penulisan kita akan menarik orang yang sama vibes macam kita juga.
Jika kita banyak menulis tentang kebencian, yang datang follow juga adalah sebegitu. Jadi jangan hairan, satu hari nanti, orang-orang yang awalnya like post membenci sebegini akhirnya akan menjadi lawan kepada kita sendiri.
Yang menulis post baik-baik pun belum tentu disukai, apatah lagi sebaliknya. Hati-hati. Jika kita tak takut apa orang kata, takutlah dengan apa Allah kata.
Saya akui saya belum cukup baik. Cuma pernah terpalit prasangka dan sikap orang lain yang membuat andaian sendiri. Akibat dan kesannya amat mudarat. Jika tak kuat, boleh menjejaskan kesihatan mental juga.
“Dan tidaklah engkau (Muhammad) berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat AlQuran serta tidak pula kamu melakukan suatu perbuatan, melainkan kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya.
Tidak hilang lenyap sedikit pun daripada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah, baik dibumi mahupun di langit.
Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar dari itu, melainkan semuanya tercatat dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)”
(Yunus 10:61)
Mingguan Wanita : Begitulah. Susah untuk puaskan hati semua orang.
Sumber: Nad Masrom

Jom daftar sekarang!!! KELAS JAHITAN KREATIF
Klik link untuk daftar: https://toko.ideaktiv.com/product/kelas-jahitan-kreatif/
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
#kelasjahitankreatif
#sewingworldgallery
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dicerai Suami Talak 3 Selepas 7 Tahun Berkahwin, Namun Ia Hari Paling Bahagia Buat Wanita Ini

Isi Kandungan
ToggleTiada wanita yang inginkan penceraian berlaku dalam rumahtangga yang dibina. Namun tatkala, rasa cinta semakin hambar, maruah diri dan kehormatan bagai dipijak-pijak serta hilang segala kepercayaan buat insan yang bergelar suami, inilah nokhtah keputusan yang dirasakan paling bahagia.
Semoga perkongsian kisah benar pengalaman hidup oleh seorang wanita bernama Anisah, yang baru sahaja bergelar janda selepas diceraikan suami dengan talak 3 akibat campur tangan keluarga mertua dan kecurangan suami didalam rumahtangga, dapat dijadikan pengajaran buat wanita lain.
Ikuti coretan yang dikongsikan oleh wanita cekal ini.
Assalamualaikum Admin. Terima kasih siarkan cerita ni.
Akhirnya hari ini, Jumaat, 13 April 2018, selepas 7 tahun berkahwin, saya diceraikan dengan talak tiga dan ini lah hari paling bahagia buat saya. 7 tahun bukan tempoh masa yg sekejap, tapi sebenarnya tak cukup untuk perempuan selemah saya.
Sebelum kahwin, suami dan keluarga mertua sangat baik. Ketika bertunang, saya mula nampak sikit-sikit sikap keluarga suami yang tak menyenangkan tapi saya ambil positif, saya anggap tak ada pun manusia sempurna, jadi bersabarlah. Semakin dekat tarikh kahwin, semakin ketara sikap mengawal anak yang ditunjukkan oleh mertua saya tapi saya masih positif, ibu bapa mana tak sayang anak, jadi bersabarlah.
Ujian demi ujian, saya senyum dan beritahu diri sndiri, bersabarlah. Seminggu selepas mendirikan rumah tangga, keluarga mertua sudah rancang nak buat hari keluarga. Saya okay saja, namun tak sangka pada hari nak berlangsung, ayah saya dimasukkan ke wad. Saya minta suami hantar, tapi mertua saya cakap kakak2 awak kan ada. Awak duduk sini sambut hari keluarga, biar mereka yg lain pergi hospital. Suami setuju dgn ibu bapanya. Saya mengalah, malam itu ayah saya meninggal dunia. Yup, saya bodoh.
Kali Pertama Tangan Naik Ke Muka
Tahun kedua perkahwinan, alhamdulillah kami dikurniakan bayi lelaki. Puasa hari ke 28, kami bersiap nak balik ke kampung suami ( setiap tahun raya pertama wajib di rumah ibu bapanya ), ibu saya diserang strok. Saya tak mahu ulang kebodohan lalu, dan saya bertegas untuk hantar ibu ke klinik dan menjaganya, suami masih dengan alasan adik beradik awak yang lain boleh jaga. Saya berkeras, dan itulah kali pertama tangannya naik ke muka saya. Akhirnya saya mengalah kerana takut. Sebulan lebih selepas itu ibu saya pula meninggal dunia dan adik beradik memulaukan saya atas tindakan saya yang mengikut suami dan keluarganya sepanjang masa. Masih saya diam. Yup, saya bodoh.
Pada Januari 2014, usia anak kami 2 tahun, adik suami saya berkahwin dengan wanita pilihannya, lulusan ijazah kejuruteraan, bermulalah episod telinga saya berdarah dengan segala macam cemuhan, sindiran dan perbandingan. Menantu baru diangkat setinggi tingginya. Saya yang lulusan STPM hanya tersenyum sambil mendukung anak, tiap kali dibandingkan dari segi akademik. Saya masih sabar dan menganggap mereka masih keluarga suami yg mesti dihormati. Yup, saya bodoh.
Mohon Melanjutkan Pelajaran
2015, saya memohon melanjutkan ijazah di UiTM Shah Alam, secara jarak jauh. Kelas hanya pada hari minggu. Alhamdulillah, permohonan berjaya. Suami agak keberatan dan meminta saya bertanya pada ibunya. (Dalam hati terdetik, apa kena mengena ibunya dengsn saya nak melanjutkan pelajaran?) dan bila suami lihat saya seperti berat mengikut katanya, dia sendiri hubungi ibunya, membuat loud speaker dan meminta pendapat.
Jelas dan terang ayat ibunya, ”Hai, nak bersaing tahap akademik dengan biras ke?” Saya tetap berkeras. Walau saya takut-takut ditampar lagi, dikongkong lagi, saya juga takut sekiranya diceraikan (ibu bapa saya dah tak ada, adik beradik pula dah benci), saya sebatang kara. Kawan kawan juga dah renggang selepas saya berkahwin. Akhirnya suami beri kata putus, “Kalau awak nak sangat, yuran bayar sendiri.” saya akur.
Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar, pekerja, isteri, ibu, dan menantu. Walaupun anak saya baru berusia 3 tahun lebih waktu itu, dia seperti mengerti kesibukan saya. Amar anak yang baik dan tak buat perangai sangat. Pada waktu saya rasa satu dunia menentang saya, saya lihat wajah Amar dan saya tenang. Saya masih ada Amar, satu satunya manusia di dunia yang masih sayangkan saya dan hormat saya. Berulang alik ke Shah Alam menaiki bas, terpaksa bayar lebih kepada pengasuh kerana hantar Amar bukan pada hari bekerja, yuran belajar, tiket pergi balik, semuanya duit saya. Saya gagahkan diri. Saya kuatkan diri bukan untuk masa depan saya, tapi masa depan Amar.
Suami Ada Perempuan Lain
Tahun 2016, terdengar ura-ura suami saya nak kahwin lagi satu. Saya tersentak, tapi saya pegang pada prinsip, selagi bukan dari mulutnya, maka saya akan abaikan. Sampai lah satu malam selepas tidurkan Amar, saya sedang menyiapkan assignment, dan suami cakap nak berbincang. Saya dapat rasa jantung saya berdegup sangat laju, tangan saya yang pegang pen terasa berpeluh dan menggeletar. Dan ya, dia beritahu sedang berkawan dengan perempuan lain. Saya tanya, sejak bila. Dia beritahu sudah 1 tahun.
Patutlah, dia tak kisah sangat saya ke Shah Alam, rupanya dia pun boleh dating dengan perempuan itu kerana Amar di rumah pengasuh. Tapi dia menyambung ayat “Awak jangan risau, saya belum nak kahwin dengan dia. Kami hanya berkawan. Kalau nak kahwin pun saya tak perlu minta izin awak. Tapi saya ni lelaki yang berani, jadi saya jujurlah dengan awak” Mendengar ayat ini, saya senyum dan tanya, “habis bila abang nak kawin dengan dia?” Dia jawab, “tahun depan?” Saya angguk. Saya kemaskan buku dan laptop, dan masuk tidur.
Pada jam 4 pagi, saya terjaga. Suami nyenyak tidur. Saya bangun dan solat sunat. Saya ke bilik sebelah dan tengok Amar. Saya peluk Amar dan menangis sepuas puasnya sehingga Amar terjaga tapi masih mamai. Satu ayat keluar dari mulut Amar yg mengubah hidup saya. Amar, anak yang baru berusia 4 tahun itu, dalam keadaan mamai, berkata pada saya: “Mak, Amar tak suka Babah.” Dan dia sambung tidur.
Mula Lakukan Perubahan Dalam Hidup
Selepas itu saya renung wajah Amar. Entah apa jadi pada saya malam itu, saya rasa saya bukan lagi perempuan yg sama. Saya rasa satu perubahan di hati saya. Di bilik Amar, sehingga ke subuh saya menimbang tara, menyusun hidup, dan membuat pilihan. Akhirnya saya nekad dengan satu keputusan terbesar dalam hidup.
Esoknya saya ke tempat kerja, saya tanya pada rakan sepejabat, ada tak apa-apa kerja part time yang boleh saya buat di rumah. Dia kata boleh kalau tolong isikan borang poslaju (dia berniaga online) dan saya bersetuju. Memang bayaran sikit, tapi dalam sebulan, lepas untuk keperluan susu Amar (update: suami tak pernah hulur nafkah keperluan saya dan Amar kerana dia tahu saya bekerja , melainkan bil-bil rumah, barang nak masak dan sewa rumah, kerana ibunya kata adik adiknya ada yang bersekolah, jadi dia yang sulung mesti bantu.)
Saya mula pergi kelas tiap-tiap minggu, sebelum itu saya pergi selang dua minggu, saya ambil subjek sehingga maximum credit hours, saya crampkan jadual saya sehabis habisnya, kerana saya nak cepat habis belajar. Saya buat kerja part time itu ini. Saya menyimpan di tabung haji. Sampai lah badan saya yang agak gempal beransur kurus. Suami masih mabuk bercinta, tapi tak apa. Misi terulung saya harus dilaksanakan.
Fokus Pada Misi
Dengan duit simpanan, saya keluarkan RM3800, saya beli kereta kancil 2nd hand. Suami tanya kereta siapa, saya jawab sayalah. Dia tanya kenapa beli, saya cakap mudah ke kelas, abang tak nak hantarkan saya, saya pun letih naik bas, saya belilah. Dia mungkin rasa tercabar (sebab saya tak pernah buat keputusan sendri tanpa tanya dia) lalu menendang sikit tayar kereta saya sambil berkata “kancil je pun.. besi buruk atas highway”. Tak apa, saya senyum. Fokus pada misi…misi..misi…
Di tempat kerja, saya tanya ada tak yang nak sewakan bilik. Alhamdulillah, ada sorang staff baru, dia nak sewakan bilik tapi dia pelik, untuk siapa sebab saya dah berkahwin. Jadi saya jawab, kalau saya dan anak saya, cuma untuk sementara, boleh? Dia okay.
Setiap malam, saya mengira bajet. Saya mencongak, menyusun masa depan. Badan semakin susut. Baju baju zaman bujang semua boleh pakai balik.
Suami Ditangkap Khalwat
Akhirnya, November 2017, Amar berusia 5 tahun, saya dikejutkan berita suami ditangkap khalwat. Saya masih senyum, keluarga suami sangat mempercayai bahawa dia dianiaya. Dan mereka menerima perempuan itu jika mahu berkahwin kerana perempuan itu seorang eksekutif yang bergaji besar. Ibu mertua siap berkata “Kena redha lah dimadukan. Orang suruh jaga suami, pulun nak sambung belajar.” Saya senyum. Fikirkan misi…misi…misi….
Disember 2017 mereka dikahwinkan. Saya waktu itu sibuk dengan persediaan final exam UiTM yang akan berlangsung Januari 2018. Selepas berkahwin baru, suami memang makin tak ambil tahu hal saya dan Amar. Tak apa, bila dia tak ada dirumah, saya senang menguruskan kerja part time dan Amar. Selesai peperiksaan akhir, suami ajak saya tinggal bersama dengan madu dirumah madu. Kerana dia dah tak mampu bayar sewa rumah yang diduduki saya waktu itu.
Saya menolak dengan baik dan dia kata ” kau pandai-pandai cari rumah lain, aku takkan bayar sewa rumah ni dah. Duit depo pun aku akan dapat bulan depan. barang-barang perabot aku nak pindahkan kat umah madu kau esok”. Saya hanya menjawab, “OK.”

Dijatuhkan Talak 3
Malam itu, saya kemas baju-baju dan barang keperluan yang penting untuk saya dan Amar. Dia tanya nak kemana hoi? Saya jawab, ke rumah sewa baru. Dia dengan mata terbeliak, berkata “kau keluar dari rumah ni malam ni, jatuh talak tiga” Saya dengan senyuman yang sangat bangga, mengambil barang-barang, Amar, dan kunci kereta. Saya terus ke rumah yang saya nak sewa bilik dengan rakan sekerja tu.
Selepas itu bertalu-talu whatsapp masuk handphone saya;
“Hoi, mana rak dalam bilik?”
“Perempuan setan, kau ambil iron dan iron board?”
“Betina, kenapa barang rumah banyak yang tak ada?”
Saya jawab dengan balasan ringkas, “Saya ambil semua yang saya beli dengan duit sendiri, jumpa di mahkamah.”
Sebenarnya sepanjang dia mabuk bercinta, saya persiapkan diri untuk berdikari. Saya beranikan diri memandu jauh. Saya tawakkal beli kereta 2nd hand( alhamdulillah kancil tu terbaik hahahahaha), dan lepas dia kahwin baru dan jarang balik tu, saya pindahkan sikit-sikit perabot dengan bantuan rakan pejabat.
Hari ini, selesailah urusan mahkamah selepas dua bulan lebih talak tiga dijatuhkan di rumah itu. Saya akhirnya seorang janda tapi saya janda yang sangat bahagia. Saya dah bersedia menjadi janda, physically and mentally. Financially too.
Sekarang saya nak tumpu pada Amar, dan nak cari balik adik beradik dan kawan-kawan dulu yang saya tinggalkan untuk minta maaf atas kebodohan saya. doakan saya ya.
-Anisah
Buat wanita ini, sesungguhnya anda memang seorang wanita yang kuat, cekal dan tabah! Bukan mudah untuk bangkit, membina benteng kekuatan diri untuk persiapan masa depan. Namun anda berjaya membuktikannya dan tidak mengharap simpati daripada bekas suami.
Buat wanita lain, yang mungkin senasib dan sama perjalanan seperti wanita ini, Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Berani lah untuk ‘melangkah’ lebih jauh. Sentiasalah bersedia, persiapkan diri dengan ilmu, kewangan, kerjaya dan paling penting mampu berdikari walaupun tanpa insan yang bernama suami.
Sumber: IIUM Confessions
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI