Masih dalam mood raya. Masa inilah, macam-macam rancangan yang dibuat dengan grop sekolah, grop tempat kerja lama untuk bertemu. maklum sahaja setahun sekali, itu pun kalu dibuat setiap tahun. Tak kurang juga baru pertama kali nak berjumpa selepas berbelas tahun.
kadang-kadang, reunion nie baik untuk eratkan hubungan silaturahim antara kawan-kawan lama. Tapi yang menjadi tidak baik bila ada yang mula jeling menjeling, pandang memandang. Kononnya secret admirer masa sekolah atau bekas ‘cinta monyet’ dulu.
Perkara-perkara inilah yang boleh menggugat rumah tangga yang dibina selama ini hanya kerana reunion. Bolehkah ia diselamatkan, jika ia masih lagi baru bermula? Ketahui pandangan dan nasihat daripada Prof Dr. Hj Mohd Nor Mamat tentang perkara ini.
Tujuan asal reuinion adalah untuk menyambung hubungan silaturahim dan persahabatan yang terputus ataupun mengukuhkan hubungan sedia ada, memandangkan masing-masing saling berjauhan dengan haluan hidup yang berbeza. Persahabatan ketika waktu persekolahan dan zaman belajar bersama-sama adalah persahabatan yang paling indah dan asli.
Ia adalah majlis penyatuan semula selepas lama terpisah dan kali ini pertemuan dalam bentuk yang lebih dewasa dan matang, bukannya semata-mata untuk mengenang kisah silam yang nostalgik. Ia lebih kepada networking, update perkembangan dan kontak satu sama lain dan bukannya untuk percintaan ataupun percubaan untuk test market semula selepas ada kerjaya dan sebagainya.
Persahabatan adalah satu-satunya pintu kemerdekaan kita. Banyak perkara yang tak dapat kita nyatakan kepada isteri kita sendiri sekalipun, tetapi dapat dinyatakan kepada sahabat. Sebab itu persahabatan yang jujur itu adalah salah satu dari tangga kejayaan.
Keadaan ini boleh berlaku sekiranya reunion dilangsungkan untuk tujuan bertemu dan menghubungkan semula cinta lama. Mungkin ada yang masih bersendirian ketika reunion dan sudah tentu tidak menjadi kesalahan untuk bertemu sesama kawan yang masih lagi solo.
1.Betulkan niat kita untuk menyambung silaturahim dan mengeratkan rangkaian persahabatan sejak sekian lama.
2.Elakkan daripada bertujuan untuk melarikan diri daripada konflik rumah tangga ataupun mencari semula hubungan lama.
3.Sama ada suami atau isteri, bawalah pasangan kita bersama untuk diperkenalkan kepada rakan-rakan, silaturahim akan lebih ikhlas.
4.Pada masa yang sama, kita perlu juga memahami apabila pasangan kita bertemu semula dengan rakan-rakan lama, akan ada elemen kenakalan zaman persekolahan atau cerita-cerita nostalgik sedikit sebanyak.
5.Elakkan terlalu banyak bercerita tentang persahabatan kita di sekolah kepada pasangan, apatah lagi jika ada elemen perhubungan yang nakal atau percintaan monyet.
6.Jangan terbawa-bawa kenangan silam, kerana kita semua telah pun berkeluarga. Utamakan kebahagiaan keluarga dan eratkan rangkaian persahabatan.