Tak Salah Meluahkan Masalah Tapi Berwaspada, Berceritalah Pada Orang Yang Amanah

Share
Tak salah meluahkan masalah rumah tangga tapi berwaspadalah dan berceritalah pada orang yang amanah. Jangan sembarangan meluahkan itu dan ini hingga mengaibkan pasangan. Kadang-kadang kita perlukan orang lain untuk mendengar masalah rumah tangga yang dihadapi.
Di samping itu, jangan pula meluah berlebihan membuatkan sahabat anda turut merasa terbeban dan tertekan. Maklumlah hal rumah tangga ini rumit sikit, hari ini bermasam muka dan esok tiba-tiba bahagia tak terhingga.
Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan hadam baik-baik ya:
Ada teman saya share dia hampir kemurungan dan rasa takut hendak kahwin apabila seringkali dijadikan tempat meluah perasan dan masalah rumah tangga.
“Aku punya tak dapat tidur fikirkan dia okay ke tak.. Alih-alih dia update facebook elok je bermesra, happy-happy dengan husband. Padahal cara dia cerita tu bukan main teruk lagi.”
“Ada tu share masalah siap menangis-nangis. Pinjam duit apa semua. Tapi mengandung juga lagi. Dekat facebook gambar happy je dengan husband. Aku tak faham.” luahnya kesal.

Tak Salahkan Luahkan Masalah

Respon ringkas saya, “Rumah tangga ni hal complicated.”
Ya. Sesebuah rumahtangga ni memang complicated. Tak cukup untuk dengar cerita dari sebelah pihak sahaja. Sebab itu sesi kaunseling pejabat agama pun, perlu dengar cerita dari kedua belah pihak.
There’s always two sides to a story.
Saya beritahu kawan tadi. Kadang ada sesetengah orang, apabila mereka meluahkan kepada kita, mereka tak minta solusi pun. Mereka hanya nak bercerita dan meluahkan. Mereka rasa lega apabila bercerita walhal masalah atau konflik tu masih ada, belum selesai pun.
Tak mustahil cerita yang sama diulang hingga bertahun-tahun. Kadang sampai anak sudah bertambah-tambah, tetapi luahannya masih sama. ‘Suami begitu,’ ‘suami begini,’ ‘isteri begitu,’ ‘isteri begini’. Menangis, mengamuk. Tetapi di media sosial elok sahaja gambar bercuti, bergembira. Tak semua begitu, tapi ada.
Namun, begitulah… kadang mereka terlepas pandang, natijah dan kesan buruk yang ditinggalkan kepada teman tempat luahan perasaan tadi. Emosi dan mood teman tadi mungkin tercalar memikirkan ‘masalah’ itu. Terutamanya bagi orang yang ambil serius hal tersebut.
Jadi saya berpesan pada teman tadi, berlepas dirilah kalau rasa sudah tak mampu nak hadap lagi ‘luahan’ sebegini. Apatah lagi sampai bertahun masih tak juga ‘selesai’ masalahnya. Jangan sampai diri sendiri pula yang sakit dan terbeban oleh masalah orang lain.
Artikel Berkaitan:
Info lebih menarik, klik saja di sini. 

Boleh Meluahkan Masalah Tapi Berwaspadalah

Buat semua, ingatlah bahawa orang alim melarang kita membuka aib rumah tangga/cerita dalam kain (sesuka hati tanpa ada niat untuk pembaikan dan penyelesaian). Kalau boleh diselesaikan sendiri, tak perlulah campur tangan orang luar.
Fikirkan jugalah perasaan orang yang menjadi tempat meluah kita itu. Mendengar cerita ‘derita’ kita yang bertahun-tahun, sampai kita tak sedar sebenarnya kita telah membebankan mereka dengan masalah kita.
Tak kira kita ada masalah apa pun. Walau kita sudah luahkan kepada 10 orang yang berbeza sekalipun, kita perlu faham, pengakhirannya tetap kita jugalah yang perlu fikir dalam-dalam serta buat keputusan tentang apa jua konflik yang kita hadapi.
Keputusan di tangan kita.
Hidup kita, pilihan kita.
Hidup kita, tanggungjawab kita.
Maafkan saya kalau pendapat saya ini salah. Ingatan untuk saya juga terutamanya. Kadang kita tak sedar kelalaian kita.
.
Edited : Saya bukan kata meluahkan tu salah. Saya pun faham, tak semua orang ada kapasiti yang besar untuk ‘hadam’ masalahnya seorang diri. Juga ada yang diuji dengan pasangan yang tak mahu mendengar dan sama-sama duduk bercerita. Bimbang juga kalau tak meluah mengundang masalah tekanan atau depresi.
Namun, sebaiknya berceritalah pada orang yang amanah dan boleh nasihatkan kita tanpa ada kepentingan. Kita pun ketika bercerita, jagalah niat dan hati kita serta cuba berlapang dada apabila dinasihatkan. Moga Allah bantu kita insyaAllah. Ingatan untuk saya juga.
MW: Kadang-kadang kita memang perlukan seorang teman untuk meluah rasa, bimbang jika dipendam lama-lama akan membebankan diri seterusnya kemurungan. Namun begitu, berpadalah dalam meluahkan rasa, risau pula sahabat yang menjadi tempat meluah terasa beban. 
Published by
Syazwani Mehat