Kehadiran badut atau clown di dalam sesuatu majlis yang melibatkan kanak-kanak sudah pasti akan memeriahkan suasana. Ibarat semut mengelilingi gula. Begitulah suasana yang boleh dilihat apabila kanak-kanak teruja melihat badut melakukan persembahan di hadapan mata mereka.
Kebiasaannya lelaki yang memilih kerjaya sebagai badut. Namun berbeza dengan wanita yang seorang ini. Watt D Lady Clown atau nama sebenarnya Noor Hidawati Mohd Juki, adalah antara wanita yang memilih kerjaya sebagai badut atau clown. Apakah yang menyebabkan Watt memilih untuk menjadi seorang badut, kerjaya yang sangat jarang diceburi oleh wanita?
“ Saya seorang suri rumah yang menjalankan bisnes menjual roti jala dan mengajar kraf tangan. Pada penghujung tahun 2015, saya mengambil keputusan menyertai Bengkel Seniman Jalanan DBKL untuk mendapatkan permit untuk melakukan busking di sekitar KL.
“ Sewaktu menghadiri bengkel tersebut saya telah berkenalan dengan dua orang badut bernama Clown Labu dan Banana de Clown. Mereka ini memperkenalkan kerjaya sebagai badut. Setelah mendengar cerita mereka, saya tiba-tiba rasa macam menarik pula kerja sebagai badut ini.
“ Daripada cerita mereka itu, saya dapat rasakan seorang badut ini adalah kombinasi kepada semua minat saya selama ini. Saya minat melakukan seni persembahan, membuat kraf tangan dan menghiburkan kanak-kanak.
“ Saya fikir tidak salah mencuba jadi badut. Selesai sahaja bengkel, saya menyuarakan hasrat untuk menjadi badut kepada suami saya. Pada mulanya suami terdiam. Dia terkejut sebab saya mahu jadi badut. Risau juga jika suami tidak merestui hasrat saya ini. Suami akhirnya mengizinkan saya menjadi badut. Begitu juga dengan keluarga saya memberi sokongan penuh. Saya bersyukur dan kini saya gembira dengan apa yang saya lakukan ini,” ujar Watt memulakan bicara.
Tidak ada kursus yang diambil oleh Watt untuk menjadi seorang badut. Tetapi itu tidak bermakna Watt jadi seorang badut tanpa sebarang panduan.
“ Saya akui tidak mudah jadi badut. Pada mulanya saya ingat jadi badut itu senang. Saya masih ingat lagi betapa gementarnya pertama kali buat persembahan jadi badut. Tanpa berguru, saya redah sahaja. Memang kelam-kabut.
“ Hanya seminggu selepas itu ada kawan yang memperkenalkan saya dengan seorang badut yang mengajar saya tanpa sebarang yuran. Saya terhutang budi dengan Siso de Clown. Selama enam bulan saya belajar menjadi badut daripada dia.
“ Apa yang pelajari daripada Siso de Clown? Saya belajar mekap, asas pintalan belon, bagaimana hendak menguruskan parti, games dan simple magic daripada dia. Bukan itu sahaja, Siso de Clown juga membawa saya menyertai aktiviti amal dan kebajikan.
“ Bukan Siso de Clown sahaja guru saya. Selepas itu saya ada berguru dengan orang lain. Saya belajar silap mata, pintalan belon, pemasaran, karakter dan etiket dalam bisnes,” tambahnya.
Sebaik ilmu dan kemahiran telah ada, Watt mula memberanikan diri untuk menerima tempahan menjadi badut di pelbagai majlis. Watt gembira menjadi badut. Sasarannya sebagai seorang badut adalah ingin membantu seramai mungkin menghilangkan rasa takut pada badut di kalangan kanak-kanak mahu pun orang dewasa.
“ Sekarang ini tidak ramai badut wanita dan tidak ada badut muslimat di Kuala Lumpur. Saya berharap pada masa akan datang lebih ramai badut wanita di Malaysia dan kami boleh bersaing dengan badut lelaki seperti mana di luar negara,” cerita Watt lagi.
Badut sentiasa tersenyum dan menghiburkan orang lain. Namun begitu tidak mudah untuk menjadi badut. Watt mengakui dia perlu menghadapi pelbagai cabaran sebelum mampu menjadi badut pilihan ramai.
“ Untuk menjadi seorang badut, seseorang itu perlu ada sikap simpati dan empati. Badut juga perlu melakukan persiapan dari segi mental dan jiwa yang kuat agar tidak mudah koyak menghadapi sebarang rintangan.
“ Sepanjang saya menjadi badut ini cabaran yang saya hadapi adalah apabila badut yang baru hendak naik membuang harga demi mendapatkan job yang cepat dan banyak. Cara mereka ini akhirnya akan membahayakan kualiti kerja. Cara mereka ini juga akan memberi kesan kepada badut-badut lain,” ujarnya lagi.
Sepanjang hampir empat tahun menjadi badut, Watt bukan sekadar menghiburkan orang. Dia dan sahabat myBadut juga tidak lokek menurunkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki kepada mereka yang berminat.
“ Saya dan sahabat myBadut pernah melatih badut-badut baru di Miri, Sarawak kira-kira dua tahun lepas. Dan Alhamdulillah mereka berjaya menjadi badut sampai hari ini. Selain itu saya juga pernah membuat kelas asas badut untuk kanak-kanak. Saya pernah ada lapan orang pelajar ketika itu,” kongsi Watt lagi.
Ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga tidak ketinggalan mewarisi ilmu dan kemahiran yang ada kepada anak-anaknya.
“ Tiga dari anak saya aktif membantu saya dan menjadi badut bila ada jemputan. Saya mengajar mereka menjadi badut bukan setakat untuk menghibur tetapi saya ajar mereka rasa bersyukur. Kadangkala saya ajak anak-anak melakukan kerja badut secara sukarela di hospital, pusat perlindungan pelarian, rumah anak yatim dan rumah orang tua,” tambah Watt.
Pendapatan sebagai seorang badut itu tidak tentu. Oleh sebab itu, Watt sentiasa mencari peluang kerja lain. Pada bulan Julai 2018, dia telah menyertai Program Azam Bandar anjuran KPKT dan PEKAP.
Dia telah dibekalkan dengan peralatan serta latihan menggunting rambut.
“ Sebaik sahaja habis menjalani latihan saya terus memulakan bisnes mobile barber atau tukang gunting rambut bergerak secara sambilan. Setakat ini biasanya saya akan menerima tempahan menggunting rambut di sekitar kawasan Kuala Lumpur, Kepong dan Shah Alam,” akhirinya.