Tak salah berkawan, tapi jangan sampai abaikan perasaan perasaan isteri dan anak-anak kerana mereka lebih memerlukan anda. Jangan letakkan kawan lebih utama daripada isteri dan anak-anak hingga mereka rasa kecil hati dan terpinggir.
Ramai suami hari ini dilihat gemar lebihkan kawan-kawan hingga mengabaikan isteri dan anak-anak seolah-olah keluarga tiada lagi kepentingan buat mereka. Hati-hati ya para suami atau ayah, kelak lama-lama anak-anak tidak hairan anda tiada di sisi mereka.
Suami jangan lebihkan kawan daripada isteri dan anak-anak.
Suami sekarang suka lebihkan kawan-kawan daripada isteri dan anak-anak. Malah bagi mereka kawan-kawan adalah segalanya. Konon kawan-kawan boleh bagi mereka segalanya berbanding isteri dan anak-anak.
Yang lebih menyedihkan ada suami yang sanggup habiskan duit untuk kawan-kawannya daripada keperluan isteri dan anak-anak.
Tak Salah Berkawan
Masa mereka dengan isteri dan anak-anak sangat membosankan malah bersama kawan-kawan mereka tidak kisah masa berlalu dari petang hingga awal pagi. Bagi mereka melepak dengan kawan-kawan sangat menyeronokkan.
Wahai para suami, tidak kasihankah anda pada perasaan isteri dan anak-anak anda? mereka juga perlukan anda dan mereka juga ingin meluangkan masa dengan anda.
Lebih-lebih lagi kasihan pada anak-anak yang masih kecil, mereka perlukan ayah untuk mereka bermain. Cuba tengok keadaan mereka bila anda sebagai ayah ada bersama mereka.
Mereka sangat gembira kan? Patutnya anda bersyukur kerana Allah bagi zuriat berbanding dengan orang yang tidak mempunyai anak dan teringin untuk dipanggil ayah.
Memang diakui kawan itu diperlukan, tapi jangan sampai mengabaikan perasaan isteri dan anak-anak anda. Mereka perlukan ruang bersama anda. Jangan lebihkan kawan daripada keluarga anda sendiri.
Rugi rasanya sebagai seorang ayah tidak melalui pengalaman melihat anak-anak membesar di depan mata. Suatu hari jika ditakdirkan anak-anak tidak mempedulikan anda, itu bukan salah mereka tetapi salah anda kerana masa anda bersama mereka tidak dimanfaatkan sebaiknya.
Sebagai ayah dan suami, utamakanlah keluarga anda kerana mereka adalah di bawah tanggungjawab anda. Bukan sahaja memberi wang kepada mereka tetapi masa dan perhatian daripada anda adalah keutamaan mereka.
Jika dengan kawan dari waktu kerja hingga lewat malam boleh anda luangkan, takkan bersama keluarga sendiri anda abaikan. Komunikasi dalam keluarga juga sangat penting bagi mengeratkan lagi kasih sayang.
Kena ingat juga, doa isteri dan anak-anak adalah doakan yang paling mustajab. Jadi jagalah amanah ini dengan sebaiknya serta penuh ikhlas. Mereka tiada siapa selain anda. Kerana bagi mereka andalah hero mereka untuk melindungi mereka dan segalanya.
Ingat ya para suami, rugi jika anda lebih mengutamakan kawan diluar sana daripada keluarga sendiri. Ini juga boleh merosakkan emosi anak-anak anda. Jangan menyesal jika suatu hari mereka abaikan anda.
MW: Sebaiknya, berkawan biar berpada-pada. Utamakan keluarga sebelum kawan-kawan. Berikan ruang dan masa yang lebih buat isteri dan anak-anak sebelum ayah-ayah habiskan masa bersama kawan-kawan. Ingat ya!
Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Sibuk Dengan Anak-Anak
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Urus Anak Hingga Tak Ada Masa Urus Diri
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Mula Komen Penampilan Isteri
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Perlu Kemahiran Didik Anak
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Ujian Untuk Dapat Pahala
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Berbual Dan Luahkan Pada suami
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kena cerai sebab suami tak suka tengok muka sebenar isteri bunyinya agak kelakar. Tapi itu realiti yang berlaku. Apa yang salah dalam hubungan ini, ya? Sebenarnya perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah. Kena ada toleransi dan terima pasangan kita seadanya. Yang tak cukup, saling melengkapi.
Tetapi janganlah sampai minta perkara yang bukan-bukan dengan pasangan. Kalau dah pelik sangat, siapa yang tahan.
Nak dijadikan cerita, ada satu pasangan yang baru berkahwin ini bercerai lepas tak sampai sebulan bernikah. Gara-gara suami nak isteri bermekap sepanjang masa. Sampaikan nak tidur malam pun disuruh si isteri mekap.
Agak-agak kalau anda jadi isterinya, boleh tahan ke?
Suami Suka Tengok Wanita Bermekap
Ya, dia sendiri tak sangka hanya sebab tak mekap suaminya lafaz cerai.
Apa yang lagi mengejutkan pasangan itu dah bercinta selama 4 tahun sebelum berumah tangga.
Malahan pernah suami wanita itu siap melarang keras tidur bersama di atas katil sebab tak pakai mekap. Isyh, tak kan nak tidur pun kena melawa bagai?
Macam Mana Zaman Bercinta Dulu?
Bila disoal, adakah suaminya tak pernah tengok muka ‘bogel’ masa bercinta. Jawapannya, ya dia memang dipaksa mekap kalau nak dating. Katanya, bajet dah kahwin OK lah. Tetapi sebaliknya. Makin disuruh mekap adalah…
Zaman sekarang ini kes penceraian makin pelik-pelik. Haaa… yang disebabkan ubat gigi pun boleh jadi kes cerai. Entah apa-apa…
Sepatutnya bila sudah berkahwin, terimalah kekurangan pasangan. Yang cantik dan hensem tu cumalah sementara. Apa yang penting, cuba perbaiki kelemahan dalam diri dan sama-sama fikir masa depan sebelum bertindak.
Apa Patut Buat Kalau Mula Bertikam Lidah
1. Kalau dengar isteri atau suami mengeluarkan kata-kata yang agak pedas, jangan balas balik. Tapi beri peluang pasangan anda untuk habiskannya amarahnya dulu. Sebab kalau melawan waktu masing-masing tengah panas, biasanya akan sebut benda yang bukan dari hati.
2. Tak payah ungkit cerita lama, terus selesaikan apa yang silap dalam hubungan atau paling mudah tamatkan dengan ayat: “Boleh tak kita bincang elok-elok dulu?”. Walau hakikatnya anda memang tak setuju dengan caranya.
3. Andai si dia dah mula menengking, jangan pula anda pun sama naik. Sebaliknya jika pasangan anda yang meninggikan suara, katakan kepadanya “Boleh tak awak jangan cakap menengking, supaya saya faham apa yang awak nak cakap”.
4. Berhenti daripada tunding jari. Kalau permintaannya pelik-pelik macam kes di atas, boleh rujuk pada yang pakar atau minta pasangan bertoleransi dalam segala hal. Nyatakan sebab yang kukuh kenapa anda tak boleh buat begitu dan begini.
Benda simple, bukan? In shaa Allah hubungan anda dan pasangan makin jernih dan kekal bahagia. Konsep dah kahwin ni mudah, kena mendengar dan berubah demi kebahagian dua belah pihak. Ingat ya, perangai pasangan kita sebelum hidup sebumbung ni tak sama dengan waktu bercinta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai yang pandang remeh bab adab beraya dengan si kecil, kalau boleh sesuka hati nak cium anak orang tanpa minta izin mak ayahnya.
Ya, geram dan suka bau bayi tetapi jangan sebab kita anak orang dapat penyakit! Ini yang tak best, kadang mak ayah nak tegur pun tak sampai hati.
Adab Beraya, Jangan Cium Anak Orang!
Jadi bila misi Bel Nawhen sudah kongsi tentang adab beraya dengan anak kecil ini, harap semua orang boleh ubah ya.
Kasihan anak kecil kalau jadi mangsa dapat penyakit mudah-mudah musim raya nanti. Nah, jemput hadam dulu.
Menyambut raya bersama si kecil sebenarnya satu perkara yang dinanti oleh ibu bapa muda masa kini. Begitu juga oleh kaum keluarga yang lain. Masa inilah dapat berkumpul sesama saudara dan melawat ahli keluarga yang baru melahirkan. Begitu juga sesama rakan kan.
Walau bagaimanapun, beberapa adab perlulah dijaga sewaktu menziarah sesama keluarga atau rakan yang baru sahaja mendapat ahli keluarga baru.
Berpenyakit
Seperti yang kita tahu, kanak-kanak bawah 5 tahun cenderung mendapat jangkitan yang dibawa oleh orang lain. Maka, jika kita selsema, batuk atau mempunyai penyakit berjangkit yang lain, elakkanlah dari datang menziarah.
Janganlah pula selamba derk cium si kecil tanpa rasa bersalah. Digomol-gomol sebab geram. Saya tahu bau baby ni wangi.
Tapi nanti kalau baby jatuh sakit, kamu nak volunteer jaga baby kat wad tak? Jangan selamba cakap ‘Tak berjangkit lah!’. Anda mana tahu?. Anda mungkin kebal, tapi bayi itu tidak.
Oh ya, pastikan tangan dicuci dahulu sebelum menyentuh bayi. Apa kuman kita bawa sepanjang hari kita tak tahu kan.
Memakai Baju Yang Penuh Asap Rokok Atau Kotor
Silap kalau saya cakap begini. Rayakan hari dimana semua orang tidak kira tua muda, dewasa dan kecil pasti akan melaram. Tetapi, dalam melaram, bagi perokok tegar, aktiviti merokok tidak akan ditinggalkan. Melekatlah bau asap di baju. Kemudian jumpa anak saudara atau anak kawan. Dicium sepam. Habislah asap rokok itu memberi kesan kepada bayi. Ingat sikit. Bukan anak kita tu.
Makanan Minuman Yang Panas
Biasalah kalau beraya. Nak borak mesti berdepan. Kalau tuan rumah hidang air panas. Bawa turun sekali cawan beralas piring semata-mata nak berbual. Kalau boleh, elakkan dari meletak makanan/minuman panas berhampiran bayi. Tak tangan anda tak henti bergerak dengan mulut yang bercakap tertepis, anak-anak yang ada terlanggar dan air/makanan itu tumpah kemudian terkena bayi. Dah jadi satu cerita lain. Jangan guna alasan ‘sekejap je’.
Membawa Anak Lain
Hari raya ni ada jenis keluarga yang akan beraya sekali one shot satu family. Berbiji kereta akan join sekaki untuk berjalan. Tetapi apabila menziarah rumah yang ada bayi, jaga adab anak sendiri di rumah orang. Kalau dia dok kacau barang tuan rumah satu hal. Buat dia gentel dan gomol baby, tanda sayang saya pun tahu. Tapi ada sesetengah kanak-kanak kurang gemar dengan kehadiran entiti asing yang mendapat perhatian lebih dari dia. Silap-silap dia gentel bayi macam kuih bom. Kalau siap pakej cepuk tu. Habis!. Maka, kawal anak kita. Anak orang tu besar tapak tangan lagi oiii.
Melawat Lewat Petang/Malam
Biasalah kalau menziarah tu tak sah kalau tak membawa ke malam. Ada tu sehari suntuk pun tak penat berjalan. Tetapi elakkanlah menziarah ke rumah mereka di waktu begini. Bukan apa, waktu siang mereka dah tak putus-putus menerima kunjungan. Lepas tu kita sambung dan sembang pula tak reti tengok jam tangan. Baby pun letih sebab kurang rehat seharian. Ibu mereka apetah lagi. Bagi chancelah ibu-ibu berehat. Sambung esok pula. Text dahulu sebelum datang. Rayakan sebulan!
Mengejutkan Bayi Tidur
Ini biasa kan. Dah puas cuit baby, belek pula kepala ke kaki. Puji baju raya baby cantik. Melekat elok kat badan. Tapi tak puas kalau tak dengar suara bayi, tak tengok mata bayi sepet, bulat, coklat, biru laut ikut siapa tu tak sah. Sengaja dikejut bayi tidur pula semata-mata bagi memenuhi kehendak yang satu itu. Bayi baru lahir perlu rehat yang cukup. Tak cukup rehat maka bayi akan meragam. Yang susah ibu bapanya. Kita pula boleh sambung beraya rumah kerumah. Jangan macam tu.
Selfie Wefie Dengan Bayi
Mengambil gambar kenang kenangan merupakan aktiviti yang biasa diamalkan oleh kita. Tapi ada sesetengah ibu bapa tidak gemar gambar anak diambil sewaktu masih kecil. Seeloknya minta izin dahulu. Jika mahu diupload di laman sosial. Beritahu. Bukan main letak gambar konon kita umat pertama tunjuk muka baby sipolan pada dunia. Hormat sikit ibu bapa dia. Saya tahu kita gembira dengan kehadiran orang baru itu. Ibu bapa bayi itu juga. Cuma mereka mungkin belum bersedia mahu berkongsi dahulu.
Ibu Breastfeeding
Bayi baru lahir kita tahu memang kerap menyusu. Dan biasanya dihari raya, bayi dan ibu akan lepak di ruang tamu demi memberi ruang kepada orang yang datang menziarah untuk melihat bayi tanpa menyusahkan siibu untuk berulang alik bilik-ruang tamu setiap kali tetamu datang. Oleh itu, apabila si ibu memberitahu mahu menyusukan bayinya, maka berilah ruang/privacy kepada mereka. Janganlah dok renung dia sedang menyusukan bayinya. Susu badan si ibu warna putih, sama seperti kamu bukannya warna kelabu.
Adab Menziarahi
Penat kan bila bab adab ni pun kena tulis. Tapi jika tak ditulis, ditegur ada yang buat-buat tak tahu. Jangan pandang remeh tentang sesuatu perkara. Setiap orang perasaan mereka berlainan. Belajar menghormati orang lain.
Menziarah tu satu tuntutan agama selain merapatkan ukhwah. Cuma beragak sikit. Janganlah sampai tk ingat nak balik. Nak-nak orang baru bersalin dan ada anak kecil. Penat bersalin tak habis lagi.
Saya tahu, masa hari raya ni lah semua dapat berkumpul sebab kebetulan bercuti kan. Tetapi rancang perjalanan anda. Kalau tak sempat menziarah, apa kita boleh buat. Beritahu dengan si polan sebab tak sempat berziarah. Kita pun ada kekangan waktu kan. Lepas raya pun boleh je pi tengok baby. Tak menjadi masalah.
Nota:
Kalau boleh ziarah menziarahi di hari lebaran biarlah menjadi kenangan bukannya berakhir tragedi atau ketidak puasan hati. Nanti kena minta maaf lagi. Kata dah kosong-kosong.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!