Sungguh malang tidak berbau.Tidak puas hati kerana pertunangan diputuskan, dipercayai motif lelaki menikam bekas tunangnya hingga mati di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa berusia 21 tahun ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek yang berusia 33 tahun, dua hari sebelum kejadian atas alasan peribadi.
Katanya, suspek bagaimanapun sering mengganggu mangsa sehingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati dan mendesak agak hubungan disambung semula.
“Ketika kejadian, mangsa yang juga pembantu kedai aiskrim sedang bekerja seorang diri sebelum didatangi suspek yang dikenalinya selama setahun.
“Suspek dikatakan memujuk mangsa, namun mangsa tidak mahu menerima semula bekas tunangnya itu, menyebabkan suspek mendekati mangsa dan menikam mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kalsom berkata, mangsa dikatakan sempat menjerit meminta tolong dan didengari anggota keselamatan yang bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, saksi melihat mangsa terlantar di lantai dan suspek berdiri di sebelah mangsa sambil memegang sesuatu serta berlumuran darah.
“Pihak keselamatan kemudian menghubungi polis dan suspek yang juga warga tempatan kemudian berjaya ditangkap di lokasi,” katanya yang memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek, kes itu dianggap selesai dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaaan diambil.
Mesti Baca:“Kalau Bukan Artis Mungkin Tak Berniqab” Menutup Aurat WAJIB, Jangan Banyak Alasan – Waheeda Wassini
Baca Lagi Di Sini:Anak 2 Tahun Menyusu Badan Menangis Dipaksa Duduk Seat Sendiri, Bapa Kongsi Pengalaman Buruk Naik Pesawat
Artikel Menarik:Pasangan Sehidup Semati, Isteri Meninggal Hanya 34 Minit Selepas Suami Dijemput Ilahi
Mingguan Wanita: Sungguh kasihan nasib wanita ini, gara-gara emosi bekas tunang yang tidak dapat menerima kenyataan tiada jodoh, diri menjadi mangsa. Semoga pelaku mendapat pembalasan yang setimpal.Alfatihah.
Sumber: Hmetro