Tak pernah mimpi makan mewah begini, ini kali pertama kami pergi hotel. Tidak semua ditakdirkan merasa kemewahan dalam hidup. Walau telah berusaha keras membanting tulang namun kehidupan tetap sama, belum habis bulan gaji sudah habis.
Jelas, air matanya tumpah saat menyaksikan anak-anak gembira menikmati makanan enak berbuka di hotel. Banyaknya pilihan membuatkan bukan saja anak-anaknya tapi dirinya juga rambang mata kerana mereka tidak pernah termimpi pun untuk menikmati juadah enak sebegini banyak.
Tak Pernah Mimpi Makan Mewah Begini
“Ini kali pertama kami pergi hotel. Tak pernah kami merasa sebegini. Anak-anak sangat gembira kerana diberikan peluang ini,” kata Rohana Mohamad ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ramadan lalu.
Hal sama diakui oleh suaminya, Zawawi Bidin yang diuji dengan masalah penglihatan kabur hingga memaksanya berhenti kerja kerana tidak lagi boleh membawa motor kerana boleh membahayakan nyawanya.
“Tak pernah termimpi untuk bawa anak-anak masuk hotel. Kami bukan orang senang pun. Susah untuk saya gambarkan perasaan bila dirai begini. Tadi pun saya tengok ada banyak makanan, sampai tak tahu nak makan mana satu. Selama ini kami hanya makan dengan satu dua jenis lauk-lauk sahaja. Kata orang asal kenyang. Tapi bila dapat peluang begini, sebaknya hanya Allah yang tahu.
“Kami benar-benar bersyukur dengan rezeki dan peluang diberikan oleh PTPTN kepada keluarga kami,” kata keduanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa yang lalu.
Ini Kali Pertama Kami Pergi Hotel…
Momen manis terus tercipta buat keluarga ini apabila saat diraikan itu jatuh tepat pada hari lahir anak ketiganya, Muhammad Syafiq Syahmi yang berusia 10 tahun. Dapat terlihat wajah manisnya mengukir senyuman tatkala diraikan penuh meriah diiringi lagu selamat hari lahir buatnya.
Tidak hanya diraikan di majlis berbuka puasa tetapi keluarga ini turut menerima sumbangan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) buat anak-anaknya selain sumbangan kelengkapan persekolahan bagi memudahkan urusan pendidikan anak-anaknya di masa depan. Jelas ia sekali lagi menceriakan wajah anak-anaknya.
Diuji dengan masalah kesihatan yang semakin memburuk, selaku ketua keluarga Zawawi akui dia tidak mampu menyediakan semua keperluan buat anak-anaknya termasuk persiapan hari raya pada tahun ini. Ini kerana dirinya sudah tidak mampu bekerja seperti dahulu kerana masalah penglihatan dihadapinya.
“Mata saya sebelah dah buat pembedahan buang katarak. Lagi sebelah belum buat lagi. Mata saya jadi kabur dan susah nak melihat. Kalau nampak pun dari jarak dekat-dekat. Sebelum ini saya kerja sebagai pemasang papan tanda iklan di tepi lebuh raya. Bila diuji begini, saya hanya mampu duduk di rumah saja dan adakalanya tolong kawan untuk dapatkan duit belanja dapur sikit. Kalau tidak dapur kami terus tak berasap,” katanya ketika ditemui.
Bapa kepada lima anak yang kesemuanya masih kecil ini, Muhammad Shamsul, 14 tahun, Rohaliaty, 12, Shafiq Syahmi, 10, Ruzana Nurzawani, 8 dan Nur Izzati Amani, 6 akui di sebalik kekurangan dirinya, dia hanya mampu berserah kepada Allah tentang perjalanan rezekinya.
“Saya mahu bekerja dan sanggup kerja keras asal duit dan keperluan anak-anak terjaga. Tapi masalah mata yang semakin kabur ini memaksa keadaan sebaliknya. Isteri pun ada tolong bekerja dekat-dekat kawasan rumah kami duduki sekarang di flat Sri Kembangan. Sekarang, kami dapat bantuan dari Lembaga Zakat untuk bayar sewaan rumah dan bantuan bulanan,” jelasnya.
Di sebalik ujian menimpanya, tersimpan rahsia dari Allah taala buat mereka sekeluarga. Dalam memikirkan kesusahan hidup, Allah menghadirkan bantuan tanpa diduga dari PTPTN yang menyempurnakan hari raya mereka sekeluarga.
Sebelum diraikan berbuka di hotel, kunjungan team PTPTN bersama Mingguan Wanita di kediamannya menambah keceriaan kepada anak-anaknya apabila menerima tab untuk memudahkan pembelajaran anak-anaknya.
Dapat dilihat reaksi anak sulungnya, Muhammad Shamsul yang tersenyum riang saat menerima hadiah istimewa yang disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran, PTPTN, Puan Wan Zawiah binti Wan Abu Bakar di rumah mereka di Seri Kembangan, Selangor. Turut dihulurkan bantuan keperluan makanan.
Sama seperti orang lain yang ingin memiliki baju baru di hari raya, kegembiraan keluarga ini disempurnakan dengan pembelian baju baru di pusat beli belah kesukaan ramai iaitu Jakel Kuala Lumpur.
Kegembiraan berganda lebih dirasai Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid meluangkan masa menemani mereka seisi keluarga membeli keperluan hari raya, sesuatu yang tidak pernah dialami oleh keluarga ini.
Dapat dilihat masing-masing teruja menerima hadiah tak disangka ini dan kesemuanya memilih warna hitam sebagai tema hari raya tahun ini.
Dalam pada itu, program Sempurnakan Raya anjuran PTPTN dan MW ini benar-benar memberikan keceriaan buat keluarga yang diuji ini kerana Zawawi akui dirinya tak mampu dan tak terfikir untuk membeli belah sebegini kerana semasa dirinya masih sihat, dia akan membeli keperluan raya anak-anak di bazar dengan harga berpatutan. Kerana dirinya tahu, dia tidak mampu berbelanja lebih kerana masalah kewangan dihadapi mereka sekeluarga.
Mungkin kecil bagi mereka yang mampu dari segi kewangan tetapi cukup besar buat keluarga ini yang diuji dengan kesusahan hidup. Apa pun sentiasalah mensyukuri setiap rezeki diperolehi dan berkongsi dengan mereka yang diuji.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI