Setiap pasangan, keluarga mempunyai cara tersendiri untuk bahagia. Ia bukan dengan mempunyai duit berjuta-juta dalam bank, barulah rasa bahagia. Kena ingat, duit yang banyak pun belum tentu menjaminkan kebahagiaan.
Malahan, tidak perlulah kita bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Ioni kerana masing-masing ada cara tersendiri untuk mencari kebahagiaan. Bersyukurlah dengan apa yang telah dianugerahkan olehNya.
Perkongsian daripada Hannah Alias dihara mampu memberi manfaat agar kita dapat membina kebahagiaan yang kita ada ini dengan cara kita sendiri. Tak perlu nak bandingkan atau menyibuk pasal orang lain.
Hidup ini mudah sahaja.
Jangan sibuk dengan kehidupan orang lain. Sibuk nak memberi komen tentang kehidupan orang lain. Mencari ruang untuk mengetahui tentang kehidupan orang lain sehingga timbul fitnah dan ghibah.
Kalau kita nak bergaya tak salah, tapi bergayalah mengikut ukuran baju di badan sendiri. Kalau tiada, jangan dipaksa untuk mengadakan. Berbelanja mengikut kesesuaian sendiri. Jangan menyeksa diri jika hanya mahu dipuji orang. Percayalah, pujian itu tidak membawa kita ke mana pun.
Nikmati hidup yang sementara ini dan jadilah seperti apa yang kita inginkan. Syukuri dan nikmati apa yang kita ada saat ini. Usah rungsing dengan apa yang tiada.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Suami Kena Sensitif Dengan EMOSI Isteri. Dengar Cerita Pun Boleh Buat Isteri Bahagia
Bila Sepakat Terima Kekurangan Masing-Masing Itulah Nikmat Bahagia Sebenar
Info Lebih Menarik DI SINI
Jangan terpengaruh dengan kata-kata manusia lain. Ingat! Kita takkan mampu menutup mulut orang dengan dua tangan kita. Tapi kita ada dua tangan untuk menutup dua telinga kita agar tidak terpengaruh dengan kata-kata mereka.
Hidup ini mudah. Bagaimana mudahnya orang lain untuk berkata apa pun tentang kita. Maka kita juga mudah untuk menolak apa yang dikatanya itu.
Apa sahaja keadaan kita saat ini, kita takkan lepas dari kata-kata orang. Kita baik dikatakan menunjuk, jahat dikatakan zalim. Kita terbiar dikatakan kita bodoh. Semua tidak kena.
Jangan pernah terkesan dengan kata-kata negatif orang terhadap kita. Kita tahu keupayaan kita. Mereka berkata negatif kepada kita kerana mereka sendiri pun tidak pernah berjaya. Jangan terlalu ambil hal dengan kata-kata orang. Kadang mereka hanya punya mulut. Tapi mereka tiada otak. Sebab itu mereka mampu berkata macam-macam kepada orang lain. Seolah dirinya begitu mulia dan sempurna.
Jangan pernah terkesan dengan kata-kata orang. Sebab jika kita baik, tapi dia membenci kita, maka kita tetap terlihat salah di matanya. Jika kita orang yang disayanginya, kita tetap akan disayangi dan dicintai walau apa pun keadaan kita. Bagaimanapun keadaan kita. Mereka tetap terima kita tanpa sebarang syarat.
Siapa pun berhak bercakap tentang kita. Kerana kita bukan sesiapa. Kita juga berhak untuk menerima atau menolak apa yang kita dengar. Jadinya, diri kita tanggungjawab kita. Jangan kita musnahkan diri kita hanya kerana kata-kata orang. Kerana yang Allah pandang itu adalah apa yang kita lakukan. Bukan apa yang mereka katakan.
Soal mereka berkata buruk tentang kita, fitnah kita, itu urusan mereka dengan Allah. Sekarang diri kita. Kita kena jaga diri kita. Agar nanti Allah tanya semua yang kita lakukan. Sama juga halnya kita dan suami. Suami nak buat apa pun kepada kita, itu hal dia. Hal kita ialah bagaimana kita respon terhadap dia.
Allah tak tanya kita apa yang suami buat kepada kita. Tapi yang Allah tanya apa yang kita dah buat kepada suami. Segalanya Allah tanya perbuatan kita. Takkan depan Allah kita nak beralasan suami jahat? Rasanya Allah terima ke alasan itu?
Ingat kita ni, direndahkan tak mungkin jadi sampah. Disanjung pula tak mungkin jadi bulan. Kerana apa? Kerana kita adalah sebaik-baik ciptaan yang Allah ciptakan. Cumanya kita sahaja yang memusnahkan diri sendiri dengan mengizinkan diri untuk terkesan dengan tindakan dan kata-kata orang.
Sebab setiap orang menerima kita dengan pemahaman dan kepentingan yang berbeza. Tidak sama. Jangan menghabiskan usia kita untuk jadi seperti yang orang nak. Sebaliknya jadilah diri sendiri. Diri yang fitrah sentiasa inginkan kebenaran dan kembali hidup bertuhan dengan cinta ilahi.
Hidup kita terlalu berharga untuk hanya sekadar mendengar kata-kata orang. Nikmati dan syukuri apa yang Allah berikan saat ini. Usah sibuk mencari apa yang tiada. Tidak bahagia dengan pasangan, namun kita masih mampu cipta kebahagiaan itu dengan tuhan.
Kalau tidak suka, jangan dilihat dan dicari.
Apabila kita tidak tahu, diam.
Kalau tidak pernah peduli, jangan sesekali kita menghakimi.
Apabila kita tidak mampu memiliki, jangan kita membenci.
Percayalah pada kata hati mu. Bukan pada kata orang lain. Lakukan apa yang kamu rasa benar. Bukan kerana orang lain benar. Jadilah apa adanya kamu, kerana lebih baik dibenci sebab menjadi diri sendiri dari selalu dipuji, tapi diri sendiri menderita kerana terpaksa menjadi orang lain.
MW: Moga apa yang diperkatakan itu memberi manfaat. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.
Sumber: Hannan Alias