Sudah ajalnya, kanak-kanak tadika maut selepas dadanya tertusuk serpihan batu pengasah mesin rumput yang sedang diasah oleh bapanya, di Kubang Rotan.
Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang apabila bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Murad, 40-an berada di luar rumah bagi mengasah mata pisau mesin rumputnya di kediamannya di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan.
Murad berkata, namun ketika dia sedang mengasah, batu pengasah itu pecah dan serpihannya terpelanting sebelum terkena anak bongsunya, Nur Aliya Syifa yang berusia 5 tahun.
“Anak saya berada dalam rumah dan tak perasan bila arwah keluar daripada rumah. Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan saya sendiri tidak menyangka arwah terkena serpihan batu pengasah mesin rumput itu.
“Mulanya ia terkena pada kereta dahulu sebelum tertusuk ke dada kiri arwah,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan, di sini.
Murad berkata, selepas kejadian itu, dia terus membawa anaknya yang berlumuran darah dan lemah ke Klinik 1Malaysia sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Ads
Namun sudahnya ajalnya, anaknya itu meninggal dunia di HSB.
Murad berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu seorang periang dan belajar di Tadika Kampung Batin, dekat sini.
“Jenazah anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Besar, jam 11 pagi tadi,” katanya yang masih trauma dan enggan ditemubual lebih lanjut.
Difahamkan, Murad dan isterinya turut pengsan kerana kesedihan akibat kehilangan anak bongsu mereka yang memiliki dua abang berusia 18 dan 12 tahun.
Ads
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Mata Pengasah Mesin Rumput Terpelanting
Kejadian itu berlaku apabila bapa mangsa sedang mengasah mata pisau mesin rumput sebelum tiba-tiba batu pengasah itu pecah dan terpelanting sehingga terkena pada mangsa.
“Ketika kejadian jarak mangsa dengan bapanya kira-kira lima meter dan bapanya terus membawanya ke klinik sebelum ke HSB.
Ads
“Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB akibat parah selepas terkena serpihan batu pengasah itu,” katanya.
Salam takziah diucapkan kepada keluarga arwah.
انا لله وانا اليه راجعون اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه “Innalillahiwainna ilaihirojiuun Allahumarfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu”
Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga dia di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Ajal, maut, jodoh semuanya adalah ketentuan daripadaNya. Tak kiralah apa juga peringkat usia baik muda atau tua, ia bukanlah penghalang seseorang bertemu jodoh dan disatukan bersama insan tersayang. Usia yang sudah menjangkau 80-an tidak menjadi penghalang kepada Hussain Abdul Rahman, 84, untuk sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan hatinya, Kamsiah Adam, 66. Kedua-dua mempelai yang juga pelajar Pusat Pendidikan Al Barakah di sini itu selamat dinikahkan di surau di pusat berkenaan semalam.
Sekali Lafaz
Hussain ketika ditemubual berkata, dia baharu sahaja mengikuti pengajian di pusat pendidikan itu tiga bulan lalu dan bertuah dapat dipertemukan pasangan hidupnya itu.
“Saya berterima kasih dengan cadangan yang dimulakan oleh Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang melihat saya keseorangan, jadi dia mencarikan jodoh.
“Perkahwinan ini kerana mahu menambah ibadah dan diharap dengan doa semua, kami akan lebih aman dan tenang untuk beribadah di sini (Pusat Pendidikan Al Barakah),” katanya yang sah menjadi suami Kamsiah dengan hanya sekali lafaz.
Hussain yang berasal daripada Pontian, Johor berkata, perkahwinan itu adalah kali ketiga dan kini mempunyai tujuh orang anak, 17 cucu dan seorang cicit.
Katanya, dia pernah belajar di Makkah selama lapan tahun dan menjadi Penyelia Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor serta berpengalaman menjadi imam di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selama 12 tahun.
“Mudah-mudahan saya dipanjangkan umur, dapat mencari ketenangan dalam beribadah dan dapat mengikuti lebih banyak ilmu pengajian berkaitan agama yang ada di sini,” katanya.
Niat Untuk Menjaga Suami
Pasangannya, Kamsiah pula berkata, tempoh perkenalannya tidak lama dan menerima pasangannya itu kerana Allah kerana melihat Hussain mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Saya pernah belajar berkenaan Fisioterapi di Australia, saya jadi tergerak hati untuk menerima apabila melihat keadaan dia yang sakit lutut, saya berniat mahu menjaganya,” katanya yang mempunyai tiga anak dan empat cucu.
Berasal daripada Taiping, dekat sini, Kamsiah sebelum ini menetap di Kuala Lumpur namun kini sudah menjadi penghuni Pusat Pendidikan Al Barakah sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ustaz Kazim berkata, perkahwinan itu adalah yang keenam membabitkan pelajar dan penghuni di institusi berkenaan.
“Alhamdulillah hari ini kita dapat satukan mereka berdua, saya bersyukur Al Barakah bukan setakat tempat pengajian tetapi juga tempat menjalinkan hubungan silaturahim.
“Perkahwinan ini mencatat rekod di sini, kerana Hussain adalah pelajar yang paling ‘senior’ di Al Barakah,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat pasangan warga emas ini. Semoga saling menjaga diantara satu sama lain, serta saling mempertingkatkan amal ibadah bersama-sama.
Sumber: Bharian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kes pembuangan bayi makin berat. Sama ada bayi itu dikandung akibat sumbang mahram, rogol mahupun suka sama suka, anda yang tersilap langkah tidak ada hak membuang bayi itu. Berikan mereka peluang hidup dan membesar dengan keluarga angkat yang lebih baik.
Tak perlu letak bayi yang tak bersalah di tong sampah, surau, longkang mahupun semak belukar. Baby Hatch adalah tempat perlindungan bayi sebegini. Ada 12 cawangan di Malaysia. Moga perkongsian Cik Puan Reyna Ibrahim menerusi Move On Reyna Ibrahimini membuka mata ramai pihak.
“Puan boleh tolong saya? Saya nak bagi bayi saya pada orang. Saya tak nak jaga.”
Lama saya duduk memikir.
Hati cuba saya halangi dari terus membuat tuduhan atau kesimpulan. Siapa saya untuk menuduh si ibu itu bukan – bukan. Dia pasti punya kisah dan ceritanya yang langsung tidak layak untuk saya hakimi.
Saya fokus pada bantuan yang di minta. Lantas terkenang kembali lawatan saya ke Pusat Perlindungan Yayasan OrphanCare yang terletak di Kampung Tunku Petaling Jaya.
Ya….Baby Hatch kan ada?
Baby Hatch adalah tempat perlindungan bayi yang tidak begitu diketahui semua. Baby Hatch yang pertama adalah di Kampung Bukit Tunku Petaling Jaya.
Saya ke sana lebih kurang 2 tahun lepas. Hanya kerana desakan ingin tahu memandangkan ada yang memaklumkan pada saya tidak begitu ramai bayi dihantar ke sana berbanding bayi yang dibuang ibunya merata- rata.
kenapa begitu….
Maka saya ingin tahu?
Apakah di sana ada kamera litar tertutup yang akan mengenalpasti wajah ibu yang meninggalkan anaknya? Maka saya ke sana sekadar untuk melihat sendiri. Umum pasti tidak begitu mengetahui….
Di Malaysia sekarang ada 12 Baby Hatch yang sedang beroperasi selepas Baby Hatch yang pertama dirasmikan pada tahun 2010.
Ia umpama sebuah peti yang ruangnya amat selesa untuk memuatkan seorang bayi. Ada tilam bersih sebagai pengalas.
Ia mempunyai penggera yang akan berbunyi apabila.ada seorang bayi diletakkan. Serentak.dengan itu juga aircon dan lampu akan terpasang.
Penggera akan berbunyi bagi memaklumkan pada petugas bahawa ada bayi telah ditinggalkan di dalamnya. Kemudian petugas akan bergegas menguruskan bayi tersebut.
Di situ juga tiada sebarang kamera yang dipasang dan hal.ini tidak perlu dibimbangkan oleh para ibu yang ingin meninggalkan bayinya.
Saya kira….
Ini tempat paling selamat bagi mereka yang terdetik hatinya untuk membuang bayi. Jangan dibuang….
Serahkan pada tempat yang sepatutnya kerana pihak Yayasan OrphanCare ini juga akan menguruskan urusan pengambilan anak angkat bayi bayi ini.
Kita mungkin boleh membantu menyebarkan info tentang Baby Hatch ini dalam usaha mengurangi masalah pembuangan bayi .
Ini bukan satu sokongan kepada ibu yang tidak ingin menjaga anaknya. Ini hanya satu usaha membela anak anak yang dibuang di tempat yang tidak sepatutnya.
Jangan kita persoalkan tindakan seorang ibu kerana Allah lebih tahu. Seharusnya kita mengalihkan fokus untuk membantu bagaimana seorang anak itu harus mendapat hak yang sepatutnya selepas dilahirkan ke dunia.
5 tahun makan katak hidup untuk hilangakan rasa kebas dan bisa pada kaki.Wow! hebat betul cara rawatan yang wanita ini amalkan. Sebenarnya, jika alami sebarang masalah kesihatan, tidak perlu mencuba kaedah rawatan yang pelik-pelik. Bersegeralah berjumpa dengan doktor yang bertauliah untuk melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sebaiknya.
Kejadian yang berlaku di Beijing China ini,seorang wanita yang hanya mengikut nasihat tabib tempatan yang mencadangkannya agar makan katak hidup dipercayai bagi memulihkan sakit kakinya, terkejut apabila mendapati cacing pita sepanjang 13 sentimeter bersarang dalam payudaranya.
Menurut laporan media China, wanita dari Jiaqing, wilayah Zhejiang, dikenali sebagai Yao, 59, dinasihatkan makan katak hidup oleh tabib pada 2013 bagi memulihkan kebas dan rasa berbisa pada sendi serta kakinya.
Menurut South China Morning Post, selepas mengikuti nasihat berkenaan selama 5 tahun, derita wanita itu semakin teruk kerana berasa sakit di bahagian lain, termasuk lenguh di perut, payudara serta mata.
Baru-baru ini, wanita itu mendapatkan pemeriksaan di hospital selepas ada benjolan pada payu dara kanannya.
Temui Cacing Pita 13 Sentimeter
Portal Kankanews.com melaporkan, doktor memutuskan membedah benjolan pada payudara wanita itu dan mereka menemui cacing pita di dalamnya.
Parasit berukuran 13 sentimeter (5 inci) itu daripada spesies yang lazimnya ditemui dalam usus kucing serta anjing, namun amat jarang dijumpai pada manusia.
Doktor menjangka ia masuk ke dalam tubuh wanita itu melalui daging katak yang mengandungi telur cacing berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Macam-macam hal.Jika alami masalah kesihatan, mohon lakukan pemeriksaan dengan doktor yang bertauliah iya. Janganlah mencuba rawatan yang pelik-pelik, sehingga boleh mengakibatkan masalah lain pula.