Seorang anak tidak akan dapat memahami betapa kasihnya mak ayah pada anak sendiri, sehinggalah dia sendiri nanti bergelar seorang mak mahupun ayah.
Sebak membaca perkongsian yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini. Perkongsian pengalaman kisah benar, betapa mendalamnya kasih sayang ayah dan inginkan segala yang terbaik buat anak, namun tidak dihargai dan dianggap ‘penyibuk’ pula bagi si anak.
Semoga perkongsian ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita.
Ibubapa ni kadang-kadang, sanggup buat apa sahaja untuk kita. Benda-benda yang kita rasa tak perlu pun mereka akan buat jika mereka rasa benda tu baik untuk kita.
Seorang lelaki berumur sekitar 50-an datang ke klinik dengan fail tebal. Saya sangka itu dokumen masalah kesihatan dia.
“Doktor, saya sebenarnya datang ni bukan sebab saya sakit” katanya.
Dia datang mohon kerja untuk anak dja. Anak dia tu ada diploma, dah 10 bulan graduasi, masih tak dapat kerja.
“Anak saya ni doktor, dia pemalu, tapi dia rajin dan buat kerja bagus. Dekat sekolah dulu, dia pelajar cemerlang. Ni sijil dia. Di kolej pun keputusan periksa dia cemerlang. Doktor, boleh tengok” katanya sambil hulur sijil-sijil anak dia.
Sambil dan belek. Resume tulisan tangan. Tulisan dia kemas betul. Ayatnya teratur, dan sopan. Semua dokumen lengkap. Ada surat sokongan ketua kampung.
Aku pasti itu bukan tulisan anak dia. Sama ada tulisan pakcik ni, atau isteri dia. Saya pasti kerana ejaannya gunakan ejaan orang lama.
“Doktor, ambil lah dia bekerja, ya.”
Aku ni dah lah cepat sebak kalau orang tua merayu macam ni. Terbayang pula si emak tulis resume tu dengan cermat. Aduh sedih pula. Rasa macam berair pula mata.
“Macam ni pakcik. Minta anak pakcik sendiri datang jumpa saya. Saya kena interview dia. Boleh tak dia datang Jumaat ni?” kata aku.
“Kejap ya, saya telefon anak saya sekejap” balasnya.
Dia pun terus masa tu juga telefon. Memandang tak ada pesakit lain sedang menunggu, jadi saya pun tunggu sahajalah di telefon.
“Ayah ni! Tak payahlah malukan kita macam ni. Mana ada orang minta Ayah tolong carikan kerja!”
Itu apa yang aku dengar anak dia cakap. Pakcik ni diam sahaja dengar. Aku yang memang dah sedih ni, bila dengar macam tu, jadi pilu pula. Rasa macam tersiat hati.
“Anak saya tak pasti lagi boleh datang Jumaat ni atau tak” kata pakcik tu sebaik sahaja menamatkan panggilan.
“Tak apa. Nanti suruh anak telefon klinik untuk bincang tarikh interview” kata aku. Lepas tu pakcik tu pun minta diri.
Pada tarikh temuduga tu, sampai pukul 8 malam, tak muncul pun calon tadi. Jadi aku anggap tak jadilah calon tu nak datang. Lepas tengok pesakit terakhir, aku suruh tutup klinik, tiba-tiba pembantu klinik kata ada orang tengah tunggu nak jumpa saya.
Rupa-rupanya pakcik tadi dengan anaknya yang nak mohon kerja tu. Kalau ikutkan, malas nak buat temuduga waktu begini, tapi sebab fikirkan pakcik tu, aku teruskan juga.
Aku pun temudugalah budak tu. Tanya satu soalan, dia jawab sepatah dua. Tanya visi dia, dia jawab jawapan terlalu generik. Bila tanya jumlah gaji yang dia harapkan, dia sebut satu jumlah yang saya tak mampu bayar.
“Beginilah, saya cuma mampu beri awak gaji sebanyak RMX,XXX” kata aku.
Dia tak kata apa-apa. Jadi, saya tamatkan lah sesi temuduga tu. Dah selesai, saya pun bersiap-siap nak balik.
Masa keluar klinik, saya dengar budak tadi tengah marah ayah dia.
“Sebab tu orang kata, tak payahlah sibuk nak carikan kerja untuk orang! Gaji dia nak bagi ciput gila! Macam mana nak bayar PTPTN orang kalau banyak tu je! Lain kali tanyalah dulu gaji berapa!”
Aku masuk balik dalam klinik. Sebab tak mahu teruskan dengar apa yang hendak dikata oleh budak tu. Terlalu pedih buat saya untuk lihat dan dengar.
Lepas budak tu dengan ayah dia beredar naik motor. Barulah aku keluar dari klinik. Hiba pula lihat mereka.
Apa yang lebih hiba, esoknya si ayah telefon klinik dan meminta maaf sebab anaknya cakap saya tawarkan gaji rendah. Rupanya si ayah perasan saya terdengar perbualan mereka sewaktu di luar klinik.
Berulang-ulang kali dia minta maaf.
Begitulah ibubapa kita. Sentiasa cuba untuk lakukan apa yang terbaik untuk kita. Sentiasa cuba menimbus aib kita yang kita sendiri buka. Sentiasa menutup mata atas kesalahan kita pada mereka.
Hargai lah usaha mereka, sayangilah mereka.
Kamarul Ariffin Nor Sadan
Anak
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat yang bergelar anak,hargailah usaha dan pengorbanan mak ayah,sayangilah mereka jangan bila mereka telah tiada barulah penyesalan tidak bertepi.
Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan