Tak Payah Bertahan Demi Anak Kalau Suami Kaki Dadah, Minta Cerai Lagi Bagus!

Share

“Suami mula menagih ketika anak tiga. Dia kerap minta duit sedangkan saya tak bekerja. Kalau tak bagi, dia mula marah-marah. Dari marah, tangan dan kakinya naik ke seluruh tubuh saya.

“Mata saya lebam bila suami tumbuk dengan kuat dan bertalu-talu. Tulang belakang saya hampir lari bila suami terajang dari belakang. Rambut saya ditarik sampai nak tercabut dari tengkorak kepala. Bibir ini pecah kerana dia hentakkan muka saya ke dinding. Azabnya hanya Allah yang tahu. Tapi saya bertahan kerana anak-anak. Saya anak mangsa keluarga yang bercerai berai dan saya faham bagaimana rasanya bila anak-anak kurang kasih sayang. Sebab itulah saya rela tubuh badan saya dipukul, disiat, dibuat apa pun demi anak-anak,” kata Mas  berkongsi cerita.a

Jiran Hanya Tengok Saja Saya Dibelasah

Mas, ibu kepada lima anak berkahwin pada usia sangat muda, 19 tahun. Ketika anak tiga, suaminya mula menagih sedangkan sebelum itu suaminya bukanlah kaki rokok pun. “Saya perasan badannya mulai kurus. Dia juga kerap minta duit sedangkan saya bukan ada duit. Bila tak bagi, dia mula pukul-pukul sampai lebam-lebam. Dalam seminggu, tiga empat kali saya kena pukul. Sakitnya hanya Allah yang tahu.

“Pergaduhan biasa dalam rumahtangga kami sebab suami jadi baran kalau tak dapat dadah jenis morfin ditagihnya. Kalau rasa nak tumbuk atau terajang saya, depan orang ramai pun dia buat. Pernah saya hampir separuh mati kena pukul tapi jiran-jiran hanya tengok saja. Sebabnya mereka fikir tu hal rumah tangga orang lain dan tak perlu masuk campur sedangkan saya sudah teruk dibelasah,” katanya mengakui suaminya membelanjakan seratus ringgit sehari untuk membeli dadah dan dia sendiri tak ingat berapa banyak duit dibuang dengan sia-sia.

Suami Kena  HIV

Kisah rumah tangga Mas tidak terhenti begitu saja. Anak-anak pernah setahun dua kali bertukar sekolah. Setiap kali mereka dihalau keluar dari rumah sewa kerana suami tak mampu bayar duit sewa, mereka sekeluarga akan berpindah randah.

Wartawan: Pernah tak minta cerai dari suami?

“Saya tak pernah minta sebab saya sayangkan anak-anak. Saya tak mahu anak tak ada ayah. Saya tahu seksanya perasaan tu sebab mak ayah saya dulu pernah bercerai. Saya bertahan kerana anak.”

Wartawan: Pernah buat sesuatu yang gila?

“Memang pernah sebab saya tertekan bila selalu kena pukul. Hati dan perasaan saya merana tapi demi anak, saya bertahan juga. Tapi saya pernah telan sepapan Panadol. Satu orang Cina siap tegur saya, lu mau matikah? Saya telan sebab saya nak tidur, saya tak fikir masalah ketika tu, tapi saya silap kerana saya rebah di tepi jalan dan orang hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Nasib saya kerana orang jumpa dengan cepat.”

Wartawan: Apa yang buat Mas nak berubah?

“Seorang kawan tegur saya. Katanya kau tak sayang diri sendiri ke sebab masa tu suami dah dijangkiti HIV. HIV penyakit yang tiada ubat dan kenapa nak seksa diri sendiri. Kata-katanya buat saya sedar, saya minta cerai tapi memang seksa nak lepas sebab suami asyik keluar masuk pusat dan penjara. Nak minta cerai bukan mudah sebab dia tak nak lepaskan, siap kena pukul bantai lagi. Sampailah saya report kes ini ke balai polis dan saya tak sangka hidup saya dipermudahkan.”

Wartawan: Cuba cerita lebih jelas, mungkin ada pembaca lain yang senasib Puan.

“Ok, masa saya buat report, anggota polis yang tolong ambil report tu lelaki bujang lagi. Dari memberikan pertolongan, selesaikan kes dan saya tak sangka, Allah dah tulis itu jodoh saya. Alhamdulillah, Allah bayar semua kesakitan saya itu dengan kebahagiaan. Bekas suami sudah meninggal akibat HIV. Syukur, saya bahagia dan sudah ada anak baru dengan suami. Allah balas kesabaran saya dengan kebahagiaan hari ini.”

Wartawan: Apa nasihat Puan untuk wanita yang alami hal sama?

“Kalau suami penagih, jalan paling baik ialah minta cerai. Bukan saya nak galakkan perceraian kerana bergegar tiang Arasy tapi saya pernah laluinya. Hidup memang tersesak, suami memang tak akan berubah kerana otaknya sudah rosak dengan dadah. Saya pernah cuba bertahan kerana anak dan kerana saya takut dengan gelaran janda tapi kata-kata kawan-kawan, dorongan keluarga, kesedaran diri sendiri membuatkan saya kembali ke asalnya. Saya mula sayang diri saya macam mana saya sayangkan anak-anak.”

Sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2017 dengan tema  Pencegahan Dadah Bermula dari Rumah yang disambut 19 Februari ini, diharap kisah ini dapat dijadikan iktibar. Terlalu banyak keburukan tentang najis dadah. Rumah tangga juga boleh musnah. Akal boleh rosak dan akhirnya rumah tangga juga jadi binasa.

 

Published by
almaswa Haji Che Ros