“Tak Nak Minum Air Kosong Ini. Tak Sedap, Rasa Manis…”

Share

Ini kisah air kosong, tetapi minum di luar bukan di rumah. Nak dijadikan cerita minggu lepas saya pergi ke Padang Besar, Perlis. Sebenarnya saya tidak merancang untuk ke sana. Kebetulan selepas balik dari menghadiri majlis pertunangan adik bongsu di Jitra, Kedah, kami terus ke sana kerana sepupu ingin ke Padang Besar.

Apa yang saya hendak cerita ini sebenarnya bukan bertujuan untuk mengaibkan tetapi sekadar untuk mengingatkan.

Siapa yang pernah pergi ke Padang Besar sudah pasti akan tahu suasana di kawasan arked membeli-belah di sana. Ini kali pertama saya ke sana. Apa yang saya lihat adalah seperti apa yang saya jangkakan.

Banyak pilihan kedai boleh dituju untuk membeli-belah. Banyak juga kedai-kedai makan. Apa yang saya hendak ceritakan di sini adalah mengenai pengalaman saya makan di salah sebuah kedai makan di situ.

Kami tiba pada waktu petang. Disebabkan kami ramai, sudah pastilah susah mencari meja makan yang boleh menempatkan kami yang ramai. Saya cuba mencari meja-meja kosong dari satu kedai makan ke satu kedai makan.

Akhirnya setelah berlegar-legar di hadapan deretan kedai makan, saya dapat lihat ada meja kosong. Pada waktu itu dalam hati tidak terfikir soal apa kedai itu jual. Asalkan dapat duduk dan berlindung dari panas matahari, sudah cukup.

Berkaitan soal makan, saya bukannya jenis memilih. Apa sahaja yang halal dan boleh masuk ke dalam tekak, saya boleh terima.

Cuma apa yang saya hendak cerita adalah mengenai kebersihan. Saya tidak kisah makan di gerai asalkan bersih. Berbalik kepada kedai makan yang saya pilih, dari segi luaran kedai itu tidaklah kotor dan tidaklah bersih. Sederhana sahaja.

Jika ikutkan hati memang tidak mahu masuk. Tetapi sebab tidak ada pilihan dan dalam rombongan kami ini ada bayi dan kanak-kanak kecil, terpaksalah mencari tempat untuk mereka berlindung sambil minum.

Selepas pesan makanan, kami menunggu makanan disiapkan. Ketika menunggu makanan itu disiapkan saya terlihat pelayan yang mengambil pesanan makanan kami itu menghisap rokok. Sambil hisap rokok dia mengambil pesanan makanan.Terdengar bisik ayah dan emak di sebelah mengenai pelayan yang menghisap rokok itu.

Jika ikut hati hendak sahaja keluar. Tetapi kami bersangka baik. Mungkin pelayan itu sahaja yang menghisap rokok. Tukang masaknya tidak.

Selepas itu, air tiba. Kami pun mula minum air. Sedang saya minum air, tiba-tiba emak yang berada di sebelah menunjuk kepada saya. Saya lihat apa yang ditunjuk oleh emak. Rupa-rupanya emak melihat cara wanita yang menjual air di hadapan kedai makan itu sedang membasuh cawan.

Saya tanya pada emak, apa yang hendak dilihat. Emak kata wanita itu basuh semula cawan recycled yang sepatutnya dibuang. Bagi pembeli yang membeli, cawan itu boleh dibawa pulang. Saya tidak sangka cawan yang sama yang telah digunakan oleh pembeli yang makan di kedai makan itu akan diguna sama dan diberi pada orang lain.

Cara wanita itu basuh cawan pula saya anggap kurang bersih kerana dia hanya celup-celup sahaja ke dalam air. Sewaktu emak saya basuh tangan di sinki sama wanita itu membasuh cawan itu, emak lihat hanya ada sedikit sahaja sabun. Rupa-rupanya sabun itu digunakan untuk basuh cawan dan juga basuh tangan.

Selain cawan recycled yang diguna semula, rupa-rupanya straw minuman juga telah diguna semula. Rasa loya tekak apabila mendengar kata adik ipar yang kebetulan duduk berdekatan dengan tempat wanita itu membasuh cawan dan straw.Kata adik ipar lagi, straw yang telah dibasuh itu dihantar semula ke bahagian dapur kedai.

Saya tidak mahu menuduh tetapi jika tidak digunakan semula, buat apa straw itu dicelup dalam air dan diletak dalam bekas dan dihantar semula ke dalam dapur kedai? Daripada pengalaman saya, biasanya straw tidak akan dibasuh jika tuan kedai tidak mahu menggunakannya semula.

Nasib baik saya dengar cerita daripada adik ipar saya hanya selepas kami sampai di rumah. Kalaulah saya tahu ketika saya minum sudah pasti akan keluar balik apa yang sedang diminum.

Mendengarkan cerita adik ipar itu juga membuatkan saya teringat apa yang keluar daripada mulut anak buah. Anak buah saya ini memang tidak minum air bergula. Tekak dia hanya boleh terima air kosong.

Patutlah semasa berada di kedai makan itu dia tidak mahu minum air kosong. Dia kata air kosong itu rasa manis. Tidak sedap.

Pada pandangan anda semua kenapa dia kata air kosong itu manis dan tidak sedap. Dalam fikiran saya hanya ada dua tekaan.

Tekaan pertama, gelas yang digunakan untuk mengisi air kosong itu tidak dibasuh sebersih-bersihnya sehingga boleh rasa air gula minuman sebelum ini.

Tekaan kedua, mungkin straw yang digunakan itu masih ada sisa-sisa air gula di dalamnya.

Mungkin ada yang loya tekak apabila membaca ini kan? Pada saya rasa loya itu sudah hilang. Yang ada hanya rasa kecewa.

Saya rasa kisah kami ini bukan hanya pernah dialami oleh kami sekeluarga. Mungkin ada pembaca di luar sana yang turut mengalami yang sama.

Kesimpulannya, selepas ini jika saya mahu masuk ke kedai makan di kawasan sibuk seperti di Padang Besar ini, saya akan lihat dengan lebih teliti terlebih dahulu.

Mungkin hanya kedai yang saya pergi itu sahaja yang melakukan perkara ini. Mungkin kedai makan lain tidak buat perkara sama. Tetapi selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

Pesan saya kepada pemilik kedai makan di kawasan tumpuan pelancong sebegini janganlah ambil mudah soal kebersihan. Anda mungkin tidak sedar ada mata yang memandang tanpa sengaja.

Sekali terkena sudah pasti tidak akan mahu terkena buat kali kedua. Fikir-fikirkanlah kesannya pada perniagaan anda dan kesihatan orang ramai.

 

Published by
Julie Roshana