Tak Mudah Nak Jadi Backpackers…

Share

Bulan Disember ini sudah pasti ramai yang ambil keputusan bercuti panjang dan ada sesetengah orang pilih nak jadi backpacker. Jadi tak hairanlah jika ramai yang ambil masa hujung tahun ini untuk melancong ke dalam mahu pun luar negara.

Saya pun suka bercuti di luar negara. Jika ada rezeki, masa dan wang, saya akan ikut pergi bercuti.

Bercerita mengenai cuti ini, saya terpanggil untuk bercerita mengenai cara sesetengah orang yang suka bercuti ala backpackers.

Ramai yang teruja untuk jadi backpackers bila dapat tahu cara itu murah.

Kita hanya lihat keseronokan mereka. Tetapi adakah kita tahu apa kesukaran dan dugaan yang perlu mereka hadapi sepanjang percutian itu?

Ramai orang akan cerita mengenai keseronokan mereka. Tetapi pernahkah anda fikir berapa ramai yang sudi bercerita mengenai kegagalan mereka?

Sebelum anda ambil keputusan jadi pengikut backpackers ini anda perlu fikir banyak perkara.

Sebenarnya apa tujuan kita bercuti?

Pada pendapat saya bercuti adalah masa untuk kita berehat. Apabila kita ambil keputusan melancong ke negara luar, apa yang kita mahu?

Sudah pastilah kita mahu menikmati keindahan alam dan melihat budaya sesebuah negara tersebut.

Tapi saya rasa ramai yang tidak mampu bercuti ke luar negara. Dan apabila melihat backpackers bercuti di luar negara dengan kos murah, ramai yang cemburu.

Dalam hati mulalah nak cuti cara backpackers.

Jangan jadi Pak Pandir yang hanya ikut sahaja…

Orang buat kita buat. Tapi orang buat cara betul. Kita buat cara yang kita sendiri pun tak faham.

Saya ‘salute’ para backpackers. Saya kagum dengan semangat mereka. Saya kagum dengan keberanian mereka.

Anda juga perlu ada sikap begitu jika mahu jadi backpackers.

Jika anda hendak jadi backpackers perlu fikir beberapa perkara penting.

Saya bukannya pakar. Tetapi daripada pembacaan dan pengamatan saya ramai yang tersalah faham. Bila orang lain pergi cuti ala backpackers, anda juga mahu cuba.

Cuti backpackers ini bukan sekadar bawa beg galas besar di belakang. Banyak perkara perlu difikirkan.

Kenapa anda mahu cuti ala backpackers? Adakah anda tahu apa maksud backpackers?

Anda sanggupkah mengangkat beg berat ke hulu hilir sebab kebanyakan backpackers menaiki pengangkutan awam.

Anda sanggupkah berjalan naik turun pengangkutan awam kerana kebanyakan backpackers pilih cara itu sebab murah.

Fikirkan beberapa sebab itu sahaja terlebih dahulu kerana itu adalah ‘beban’ kecil. Masih banyak yang perlu difikirkan lagi.

Bagaimana dengan tempat tidur dan tempat makan? Kalau tiba-tiba berlaku perkara yang tidak diduga seperti kemalangan dan sebagainya, siapa yang perlu dihubungi.

Bagaimana pula dengan keselamatan diri? Anda pastikah tempat yang dilawati itu selamat?

Daripada sedikit pengalaman dan juga pembacaan kisah para backpackers, saya dapati sebelum mereka ini berjaya ‘claimed’ cuti mereka berjaya, banyak persediaan yang perlu dilakukan.

Malah boleh kata, hati tidak akan senang selagi itenari itu tidak disemak sebaik mungkin.

Kalau anda jenis yang berdisiplin dan tabah menghadapi sebarang dugaan yang tiba-tiba berlaku, bolehlah mencuba jadi backpackers.

Tetapi jika anda jenis yang lepas tangan, banyak komen, tidak sabar, panas baran dan banyak lagi sikap negatif, apa yang boleh saya cadangkan adalah pergi bercuti ikut agensi pelancongan berdaftar.

Walau apa pilihan anda, saya ucapkan selamat bercuti.

Published by
Julie Roshana