Telah sampai ajalnya. Seorang remaja yang berjaya selamatkan dua rakannya akhirnya lemas selepas rakannya dapat dibawa ke tebing.
Mulianya pengorbanan remaja ini, dia pergi buat selamanya selepas menggadaikan nyawanya untuk orang lain.
Ketika kejadian menurut saksi kejadian, mangsa tak menjerit meminta tolong, hanya tangan saja kelihatan melambai-lambai sebelum dia tenggelam. Setelah selamatkan rakan, semoga syurga jadi balasan.
“Mudin (mangsa) tak menjerit minta tolong, tapi kami nampak tangannya melambai-lambai sebelum perlahan-lahan tenggelam dalam sungai,” kata saksi kejadian lemas, Mohd Amirul Adam Mohd Zaid.
Dalam kejadian 5.15 petang hari ini, mangsa, Wan Mohd Azamudin Wan Aznan, 16, ditemukan lemas dalam sungai di Kampung Perupok, Tikat, Kota Bahru, Kelantan ketika cuba menyelamatkan dua remaja lain.
Mohd Amirul Adam, 12, berkata sebelum tragedi itu, dia bersama tiga rakannya bermain bola di padang tidak jauh dari sungai itu sebelum dia tersepak bola ke dalam sungai itu.
Menurutnya, seorang rakannya, Adam turun ke dalam sungai untuk mengambil bola, namun lemas dan meminta tolong sebelum seorang lagi rakan iaitu Arif cuba menyelamatkannya.
“Arif turut lemas seperti Adam dan apabila melihat keduanya dalam keadaan tercungap-cungap di dalam air, Mudin (mangsa) yang berada tidak jauh dari lokasi segera terjun ke dalam sungai.
“Mudin berjaya menyelamatkan dua rakan saya dengan memikul keduanya di belakang, namun sebaik hampir ke tebing, dia (mangsa) kelihatan tidak berdaya sebelum lemas.
“Dua rakan diselamatkan penduduk kampung, namun Mudin yang masih dalam sungai kelihatan melambai-lambai tangan dan semakin lama semakin tenggelam,”
katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.Baca Juga Di sini:
Lelaki Dijadual Bernikah Hari Ini, Dikhuatiri Lemas Mandi Pantai
Tinggalkan Bermain Sekejap, Anak Lemas Dalam Kolam Ketika Ibu Temuduga Kerja
4 Sahabat Ditemui Tidak Sedarkan Diri Dalam Kereta, Dipercayai Lemas Karbon Monoksida!
Jenazah mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai dan ahli keluarga serta rakan tidak dapat menahan tangisan sebaik mangsa dibawa ke darat.
Situasi menjadi semakin sebak apabila bapa mangsa, Wan Aznan Wan Ibrahim, 52, membacakan doa sebaik anak sulungnya itu ditemui.
Selain itu, sahabat karibnya, Wan Mohd Shahiran Wan Mohd Shahriman, 15, beberapa kali dilihat menangis di hujung kaki mangsa yang sudah dibawa ke dalam trak polis.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.23 petang.
Beliau berkata, seramai 19 anggota termasuk lima PPDA daripada BBP Kota Bharu terbabit dalam operasi berkenaan.
“Mangsa ditemui pada 6.38 petang di dasar sungai yang agak berselut pada kedalaman kira-kira 3.3 meter dan jenazah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat,” katanya.
MW: Al-Fatihah. MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Tinggi sungguh budi pekertinya hingga sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Wan Mohd Azamudin Wan Aznan dan menempatkannya di kalangan orang beriman. Amin.
Sumber: myMetro