Perlu tahu selepas berlakunya kematian, antara perkara yang perlu dipercepatkan adalah mengebumikan jenazah. Namun, tragisnya gara-gara tak mampu menyediakan RM500 untuk kos pengebumian, menyebabkan jenazah anak terpaksa disimpan selama tiga hari dalam peti mayat di hospital. Allahu..
“Maafkan ibu, sayang. Kalaulah ibu berduit, mungkin awak boleh dikebumikan dengan cepat.”
Itu luahan Kamaliah Ismail, 21, yang terpaksa menerima hakikat anak dalam kandungan meninggal dunia selepas dia diserang sawan 15 Ogos lalu.
Wanita itu terkilan kerana tidak berkemampuan membayar kos pengebumian berjumlah RM500 sehingga menyebabkan jenazah anaknya diletakkan dalam peti mayat selama tiga hari di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
“Saya tidak menyangka akan diserang sawan beberapa kali pada 15 Ogos lalu sehingga anak dalam kandungan yang berusia enam bulan meninggal dunia dan perlu dibedah segera untuk mengeluarkannya.
“Saya koma selama tiga hari dan tidak dapat menatap wajah anak sehingga dia dikebumikan. Hidup saya gelap apabila ibu mentua memaklumkan perkara itu sebaik sedar.
“Kesedihan saya tidak boleh digambarkan dengan kata-kata kerana saya bukan sahaja tidak berpeluang memeluk anak buat kali pertama dan terakhir, tetapi dia juga terseksa apabila perlu menunggu tiga hari untuk dikebumikan,” katanya di kediamannya di Pandamaran di sini, semalam.
Kamaliah berkata, dia menyalahkan dirinya kerana tidak mampu menyediakan wang pengurusan jenazah bagi anak sulung yang dinantikan itu.
“Semua ini tidak akan berlaku jika saya ada duit. Saya tidak tahu bila saya boleh maafkan diri sendiri dan sehingga kini saya masih termimpi wajah anak yang pergi meninggalkan saya.
“Dalam kejadian ini, tiada pihak yang patut disalahkan melainkan diri sendiri. Maafkan ibu sayang, semua ini salah ibu,” katanya.
Wanita itu berkata, suami, Mohd Samsul Sazmi, 23 dan ibu mentuanya, Noni Mohd Yassin, 42, sudah sedaya upaya mencari wang untuk menyelesaikan urusan pengebumian anaknya namun hanya mampu mengumpul RM250 saja.
Kamaliah berkata, lebih memilukan apabila dia sudah merancang menamakan anaknya Nur Jannah namun tidak kesampaian.
“Namun, tidak sangka pula pihak yang menguruskan pengebumian anak meletakkan nama Nur Jannah pada kuburnya walaupun saya sendiri tidak pernah memaklumkan kepada sesiapa mengenai nama itu,” katanya memaklumkan suami tiada pekerjaan tetap.
Katanya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, pada 18 Ogos lalu hasil bantuan badan bukan kerajaan (NGO), Unit Khas Van Jenazah (UKVJ).
Sementara itu, Noni berkata, dia hanya mampu mengumpul RM250 hasil bantuan orang ramai dan jiran terdekat untuk proses pengebumian cucunya.
“Namun, jumlah itu tidak cukup dan saya perlu memikirkan perbelanjaan Kamaliah selepas keluar hospital termasuk keperluannya untuk berpantang,” katanya yang bekerja sebagai pengasuh di rumah dan menerima bayaran RM500 sebulan.
Katanya, dia sedih tidak dapat memberikan yang terbaik terutama menyediakan wang pengebumian arwah cucu pertamanya.
“Nenek apakah jika saya tidak dapat cari wang untuk pengebumian cucu sendiri. Setiap hari saya terbayang wajah cucu kerana dia terpaksa berada dalam peti mayat di hospital,”
katanya.Setiausaha Agung UKVJ, Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman, 38, berkata, dia menerima panggilan daripada ahlinya memaklumkan perkara berkenaan 18 Ogos lalu sebelum menghantar pasukan ke hospital.
“Selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu, kita terus gerakkan unit untuk menguruskan jenazah dengan segera.
“Tidak sepatutnya perkara ini berlaku hanya kerana keluarga tidak mampu kerana yang meninggal dunia perlu diuruskan cepat,” katanya.
Beliau memaklumkan, pihaknya menanggung semua perbelanjaan pengebumian bayi itu.
MW: Semoga dipermudahkan segala urusan buat keluarga ini. Terima kasih kepada pihak NGO yang bertanggungjawab membantu pengurusan jenazah bayi tersebut.
Sumber: Hmetro