Bukan mudah bagi seorang wanita bergelar isteri untuk berkongsi kasih suami. Dalam erti kata lain meneruskan kehidupan berpoligami bersama dengan wanita lain.Namun, atas rasa tanggungjawab tak mahu suami terabai, seorang isteri sanggup berusaha mencarikan jodoh, menyunting wanita lain buat suaminya, malah tinggal sebumbung. Memang satu dalam sejuta.

Perkenalannya bermula melalui laman sosial namun dengan izin Allah SWT membuatkan hati seorang isteri terbuka untuk melamar kenalan terbabit yang juga ibu tunggal menjadi madunya.

Khuzatul Atiqah Abu Seman, 31, memilih untuk melamar Nur Fathonah Abdul Rahim, 30, sebagai isteri kedua suaminya, Samuel Dzul, 29, sebelum pasangan terbabit selamat diijab kabul, baru-baru ini.

Tak Mahu Kehidupan Suami Terabai

Ia bukan sesuatu yang mudah namun bagi Khuzatul Atiqah yang sarat mengandung anak sulungnya kerana dia mahukan kehidupan suami tidak terabai serta mendapat layanan adil.

Lebih menggembirakan apabila mereka memilih untuk tinggal sebumbung di Shah Alam, Selangor yang bukan sahaja membolehkan mereka beribadah bersama-sama malah berkongsi kasih.

“Selepas disahkan mengandung, saya tidak sihat. Suami terpaksa dukung setiap hari untuk naik ke pejabat di tingkat tiga. Apabila melihat wajah suami, hati saya terdetik untuk membantunya dan saya berusaha mencari seorang lagi isteri untuknya.

“Saya terfikir jika keadaan ini berterusan siapa hendak jaga suami. Lantaran, saya mengambil keputusan untuk mencari jodoh untuknya.

“Ramai wanita yang saya temui, ada antara mereka masih anak dara tetapi apabila memberitahu niat saya, mereka memberi pelbagai alasan. Hinggalah saya bertemu Nur Fathonah dan saya melamarnya untuk suami,” katanya.

IKLAN

Tak Mahu Suami Terabai Isteri Usaha Carikan Jodoh, Ikhlas Bermadu

Lamaran Untuk Suami

Katanya, pertemuan berlaku tahun lalu dan pada ketika itu, Khuzatul Atiqah tidak berbincang mengenai niatnya sehingga pertemuan kedua beberapa bulan kemudian.

“Ketika itu, saya memegang tangannya dan memberitahu niat saya. Saya tahu dia ibu tunggal dua anak dan melihat kepada keperibadiannya selain solat istikharah memohon petunjuk daripada-Nya.

“Dia (Nur Fathonah) tidak terkata apa-apa dan hanya memandang mata saya. Saya jelaskan kepadanya kebaikan serta pendapat mengenai berpoligami. Alhamdulillah, dia terima lamaran hingga disatukan,” katanya.

IKLAN

Pernah Tolak Poligami

Sebelum ini, Khuzatul Atiqah memuat naik status kisah dia membantu mencarikan calon untuk suaminya.Coretan itu mendapat pujian ribuan netizen malah ada yang memuji kemuliaan hatinya demi memastikan kehidupan suaminya terjaga sepanjang masa.

“Sesungguhnya… cantik aturan Tuhan. Saya pernah menolak poligami, tapi Allah takdirkan saya berkahwin dengan keluarga suami yang mengamalkan poligami. Dari pengamatan saya, sangat banyak kelebihan dan manfaat poligami yang saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ayah mentua ada 3 orang isteri, di mana arwah ibu adalah isteri pertama.

Dipendekkan cerita, sepanjang 10 tahun berkahwin dan 5 tahun pertama duduk bersama keluarga mentua, secara tak langsung saya menyimpan cita-cita untuk mempunyai keluarga poligami yang harmoni,” ujarnya.

Khuzatul Atiqah dia tidak menjangka status dimuat naik itu dikongsi warga maya hingga tular di media sosial.

IKLAN

“Kehidupan bermadu saya banyak pelajari daripada keluarga mentua. Bapa mentua saya berkahwin tiga dan saya masih mempunyai tiga ibu mentua,” katanya.

Reaksi Suami

Ditanya apa reaksi suaminya apabila dia mahu mencari isteri kedua, Khuzatul Atiqah berkata, suaminya tidak banyak tanya dan sekadar melemparkan senyuman.

“Semua sudah selesai, saya bukan sahaja menghadiahkan sesuatu untuk suami malah turut membantu Nur Fathonah yang sebelum ini bergelar ibu tunggal,”

“Status yang dimuat naik itu kerana mahu menceritakan perkara sebenar. Ini kerana, ada yang salah faham dan melemparkan fitnah kepada madu saya,” katanya.

Ketiga-tiga pasangan terbabit menetap bersama di rumah di Shah Alam dengan membuka sebuah studio rakaman di Seksyen 15, Shah Alam.

MW:Bukan mudah bagi seorang wanita berkongsi suami, malah mencarikan isteri baru pada suami tersayang. Memang satu dalam sejuta. Apa pun bermadu itu tiada salahnya, jika caranya betul dan atas keredhaan isteri.Selamat berbahagia dan menempuh kehidupan baru.

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI