Bulan puasa nie, rasanya tugas mak-mak bertambah sikit. Maklum la, awal pagi dah bangun untuk siapkan sahur. Ini belum lagi, mengemas, membasuh, menjaga anak dan keluar bekerja untuk membantu meringankan tanggungan suami dan keluarga. Mengemas, memasak, membasuh, menjaga anak dan sebagainya memang tugas dan tanggungjawab isteri. Lebih memeritkan, tatkala tiba bulan Ramadan, sudah tentu tugas-tugas rumah tangga akan bertambah dua kali ganda.
Jadi, melihat keadaan isteri dalam menguruskan rumah tangga, suami cubalah pandang dan perhatian apa yang boleh dan mampu di tolong bagi meringankan beban isteri. Ini peluang untuk suami meraih pahala ‘tambahan’. Ingat, meraih pahala ini bukan sahaja di bulan puasa tetapi suami boleh praktikkan pada hari-hari biasa. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Menurut Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).
Dalam budaya yang kita amalkan sekarang ini, isteri akan menyiapkan makanan berbuka dan bersahur untuk keluarga. Ini adalah satu budaya yang sangat baik.
“Walau bagaimanapun, tugas menyediakan makanan dan keperluan hidup secara asasnya adalah oleh suami. Tambahan pula, isteri zaman sekarang turut bekerja. Keadaan ini akan menjadikan masa lebih sempit untuk menjaga anak-anak, menguruskan rumah tangga, menyediakan makanan berbuka dan bersahur sebagai rutin harian,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, dengan kehadiran suami untuk menjadi peneman isteri sudah cukup membahagiakan isteri dan mampu mengurangkan rasa bebanan penat dan sangat baik sekiranya suami turut membantu menguruskan hal-hal rumah tangga yang berat dan kasar.
“Antara yang boleh suami bantu adalah berbentuk kasar dan memerlukan kekuatan fizikal seperti mengemaskan dapur, membantu mengangkat hidangan dan sebagainya. Suami tidak perlulah melakukan perkara sama yang dibuat oleh isteri tetapi memadai dengan menghargai,” ulasnya panjang lebar.
Sebagai seorang suami, kadang-kadang mereka salah faham dan fikirkan kerja-kerja memasak di dapur adalah tugas isteri semata-mata. Namun, suami boleh ringankan beban isteri dengan memberi sokongan, memuji isteri dan bergurau senda. Sekurangnya dapat mengurangkan rasa tekanan oleh isteri.
Selain daripada itu, isteri hendaklah bijak membahagikan tugas-tugas sesuai yang mencerminkan isteri menghormati suami. Walau bagaimanapun, elakkan daripada menyuruh suami untuk membuat tugas-tugas yang suami sendiri tidak sukai dan mencabar keegoaannya.
“Saya percaya, tidak ramai isteri yang mengharapkan suaminya turut sama membantu memasak kerana ia mungkin akan menyukarkan lagi. Jadi, berbahagialah apabila saling melengkapi. Sebagai isteri juga, perlu fikirkan banyak perkara lain yang dilakukan oleh suami, yang sememangnya tidak mampu seorang isteri lakukan,” jelasnya.
Fitrah manusia, isteri selalu fikirkan yang dia banyak berkorban dan melakukan tugas berbanding orang lain. Tetapi sebenarnya, orag lain juga berfikiran begitu. Isteri mengungkit apabila dia rasa penat. Tetapi, kalau dia fikirkan tentang suami juga banyak berkorban dan melakukan tugas-tugas lain, mungkin boleh menyedarkan dan mampu mengurangkan ungkitan tersebut,” katanya mengakhiri perbualan.
Biarlah Ramadan lebih banyak melatih kesabaran dan membentuk hati kita lebih bersyukur dan redha.