Heliza Helmi, penyanyi kecil molek yang terkenal dengan kepetahan dirinya dalam memberi motivasi dan ceramah. Ya, kali ini saya cukup teruja untuk berkongsi cerita tentang semangatnya dalam membuat amal dalam bisnesnya.
Semalam sewaktu bertemu dengan penyanyi yang lahir dari program realiti TV Akademi Fantasia itu di majlis pelancaran koleksi eksklusif pertama tudung Stella Collection di bawah jenamanya sendiri, HelizaGuzelHive, Heliza menyatakan koleksi tudung yang menepati piawaian syariah ini dihasilkan menerusi kolaborasi bersama Guzelhive International semenjak lebih setahun yang lalu.
Tidak sekadar bermotifkan keuntungan perniagaan, sebahagian daripada hasil jualan setiap koleksi ini akan disalurkan ke Tabung Myheart. Kerjasama antara Yayasan My Prihatin dan Institut Jantung Negara Foundation (IJN) ini ialah bagi membantu kanak-kanak pesakit jantung kronik daripada keluarga kurang berkemampuan.
Heliza juga mengharapkan orang ramai terbuka dengan konsep membeli sambil menyumbang ini. Malah secara jujur dia mengharapkan agar usaha dapat dilakukan secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar lagi agar bukan hanya untuk pesakit jantung sahaja tetapi kalau boleh untuk pesakit dari kategori lain juga. Malah dia juga berusaha untuk membantu meringankan beban orang lain.
Selain itu Heliza yang terkenal dengan kerja-kerja amal dan misi kemanusiaan ini juga membuatkan saya cukup respek dengan dirinya. Malah perkongsian jihad dirinya menyertai misi kemanusiaan. Pengalaman berharga tatkala dapat membantu pelarian Rohingya di beberapa kem pelarian dan kampung di Cox’s Bazaar, Bangladesh membuatkan dirinya bersyukur atas ruang dan peluang membantu mereka yang kurang berdaya. Malah Heliza juga menyatakan pelarian ini berdepan pelbagai isu kesihatan, kekurangan bekalan makanan dan kehilangan tempat perlindungan serta kemudahan awam.
Heliza juga pernah menyertai beberapa misi kemanusiaan di Syria dan Palestine, misi pembinaan masjid di Sepanyol dan misi bantuan banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.
“Kunjungan ke Syria cukup menginsafkan hidup mereka berdepan dengan risiko tembakan dan bedilan bom bertalu-talu tanpa henti. Itulah senario yang tidak dapat digambarkan yang menjadi kehidupan biasa masyarakat di sana. Namun, mereka sungguh tabah, menganggap semua itu sebagai ujian Allah yang perlu dihadapi dengan sabar.
“Saya turut berkongsi pengalaman getir semasa keluar secara tergesa-gesa dari sebuah kawasan yang dikhabarkan akan di bom dalam tempoh yang agak singkat semasa kunjungan ke Syria.
“Kawasan tersebut dinamakan Kafa Zeta dan ketika melawat untuk memberi bantuan penduduk di sana, secara tiba-tiba dikhabarkan kawasan itu bakal dimusnahkan dengan bedilan bom.
Keadaan ketika itu sungguh cemas kerana kami perlu keluar dari kawasan tersebut dengan pantas untuk menyelamatkan diri. Ibaratnya bila berada di sana nyawa dihujung tanduk. Tapi itu semua bukan penghalang untuk saya meneruskan aktiviti sosial ini. Malah setiap kali ke sana saya tidak kisah jika mati syahid, ” ujar Heliza yang akan menulis surat wasiat kepada keluarganya sebelum berangkat menjalankan misi kemanusian ke negara bergolak.