Tak Kisah Belanja Banyak Untuk Makanan, Pengantin Lelaki Ini Masak Sendiri 10 Jenis Nasi Jamu Tetamu

Share

Memang menarik kisah pasangan pengantin baru dari Raub, Pahang ini. Masa kan tidak, pengantin lelakinya sanggup mengambil masa selama empat jam pada sebelah pagi hari majlis persandingannya untuk memasak sendiri 10 jenis nasi untuk disajikan kepada 2,000 tetamu. Hebat! bukan calang-calang pengantin boleh sediakan pelbagai hidangan dalam kuantiti yang banyak, lebih-lebih lagi pada hari bahagia mereka.

Memetik laporan Harian Metro

,seorang pengantin lelaki bernama Muhammad Syukri Addnan, 28, sanggup memasak sendiri 10 jenis nasi selama empat jam pada sebelah pagi pada hari persandingannya. Kesemua masakan itu ingin disediakan kepada 2,000 tetamu. Bukan itu sahaja, bajet dikeluarkan oleh lelaki ini untuk makanan lagi banyak dari pakaian yang dikenakan di hari persandingan.

Syukri berkata dia hanya memakai pakaian berharga RM150, manakala isterinya, RM250, tetapi membelanjakan RM9,000 untuk makanan kepada tetamu.

Mengusahakan Syarikat Katering

Dia yang mengusahakan syarikat katering bersama keluarganya, ANAC Katering Enterprise sangat berpuas hati kerana tetamu yang hadir pada 13 Januari lalu gembira dengan makanan yang dihidangkan.

“Saya tidak kisah memakai pakaian yang murah, asalkan makanan yang disediakan terbaik dan sedap serta menggembirakan tetamu.”

“Idea itu sebenarnya untuk saya menghargai pelanggan di sekitar Raub (Pahang) selain untuk mereka mencuba keenakan pelbagai jenis nasi yang kami boleh sediakan.

“Sebelum itu, saya umum dalam Facebook (FB) untuk menjemput semua orang datang ke majlis persandingan kami di Kampung Melayu Sungai Lui 2, Raub,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Belajar Memasak Daripada Ibu

Dari segi persiapan, Muhammad Syukri berkata, dia mula mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak kesemua jenis nasi empat hari sebelum majlis. Dia menggunakan 97 kilogram (kg) beras untuk memasak Nasi Hujan Panas, Nasi Jagung, Nasi Serai, Nasi Beriani, Nasi Arab, Nasi Minyak, Nasi Tomato, Nasi Keduli, Nasi Lobak dan Nasi Putih.

“Saya belajar memasak daripada ibu saya, Norazizah Ahad, 60, yang memang suka dan pandai memasak serta kebolehan ini mungkin diwarisi daripadanya.”

“Lagi satu, saya juga ikut gaya ayah saya, Addnan Md Amin, 63, yang akan sediakan makanan yang agak ‘mewah’ untuk tetamu dalam apa saja majlis,” katanya yang menikahi isteri, Nazirah Mokhtar, 22, pada 30 Disember 2017.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu tidak kisah belanja banyak untuk makanan serta menganggap ia antara salah satu cara bersedekah. Syukri juga bersyukur kerana makanan yang disediakan mencukupi dan habis sebaik majlis berakhir pada 3.30 petang.

“Selain daripada 10 jenis nasi, saya menyediakan tujuh jenis lauk dan enam jenis air berperisa untuk tetamu dan Alhamdulillah, tiada pembaziran berlaku kerana semuanya habis dan cukup.

“Saya tidak kisah keluarkan belanja banyak untuk penyediaan makanan majlis kedua-dua pihak ini kerana kalau makan, kita akan kenyang dan ini juga adalah satu daripada cara untuk bersedekah,” katanya.

Dalam masa saya, Muhammad Syukri juga gembira kerana menerima banyak komen yang positif daripada tetamu selain ada yang mendoakan mereka murah rezeki dan bahagia dalam perkahwinan.

Mingguan Wanita mengucapkan selamat pengantin baru buat pasangan ini & selamat melayari bahtera rumahtangga.Semoga bahagia hingga ke syurga!

Sumber:hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab