Ada segelintir anak, nak hulur sesen duit pun takut-takut. Padahal bukan bagi orang lain tetapi orang yang membesarkan dia masa kecil-kecil. Yang sanggup ikat perut dan kirimkan doa buatnya setiap kali lepas solat.
Allahu… nauzubillah. Moga kita tak menjadi anak yang lupa tentang tanggung jawab untuk bahagiakan hati kedua orang tua.
Tetapi ada sesetengah orang dia nak sangat hulur pada mak ayahnya, cuma tak berduit. Tambah pula kalau dia tak bekerja, hanya suri rumah sepenuh masa. Jadi macam mana?
Nah, untuk jentik hati sendiri… jemput baca pandangan daripada seorang kanselor Puan Farhan. Ada jawapan yang mungkin boleh ubahkan cara hidup anda sebelum ini.
Isu terbaru yang sedang diperkatakan sekarang adalah tentang sharing seseorang tentang kisah ibu yang ada anak anak perempuan namun tidak bekerja dan tidak boleh membantu ibu dan ayahnya.
Bila keluar perkongsian itu ramai suri rumah rasa terluka. Terasa dengan apa yang dikatakan. Ramai yang sedih kerana mereka tidak bekerja.
Namun sebenarnya ,apa yang tuan tersebut fokuskan adalah merujuk kepada anak anak yang tidak bertanggungjawab, tidak membantu ibu dan ayah yang memerlukan. Namun perkongsiannya itu khusus merujuk kepada anak anak perempuan.
Pada saya, kedua dua anak tidak kiralah anak perempuan atau lelaki, kita perlu mewajibkan diri kita membantu ibu dan ayah yang selama ini berjuang membesarkan kita.
Tidak semua orang bertuah di lahirkan dalam keluarga senang. Ada yang lahir dalam keluarga yang susah bergolak bergadai demi memastikan anak membesar dengan baik.
Saat kudrat ibu dan ayah sudah tiada untuk bekerja, mereka hanya mengharapkan anak anak untuk membantu mereka serba sedikit.
Ada ibu ayah yang tidak pernah merungut walau anak tidak hulurkan sesen pun.
Mereka diam sahaja, namun jauh disudut hati mereka, ada luka yang bertamu. Terkadang meminjam dari sana sini kerana wang tidak cukup.
Dahulu, saat mereka menghantar anak mereka belajar, ada harapan tinggi menggunung kepada anak anak. Anak anak ini lah yang akan membantu mengubah hidup mereka.
Namun, sesudah habis belajar, lain pula ceritanya. Ada yang sudah habis belajar, fokus kehidupan sendiri. Bekerja sekadar untuk diri sendiri tanpa menghulurkan sedikit pun belanja kepada ibu ayah.
Ada juga yang sesudah berkahwin lebih fokus kepada kehidupan keluarga masing masing sehingga lupa pada ibu ayah.
Pada saya, tidak kiralah anda lelaki atau perempuan anda wajib menghulurkan sesen dua untuk ibu dan ayah.
Tidak perlu tunggu sehingga mereka minta. Kita sendiri yang perlu prihatin tentang tanggungjawab diri.
Kadang kadang ibu dan ayah kita ni, dia tak sebut direct. Tapi bila dia mula berkias kias, kita kena faham.
“Baju mak ni dah lama tak tukar.”
Bila mak mula berkata begitu, maknanya mak teringin nak pakai baju baru. Tapi kadang kadang kita buat buat tidak faham.
Yang lelaki, walaupun sudah ada isteri anak anak, tanggungjawab mu masih ada pada ibu dan ayah.
Yang perempuan, walau sudah bersuami, jangan lupa pada ibu ayah. Ada yang bila berkahwin, suami tak bagi bekerja. Tetapi itu tidak bermakna anda tidak boleh bekerja.
Bekerja di dalam rumah pun boleh. Jika anda melakukan perniagaan online, membuat perniagaan makanan dan sebagainya itu adalah satu pekerjaan.
Berbanggalah dan jangan pernah merasa hina sedikitpun. Walaupun bekerja di rumah ada yang incomenya mencecah ribuan ringgit.
Anda tidak boleh mengharapkan suami untuk memberi wang kepada ibu dan ayah sendiri, kerana telah banyak beban tanggungjawab yang terletak dibahunya. Mana untuk keluarga sendiri, mana untuk ibu dan ayahnya di kampung. Maka, kita juga harus berusaha untuk mencari income sendiri agar kita mampu untuk hulurkan sesen dua untuk ibu dan ayah.
Sebenarnya, tidak kisah lah apa yang anda lakukan, asalkan boleh membantu ibu dan ayah.
Saat ibu dan ayah kita sakit kita ada untuk membantu.
Saat ibu ayah teringin makan itu ini kita sedia untuk belikan.
Saat ibu ayah mahu ke sana ke sini kita ada untuk membawa mereka.
Benar, wang bukan segala galanya, namun wang juga diperlukan untuk bahagia.
Kalau dulu, ketika kita kecil apa kita mahu segalanya ditunaikan.
Sekarang, inilah saatnya kita pula membantu ibu dan ayah kita.
Bahagiakan mereka apa adanya.