Tak dinafikan kuasa pelukan mempunyai ‘magisnya’ yang tersendiri. Mampu memberi kesan positif, meredakan tekanan baik pada pasangan suami isteri mahupun anak-anak. Namun biasanya bila anak-anak semakin membesar dan meningkat usia, ada mak ayah yang semakin jarang memeluk anak-anak.
Pesanan buat mak ayah, sebenarnya tak perlu malu mahupun rasa janggal. Biasakan memeluk anak-anak dengan pelukan kasih sayang sejak mereka kecil dan teruskan rutin tersebut sehingga mereka meningkat remaja dan dewasa. Tak kiralah berapa pun umur anak-anak kita, belajarlah peluk mereka semula.
Name : Anis (Bukan nama sebenar)
Age : 16 y/o
Diagnose : Depression + Anxiety Disorder. Currently having Insomnia.
Saya membaca sekilas fakta kes di borang rujukan. Memandang client di depan saya dengan tenang dan memulakan aktiviti therapy.Selepas sejam, saya memanggil si ibu untuk sesi Carer Education (Pendidikan untuk penjaga bagi sesi rawatan di rumah).
Selepas terang beberapa aktiviti plan, sampai ke topik Bonding. Saya mencadangkan beberapa aktiviti yang sesuai dengan umur remaja.
Tiba-tiba si Ibu menyampuk,
“Puan, sekejap Puan. Saya rasa macam susah nak lakukan aktiviti tu”.
“Aktiviti yang mana ya? “ soal saya.
“Peluk anak. Boleh tak saya sentuh saja? Macam sentuh bahu ke, tangan ke, paha ke?”.
Saya terlopong mendengar permintaan tu. Eh.. Saya silap ambil family history ke? Anak kandung kan… Eh.. Ke anak angkat? Saya mula was-was.
Si ibu tersenyum kelat. Lambat-lambat si ibu membalas,
“Puan, saya kekok la nak peluk anak. Segan. Dah lama tak peluk anak-anak. Lagipun semua anak-anak saya dah besar. Nak peluk dalam keadaan anak-anak dah besar sekarang, rasa lain macam.”
Saya terdiam.
“Dulu saya memang jarang peluk anak-anak. Sejak anak-anak saya masuk sekolah rendah, seingat saya memang saya dah jarang sangat peluk mereka. Kekangan masa. Sedar-sedar semua anak-anak dah besar, dah masuk Sekolah Menengah.
Dua tiga tahun lepas, ada juga saya belajar nak peluk semua anak. Tapi rasa janggal. Anak-anak pun rasa tak selesa. Tak biasa. Jadi, saya dah tak buat. Setakat salam cium tangan tu selalu lah.”
Hmmmm.. Patutlah.
Sebenarnya bab-bab pelukan antara ibu dan anak ni, bukan hanya setakat kes ni sahaja. Kita pun samalah. Dah jarang peluk mak sendiri.
Pelukan ini bagus untuk anak-anak kita. Lebih lama pelukan dieratkan, lebih bagus untuk minda dan psikologi anak-anak. Anak-anak akan rasa disayangi dan diperlukan. Pelukan juga dapat mengurangkan hormon Cortisol di keluarkan daripada badan kita. Hormon Cortisol ini adalah hormon stress.
Tingginya jumlah hormon Cortisol dalam badan akan menyebabkan Insomnia (sukar tidur), cepat cemas, susah nak fokus, tidak bersemangat dan hilang Self-Esteem.Dan jangan lupa fakta penting tentang pelukan, pelukan sangat bagus kerana dengan pelukan akan mengeluarkan hormon Oxytocin.
Hormon Oxytocin ialah hormon yang boleh membuatkan seseorang itu tenang, gembira dan bahagia.
Pelukan antara ibu dan anak mampu memperbaiki mood anak kita, mengurangkan perasaan cemas dan stress yang dihadapi oleh si anak. Oh ya, manfaat pelukan bukan hanya dirasai oleh anak-anak kita sahaja, kita sebagai ibu bapa pun dapat rasai ketenangan, kegembiraan, dan bahagia yang sama.
Kawan,
Tak kira berapa umur anak-anak kita, belajarlah peluk mereka semula. Tidak ada istilah terlambat selagi kita masih bernyawa.
Kawan,
jika mak ayah kita stress, rasa sunyi di kampung, resah gelisah merindui kita, bila pulang ke kampung, cubalah memeluk mereka.
Lagi lama pelukan, lagi banyak hormon gembira, tenang dan bahagia akan keluar. Dan akan merencatkan hormon stress, ia pastinya aktiviti yang dapat membuatkan orang-orang kesayangan kita tidur nyenyak di malam hari.
Norzi Malek
Occupational Therapist (OT)
Dari Therapist Untuk Therapy
Baca Lagi Di Sini:
Magis Kuasa Pelukan, Mak Ayah JANGAN BERHENTI Peluk Anak-Anak
Kena Betulkan Cara Bercakap Dan Peluk Anak Lelaki Atau Perempuan, Hasilnya Mereka Lebih Dengar Kata
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Biasakanlah memeluk anak-anak kita dengan penuh kasih sayang sejak dari kecil sehingga mereka meningkat remaja dan dewasa. Ia bukan sahaja mampu meredakan emosi, mengawal sikap anak-anak, malah menjalin hubungan erat di antara mak ayah dan anak-anak.Tidak ada istilah terlambat selagi kita masih bernyawa.
Sumber: Norzi Malek