qunut subuh

Perkongsian Penyampai, Penerbit Kanan dan Penyelidik TV AlHijrah, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed ini menjelaskan bagaimana membaca doa Qunut dalam solat Subuh ketika berjemaah bersama imam. Fahamkan betul-betul agar kita mendapat keberkatan ilmu yang disampaikan.

Qunut Subuh Di Tanah Suci

Dahulu semasa di Madinah saya ada bentangkan video mengenai cara paling ringkas membaca doa qunut di belakang imam yang bukan bermazhab Syafi’ie seperti di Mekah dan Madinah. Kini saya berminat untuk melakar dalam bentuk tulisan sebagai bacaan dan simpanan rakan-rakan sekelian.

Amalan ini merupakan ‘option’ bagi mereka yang bermazhab Syafi’ie yang meyakini kesunahan qunut Subuh dan tidak mahu terlepas dari fadilat ini, maka saya menjelaskan jalan yang paling ringkas untuk mengerjakan doa qunut sekaligus mendapatkan fadilat yang besar. Bagi mereka yang tidak yakin kesunahannya saya berharap agar tidak membuat sebarang onar di sini. Berikut adalah beberapa ‘point’ penting yang saya kongsikan:

Menurut Imam Ramli syarat membaca qunut adalah gabungan pujian-pujian kepada Allah dan doa. Contoh puji pujian yang paling ringkas ialah Alhamdulillah atau Subhanallah, manakala contoh doa yang paling ringkas, “Rabbighfir Li”. Maka bila digabungkan kedua-duanya maka ia dinamakan sebagai qunut.

Manakala menurut Imam Ibn Hajar pula, syarat untuk menjadikan bacaan itu sebagai qunut cukup hanya sekadar bacaan doa walaupun tidak disertakan dengan puji-pujian, namun menurut beliau juga lebih afdal doa tersebut disertakan dengan puji pujian.

IKLAN

Meskipun ada khilaf di antara kedua-dua ulama mazhab Syafi’ie namun kedua-duanya dikira sebagai pendapat yang muktamad di dalam mazhab maka terserah kepada kita untuk memilih antara kedua-dua pendapat yang dirasakan selesa. Namun tidak dinafikan bahawa doa yang diiringi dengan puji pujian kepada Allah adalah yang terbaik. Pemilihan pendapat Ibn Hajar tidak lain dan tidak bukan hanya untuk tujuan ringkasan yang sesuai dengan situasi tertentu.

Disarankan agar membaca qunut subuh dalam bacaan yang sangat ringkas ketika iktidal untuk mengelakkan kita terlewat mengikuti imam yang sudah mula sujud. Jadi bacaan qunut ringkas yang biasa saya amalkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi:

الحمد لله، رب اغفر لي، اللهم صل على محمد وآله
Alhamdulillah, Rabbighfir li, Allahumma Solli ‘ala Muhammad wa Aalih

IKLAN

Menurut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafi’ie, selawat ke atas Nabi dan ahli keluarga baginda dalam qunut merupakan sunat ab’ad di dalam solat, jika ditinggalkan maka disunatkan bersujud sahwi. Namun hukum membaca selawat ke atas baginda dan ahli keluarga samaada sunat atau tidak merupakan khilaf di kalangan ulama mutaqaddimin(terdahulu) dalam mazhab Syafi’ie(Rujuk: Raudah al-Tolibin).

Sebahagian mereka berpendapat tidak disunatkan berselawat ke atas Baginda dan ahli keluarganya, ini merupakan pendapat kedua di dalam mazhab Syafi’ie(مقابل الأصح) yang boleh diambil untuk tujuan meringkaskan bacaan qunut Subuh, terutamanya jika imam tidak beriktidal dalam tempoh yang lama. Biasanya imam di Masjidil Haram dan Nabawi memanjangkan iktidal mereka dalam setiap solat 5 waktu. Insya Allah cukup untuk tempoh gabungan Puji pujian, doa dan selawat.

Berkenaan mengangkat tangan ketika berqunut, terdapat dua pendapat di kalangan ulama mazhab Syafi’ie(ashabul wujuh). Pendapat pertama disunatkan mengangkat kedua-dua tangan ketika berqunut(ini pendapat yang muktamad), manakala pendapat yang kedua tidak disunatkan mengangkat tangan dan pendapat kedua ini dipilih oleh Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmu’. Maka boleh mengambil pendapat kedua dengan tidak mengangkat tangan ketika berqunut di tanah suci bagi mereka yang terasa segan kerana takut dipandang pelik atau takut berlaku fitnah.

IKLAN

Walaubagaimana pun, bacaan qunut Subuh ini adalah sunat di dalam solat. Jika ditinggalkan dengan sengaja ia tidak membatalkan solat sama sekali. Jika sesiapa yang memilih untuk membaca qunut ringkas itu lebih baik dan sesiapa memilih tidak membaca qunut iaitu turut serta dengan imam yang bukan bermazhab Syafi’ie juga perkara yang baik dan tidak menjejaskan solat seseorang.

Sebagai tambahan, tiada masalah jika seorang makmum membaca qunut Subuh meskipun imam tidak membacanya. Ia tidak dikira bersalahan kerana makmum diharuskan menambah apa2 bacaan zikir atau doa walaupun imam tak baca. Dalam isu ini saya baca qunut seringkas mungkin dan tidak melewat-lewatkan mengikut imam yang sudah sujud. Yang menjadi kesalahan apabila menyalahi imam dalam PERBUATAN yang tertentu dalam solat seperti tidak ikut imam yang melakukan sujud tilawah. Manakala tambahan zikir, jumlah zikir dan doa seperti qunut tidak menjadi kesalahan dalam solat berjemaah.

Wallahu A’lam, Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Sumber/Foto: FB Syed Shahridzan via Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI