Tak Hantar Sekolah, Kurung Di Rumah, Tak Bermakna Anak Suci Terpelihara

Share

Asalnya, niat di hati ibu anak 7 ini mahu tahan saja anak di rumah. Tak benarkan masuk sekolah kerana bimbang risiko pengaruh remaja bermasalah.

Niat terbatal, bila tiada keluarga bersetuju. Di situlah bermulanya pencarian sekolah terbaik untuk anak-anaknya. Sehingga melepasi satu tahap ibu ini tersedar akan satu kebenaran.

Anak-anak kita Allah yang jaga.”

Indah perkongsian Bonda Nor ini untuk dihadamkan oleh mak ayah. Sungguh Dia sebaik-baik perancang.

Teruknya Budak-budak Sekarang Ni, Ya Allah Fobia

Masa remaja, saya remaja bermasalah. Dah tua, dipanggil pula ke sekolah-sekolah untuk handle pelajar bermasalah.

Allah.. tengok terowong masa, nampak muka dan peribadi sendiri. Teruknya aku dulu. Macam mana boleh jadi macam tu? Malu!

Tengok kanta, nampak muka remaja zaman sekarang. Teruknya budak-budak sekarang ni, Ya Allah. Fobia!

Serius saya fobia nak lepaskan anak-anak ke sekolah. Dah boleh nampak bahayanya!

Pernah juga bincang dengan suami untuk halang anak-anak ke sekolah. Tak payahlah. Biar homeschooling je lah. Biar anak-anak belajar daripada mama saja.

Ya, saya sanggup luangkan masa. Tapi..

Suami tak setuju.

Mak tak setuju.

Umi mentua pun tak setuju.

Isk! Takkan tak nak sekolah? Mana boleh macam tu!”

Bla bla bla
Bla bla bla
Bla bla bla

Terlupa Hakikat, Anak-anak Kita Allah Yang Jaga

Hujah berbalas hujah. Dan akhirnya saya mengalah. Okey, memang perlu hantar anak-anak ke sekolah. Bukan setakat isu belajar saja. Bahkan lebih! Kena bantu mereka bergaul dengan orang lain.

Tapi kami sama sepakat. Tak nak hantar anak kami ke sekolah rendah kebangsaan. Di situ, risiko untuknya bergaul dengan anak-anak kampung yang terbiar memang lebih tinggi.

Bimbang. Jadi kami hantar sekolah agama swasta.
Ya tahu, mana-mana sekolah pun ada je budak nakal. Tapi sekurang-kurangnya bila hantar ke sekolah yang yurannya mahal ni, dah tapis separuh khalayaknya! Yalah, ramai mak ayah di situ jenis profesional. Terjagalah sikit kebebasan mereka. Fikir kami begitu.

Justeru, fuh! Kami berhabis duit beratus-ratus untuk hantar anak sulung ke sekolah swasta. Yuran RM500 sebulan pun sanggup! Padahal kami bukan orang senang. Sanggup demi sayang!

Tapi itulah, sekolah swasta kadang gurunya tak terlatih. Kadang kurang komited. Kejap masuk kelas, kejap tak masuk. End of the year pun buku latihan dan buku tulis anak masih banyak yang kosong!

Aduhai. Akhirnya kami mengalah. Setelah bertahun-tahun bertahan di sekolah agama swasta, akhirnya hantar juga ke sekolah biasa.

Apa jadi? Owh.. worse! Kerajaan negeri belanja notebook pula untuk setiap murid. Siap ada internet! Argh. Kali ini, belajar ke mana, akhlak pun ke mana. Out terus!

Masuk sekolah menengah, saya larikan ke sekolah tahfiz swasta pula. Bayar lagi mahal-mahal. Ya, kami bukan orang senang. Tapi, sanggup!

So, kali ni apa jadi? Jadi al-hafiz ke? Jadi ustaz ke? Jadi pengawas ke?

Tak! Beberapa kali saya dipanggil ke sekolah sebagai ibu kepada anak bermasalah!

Allah.. padahal itu dah kira jaga dalam jaga! Tapi tetap terlepas juga! Itulah kan. Kita jadi mak ayah, jaga anak macam nak rak. Konon kita nak kawal dan lindungi sangat anak-anak. Kadang sampai lupa, hakikat sebenarnya, anak-anak kita Allah yang jaga!

Kemudian apa?

Apa Jadi Pada Anak Yang Bermasalah Itu?

Owh.. Saya mula belajar melepaskan. Masih pantau tapi taklah terlalu ketat. Masih terus beri nasihat tapi tak lagi terlalu fikir dan berkeras sangat. Saya lebihkan berdoa. Lebihkan minta Allah jaga anak-anak saya terutamanya bila mereka tiada di depan mata.

Apa jadi?

Subhanallah. Rupa-rupanya bila kita mula sedar hakikat tentang kuasa dan takdir Allah, ianya lebih mudah!

Apa jadi?

Anak-anak yang bersekolah kebangsaan lebih cemerlang. Dapat nombor satu. Dapat jadi pengawas. Dapat ke asrama penuh.

Apa jadi pada yang bermasalah?

Rupa-rupanya bila saya lepaskan dia ke dalam masyarakat, dia menjadi matang dengan sangat cepat. Dia berdegil, dia buat salah, dia tanggung kafarah. Dia jatuh, dia sakit dan sesudah itu dia lebih beringat sikit.

Pendek cerita, yang bermasalah itu menjadi jauh lebih baik ketika ini berbanding ketika zaman saya terlalu menjaganya dahulu!

Allah.. Allah..

Tiada Jaminan Mengurung Anak Di Rumah, Akan Jadikan Anak Suci Murni

Tidaklah saya mengatakan sekolah kerajaan itu lebih baik daripada sekolah swasta. Tidak juga saya mengatakan bahawa sekolah swasta itu lebih baik.

Tidak. Saya tak mahu judge begitu.

Tapi sebagai ibu yang ada 7 orang anak, yang telah merasai pahit getir berjuang mendidik anak di sekolah itu dan sekolah ini, apa yang saya nak bagitau ialah, sekolah di A atau di B risikonya lebih kurang sama saja.

Tidaklah bererti kita mengurung anak kita di rumah, bermakna dia akan terpelihara, suci murni segala. Tidak. Percayalah, tiada jaminan untuk itu!

Belajarlah melepaskan anak-anak kita secara perlahan-lahan. Pantau. Bimbing. Tapi lepaskan!

Mereka semakin besar, semakin tinggi curiosity dan semakin banyak yang mereka mahu tahu lagi. Sampai bila kita mampu kurung anak kita? Bagaimana kalau esok lusa kita mati dalam keadaan anak-anak kita belum bersedia untuk terjun ke dalam dunia yang serba mencabar ini?

Kapal, seindah mana pun dipandang mata, namun jika hanya terdampar di pelabuhan, tetap tiada gunanya kerana bukan itu tujuan kapal dicipta.

Lepaskannya mengharung gelombang. Kemudikan dengan tenang. Dengan usaha dan dengan penuh percaya bahawa Allah akan bantu kita.

Jangan kurung anak-anak kita. Persiapkan mereka!

Sumber/Foto : Bonda Nor

Published by
Netty Ah Hiyer