Memang tak hairan selepas berkahwin lelaki bertambah senang dan perempuan bertambah bengang sekiranya tujuan dan pemahaman berkahwin itu sendiri dah disalah ertikan. Seringkali yang ditekankan bagi lelaki apabila berkahwin adalah untuk memudahkan urusan mereka. Merebut peluang dan mengaut faedah yang bakal diperolehi setelah berkahwin berbanding penekanan tanggungjawab sebenar sebagai ketua keluarga.
Jemput fahami betul-betul dan hadam perkongsian daripada Ustazah Sharifah Zahidah ini.
Kalau dengar orang tua bila suruh cari isteri, antara alasan dan nasihatnya,
“Ada orang jaga makan pakai kau..” “Nampaklah kau terurus sikit..” “Dapat makan sedap. Balik rumah semua terhidang..” “Taklah teruk sangat kena kerja.. Ringan banyak beban tu kalau beristeri nanti..”
Ini antara sebab-sebab yang biasa saya dengar dari nasihat orang tua kepada lelaki yang bujang tentang KENAPA MEREKA PERLU BERKAHWIN.
Ya, yang banyak ditekankan kepada orang lelaki apabila berkahwin adalah FAEDAH dan OPPORTUNITY yang lebih baik mereka akan dapat jika mereka berkahwin, sehingga perkahwinan ini akhirnya tertanam sebagai sesuatu yang MUDAH dan TEMPAT MENGAUT FAEDAH untuk lelaki.
Kahwinlah..
Ada orang gosokkan baju. Kalau dulu bersiap untuk ke tempat kerja jam 5.30 pagi sudah bangun, sekarang, jam 6.30 pagi bangun pun masih sempat. Sebab? Baju dah siap seterika. Yeah, kahwin maknanya boleh dapat tidur extra.
Kahwinlah..
Ada orang siapkan makan pagi. Kalau dulu, bangun pagi lambat, asyik tak sempat nak makan. Sampai ke 11 pagi baru sempat sarapan. Kalau kahwin, bangun-bangun lagi dah terus boleh makan. Dah siap makan, tinggalkan saja pinggan mangkuk cawan di meja makan dengan isteri. Pandailah dia uruskan. Kita? Acah-acah gelabah sebab dah terlambat. Isteri lambat? Tak apa, itu masalah dia. Pandai-pandai dia jawab dengan bos dia. Yeah, kahwin bermakna dapat lebih kebebasan masa.
Kahwinlah..
Tak perlu lagi dah makan di luar. Mahal dan tak dijamin bersih! Kalau berkahwin, balik rumah makanan sudah terhidang, boleh makan sedap-sedap. Belanja pun jimat. Jimat bukan sebab makan di rumah saja, tapi kadang-kadang boleh buat-buat lupa beli barang dapur. Ada isteri tolong top up dan belikan segalanya. Yeah, kahwin untuk kita dapat extra duit belanja.
Kahwinlah..
Boleh tidur nyeyak. Dulu kena set jam nak bangun Subuh. Subuh pun selalu terlajak. Sekarang. Tak apa. Ada isteri yang PERLU BANGUN lebih awal, ulang alik 3 4 kali kejut dan kejut sampai suami bangun. Dulu, kalau tidur balik, terlajak bangun! Lambat ke tempat kerja. Dah kena marah dengan bos. Kalau dah kahwin, tak apa tidur semula, pandai-pandailah isteri datang berkali-kali kejutkan kita macam kanak-kanak tak faham bahasa. Yeah. Kahwin maknanya kita boleh kembali jadi kanak-kanak Ribena.
Jadi, kahwinlah wahai lelaki. Kerana urusan kita akan banyak dipermudahkan. Kahwin memang best!
“Tak hairan, lepas berkahwin, lelaki bertambah senang. Perempuan? Bertambah bengang.”
Kahwin Urusan Senang
Makin lama lelaki kahwin, makin menjadi-jadi miang. Maklumlah, kahwin ini urusan senang. Bila-bila pun boleh sembang tentang nak tambah lagi seorang. Urusan senang, kan? Hari-hari dia sembang bila nak tambah lagi seorang.
Perempuan? Di rumah dah macam medan perang. Semua benda dia perlu uruskan. Jaga anak yang tak pandai jaga diri. Jaga suami yang tak pandai jaga diri juga. Beban kewangan, pendidikan anak-anak, urusan pertukangan di rumah, urusan sekolah anak-anak dan segalanya. Tapi tak apa, memang wanita diajar macam itu dari dulu lagi,
“Bila dah berkahwin, tak macam dulu lagi.. Kita kena berkorban.. Hidup kita berubah 100% dan sangat mencabar.. ” “Kahwin ni, tak boleh berkawan sangat dah.. Suami itu raja, jaga suami macam jaga raja.. Dunia lain dah tak ada buat kita. Ada suami saja..” “Kalau dah kahwin, jangan susahkan suami. Layan suami dan seluruh keluarga dia. Jangan bagi dia buat apa-apa, isteri solehah dia yang buat segalanya.” “Jaga suami elok-elok. Kau kena pandai jaga diri. Bukan jaga diri je, pandai jaga suami apatah lagi.. Suami lari, kau yang berdosa!”
Ads
Gambar hiasan.
Tanggungjawab Berbeza
Ini perbezaan antara 2 pesanan tentang 1 tanggungjawab yang sama, tetapi kepada 2 golongan yang berbeza.Wanita dipesan perkahwinan sebagai medan berkorban. Lelaki dipesan perkahwinan medan mengambil kesenangan.
Hasilnya, kepincangan yang kita lihat dalam institusi rumahtangga kita pada hari ini.Ini menjawab kenapa wanita banyak berkorban dan TERKORBAN selepas berkahwin.
Perkahwinan adalah medan lelaki menambah kesenangan, menurunkan kesusahannya kepada sang isteri. Dan perkahwinan bagi perempuan adalah medan pengorbanan, meninggalkan segala kesenangan dan KETENANGAN diri dan bersusah-susah untuk suami.
Ini adalah gambaran perkahwinan yang tempang dalam masyarakat kita.
Bukan Tempat Membuang Beban Ke Bahu Isteri
Budaya ini perlu dihentikan. Islam tidak pernah ajar bahawa perkahwinan adalah suatu yang MUDAH BAGI SUAMI. Ya, perkahwinan adalah sesuatu yang BERAT DAN MENAMBAH BEBAN buat suami, bukan tempat membuang beban ke bahu isteri.
Anak perempuan diajar, perkahwinan sesuatu yang berat dan susah buat mereka. Anak lelaki diajar, perkahwinan adalah sesuatu yang indah dan senang buat mereka.
Maka, lahirlah KONFLIK TANGGUNGJAWAB di dalam institusi kekeluargaan.
Suami menjadi lebih wanita dari sang isteri. Isteri menjadi lebih lelaki dari sang suami.
Hakikatnya yang perlu kita ajar kepada generasi kita. PERKAHWINAN ADALAH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG PEREMPUAN, DAN PERKAHWINAN ADALAH SESUATU YANG JAUH JAUH JAUUUUH LEBIH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG LELAKI.
Mengapa jauh lebih susah bagi lelaki?
Ads
Kerana ALLAH meninggikan darjat lelaki dan menjadikan mereka KETUA keluarga, kapten kapal yang bertanggungjawab atas SEGALANYA, sedang wanita cumalah anak kapal yang menumpang kebijaksanaan, kegagahan dan kehebatan ketua kapalnya. Sebagai pembantu, bukan sebagai pengemudi segalanya.
Biar lelaki faham, hakikat dan maknanya bila dia ambil anak dara orang untuk dijaga dan dididik. DIBUAT TEMAN BAIK. BUKAN DIBUAT BIBIK.
Biar wanita juga faham, hakikat dan maknanya apabila dia disunting seorang lelaki. Untuk dikasihi, untuk disyukuri, untuk dikhidmat seikhlas hati dalam POLA GIVE AND TAKE, DAN BUKAN POLA PARASITISME yang paling banyak berlaku pada hari ini.
Kepincangan rumahtangga dalam masyarakat kita pada hari ini, antara puncanya adalah kesilapan warisan ini yang memberi pesan dan fahaman kepada lelaki, bahawa perkahwinan bukan medan menabur bakti, tetapi perkahwinan adalah medan kau diperaja dan memperguna sehingga LUNYAI kudrat seorang isteri.
Ini adalah kesilapan warisan yang mesti kita hentikan.
Gambar hiasan
Beri Gambaran Sebenar Perkahwinan
Generasi ibubapa zaman kini, harus BERIKAN GAMBARAN SEBENAR tentang perkahwinan SECARA ADIL kepada anak-anak kita.
Perkahwinan bukan parasitisme DI MANA SEORANG HIDUP DAN SEORANG LAGI AKAN MATI, tetapi perkahwinan, adalah PERKONGSIAN HIDUP di mana kedua-dua jiwa sama-sama hidup memberi dan menerima kasih sayang, cabaran, kesusahan, tanggungjawab, amanah dan sebagainya.
Perkahwinan adalah medan yang payah. Tolonglah, jangan ambil mudah. Baik di pihak wanita, mahupun lelaki.
Di masa akan datang, saya akan menulis bagaimana kita sepatutnya mengajar kepada anak tentang perkahwinan. Biar anak lelaki kita tenang bahagia tanpa dosa di sisi anak perempuan kita, biar anak perempuan kita, terbela terjaga di sisi anak lelaki kita. Bukan nak suruh mereka kahwin atau faham apa itu kahwin di usia muda, TETAPI UNTUK MEREKA FAHAM PERANAN MEREKA DI SEBALIK JANTINA YANG ALLAH CIPTA. Ini tujuan Mariage Education dalam Islam.
Ads
Saya berpendapat, ini adalah antara syllabus parenting antara yang paling kritikal untuk disentuh di zaman ini.
Saya tidak menulis ini untuk membangkitkan gender war antara lelaki dan perempuan. Tetapi TERIMA DAN HADAPLAH, ini adalah REALITI YANG MENGGAULI MASYARAKAT kita pada hari ini.
Selagi ianya TIDAK BOLEH DIBICARAKAN SECARA TERBUKA DAN BERHEMAH SEBEGINI, selagi itu kita tidak akan dapat mewujudkan kesedaran baru tentang HAKIKAT PERKAHWINAN BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN KINI.
Hakikat perkahwinan tidak dapat difahami KECUALI kita terlebih dahulu memahami HAKIKAT PERANAN sebagai seorang lelaki dan wanita.
Dan hakikat peranan ini TIDAK BOLEH difahami, melainkan dengan jalan didikan yang betul sedari anak-anak kita kecil lagi.
Kita tidak boleh mengubah generasi lelaki yang sudah berkahwin pada hari ini, tetapi kita BOLEH MENDIDIK DENGAN BAIK ANAK-ANAK LELAKI kita yang BAKAL MENJADI SUAMI dan BAPA kepada anak-anak orang lain satu hari nanti. Kerana ini, saya menulis dan berkongsi.
Selama ini, dalam masyarakat kita, DIDIKAN KITA ADALAH BERPUSAT KEPADA ANAK PEREMPUAN. Kini tak boleh lagi. Didikan kita harus dipusatkan dengan TEPAT DAN GIAT baik kepada lelaki mahupun perempuan.
Bagi perempuan yang membaca tulisan ini, kenali peranan anda untuk MULA MEMBERI NASIHAT YANG BENAR DAN ADIL tentang perkahwinan kepada anak lelaki dan perempuan kita.
Bagi lelaki yang membaca, FOKUS KEPADA MEMBETULKAN salah faham ini yang banyak berlegar di sekeliling kita, walau kita tidak terlibat sama. Kerana kita juga punyai anak perempuan yang bakal kita serahkan kepada lelaki-lelaki lain. Ianya, adalah tanggungjawab bersama untuk kita perbetulkan kepincangan ini.
Percayalah, amat jelas bagi kami yang menghadap luahan masalah rumahtangga pada hari ini, bahawa punca kepincangan yang berlaku adalah kerana KONFLIK TANGGUNGJAWAB YANG BERLAKU DI KALANGAN GENERASI LELAKI DAN WANITA KITA PADA HARI INI.
Tulisan ini bukan untuk kita ego mempertahankan diri, tetapi untuk kita sama-sama bermuhasabah diri.
Sharifah Zahidah
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan dalam memperbetulkan erti kata konsep perkahwinan yang sebenar.
Nikah isteri yang ‘tiada dara,’ baru tersedar pada malam pertama. Dalam banyak budaya, termasuk di Malaysia, status dara dianggap sebagai lambang kehormatan dan kesucian seorang wanita.
Masyarakat cenderung mempunyai pandangan yang tinggi terhadap wanita yang menjaga daranya sehingga perkahwinan. Ini berakar daripada nilai-nilai tradisional dan keagamaan yang menekankan kepentingan kesucian sebelum perkahwinan.
Nikah Isteri Yang ‘Tidak Lagi Suci’
Lalu bagaimana pula wanita yang ‘hilang dara’ sebelum berkahwin? Berikut perkongsian daripada Fahmi Ramli Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor.
Ada satu soalan ditujukan kepada saya oleh seseorang lelaki. Katanya dia malu nak ceritakan tapi mahu pandangan daripada saya.
Katanya, dia berkahwin dengan seorang wanita yang masih anak dara. Dia hanya kenal dalam 5 bulan sahaja sebelum bernikah. Itu pun selepas bertunang.
Jadi, selepas nikah, sewaktu ‘malam pertama’ dia mendapati isterinya tidak mempunyai dara. Dia agak terkejut dan gusar adakah tindakan dia berkahwin itu satu tindakan salah?
Baru Tersedar Pada Malam Pertama
Dia bertanyakan kepada saya, adakah wanita yang sudah tiada dara itu, masih boleh dianggap ‘anak dara’ atau berstatus janda?
Pandangan Fiqh
Ibn Qudamah di dalam Kitab Al-Mughni menjelaskan status seorang gadis yang kehilangan dara berdasarkan sebab yang berbeza seperti berikut :
1. Jika selaput dara (hymen) gadis itu rosak kerana terjatuh atau kerana keluar aliran darah haid yang terlalu banyak atau kerana tusukan jari, kayu dan sebagainya, maka statusnya MASIH dara/gadis.
2. Jika gadis itu disetubuhi melalui duburnya, maka statusnya masih dara.
3. Jika hilang daranya kerana persetubuhan paksa atau disetubuhi ketika tidur atau wanita gila yang disetubuhi maka hukumnya sama seperi janda mengikut pandangan yang terkuat. Namun, ada yang menyatakan wanita itu masih dara.
Kalau wanita itu hilang dara kerana persetubuhan secara sedar?
Bagi Imam Ahmad dan As-Syafie, gadis yang disetubuhi melalui farajnya sama ada persetubuhan itu halal atau haram, maka statusnya tetap dikira janda.
Lain pula dengan Imam Malik dan Abu Hanifah , gadis yang disetubuhi secara tidak halal, maka hukumnya masih dikira sebagai gadis. Imam Abu Hanifah memperincikan dengan syarat yang perzinaannya itu tidak diketahui umum.
Namun, ada pandangan yang paling rajih dan digunakan sebagai ijtihad ulama kini, yang menyatakan bahawa mana-mana gadis yang hilang dara kerana zina, masih dikira anak dara kerana persetubuhan yang berlaku bukan persetubuhan yang halal.
Undang-undang
Di dalam undang-undang, Seksyen 2 (1) Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008, anak dara itu ditafsirkan sebagai perempuan yang belum pernah bersetubuh sama ada sudah berkahwin atau belum.
Manakala janda pula dalam seksyen yang sama ditafsirkan sebagai perempuan yang telah bernikah dan telah diceraikan setelah bersetubuh.
‘Janda Berhias’ iaitu seorang perempuan yang telah bercerai sebelum dia bersetubuh dengan suaminya dalam tempoh perkahwinan. Hakim boleh benarkan dia untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki lain tanpa perlu bereddah. Statusnya masih lagi boleh dianggap dara.
Maksudnya, untuk membezakan antara dara dan janda di sisi undang-undang, ialah mereka yang telah berkahwin atau masih belum berkahwin.
Bagi wanita yang walaupun mungkin telah bersetubuh secara tidak sah sebelum berkahwin, mereka masih boleh dianggap sebagai anak dara.
Bagi wanita yang telah berkahwin, namun tidak bersetubuh dan bercerai dengan suami sebelum bersetubuh, disebut sebagai janda berhias, juga masih boleh dianggap sebagai
Anak dara sekiranya hakim membenarkan dia berkahwin dengan mana-mana lelaki tanpa perlu bereddah. Hanya janda sahaja yang melalui fasa eddah.
Bagi janda pula, mereka adalah wanita yang telah berkahwin secara sah di sisi undang-undang, dan kemudian telah bersetubuh dengan suami dan bercerai.
Wanita yang janda perlu dapat izin?
Bagi wanita yang sudah Janda, keizinan dirinya untuk berkahwin adalah perlu. Wali Mujbir tidak boleh mengahwini anak perempuannya yang janda tanpa mendapat persetujuan daripada tuan punya badan.
Tapi, bagi wanita yang masih dianggap sebagai anak dara, Wali Mujbir berhak untuk mengahwinkan anak perempuannya kepada mana-mana lelaki pilihannya tanpa perlu mendapat izin daripada Anak Dara tersebut meskipun mungkin wanita itu telah tiada daranya.
Kesimpulannya, dalam perkahwinan, perlu ada kejujuran dan perlu ada penerimaan yang ikhlas. Kita perlu tahu, kadang-kadang soal dara yang sudah tiada ini adalah suatu yang sukar untuk ditentukan. Tambah-tambah pula jika seorang wanita itu adalah wanita yang aktif dalam bersukan.
Jangan disebabkan isu dara tersebut, seorang suami dengan mudah hendak terus menceraikan isterinya. Sebaiknya, berbincang dan cuba selami kisah silam dan belajar untuk memaafkan.
Mungkin, ada anak dara yang pernah lakukan kesilapan. Tapi, apa kurangnya dengan anak teruna yang kita pun belum tahu masih terjaga keterunaannya. Belajar untuk memaafkan dan belajar untuk memperbaiki kesilapan. Jangan ‘over’ bab wanita hilang dara, kalau lelaki pun tak tahu masih teruna atau tak.
Kredit: Fahmi Ramli Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor.
Lucu sebenarnya gurauan suami ini, Akhtar Syamir a.k.a Bro Ohsem untuk isterinya, Nora Azni. Bukan sebab koleksi beg tangan mewah tau intan berlian, tapi koleksi tudung yang berkotak-kotak. Yang mana jumlahnya ada yang melebihi 1000 helai tudung berlainan jenama, corak malah jenisnya.
Apa pun yang suami ini kongsikan, ianya ada banyak benarnya. Kalau tak percaya.. cuba belek tudung mak-mak itu. Tak mungkin cuma dua helai dalam almari atau tergantung dalam bilik tu. Betulkan..
Pendedahan Suami Tentang Koleksi Tudung Isteri.. Ada Tu ‘Hadiah’ Katanya
Saya dengan ini menyarankan SPRM supaya menyiasat semua suri rumah tak kira sepenuh masa atau tidak.
Siasatan perlu difokuskan kepada bagaimana mereka boleh menyimpan hampir 1000 jenis tudung berlainan jenama, jenis dan corak yang berharga paling kurang RM10 setiap satu.
Pendedahan oleh para suami mendapati tudung – tudung tersebut ada yang dibeli dan ada yang dihadiahkan. SPRM perlu menyiasat siapakah pemberi hadiah tersebut kerana para suami dah tak ingat berapa banyak tudung kami belikan untuk isteri.
Siasatan lanjut juga perlu dibuat terhadap mereka kerana kami perlu tahu kenapa setiap kali keluar, isteri asyik pakai tudung yang sama je. Alasan tudung tu selesa dan senang jadi tidak sepatutnya diterima kerana tudung – tudung lain dalam almari tu pun lebih kurang samaaaaa je.
Diharap dapat juga siasat peniaga tudung yang jual tudung susah nak jadi. Jenuh kami tunggu mereka bersiap. Hahaha..
Alang – alang dah siasat tu, tanye sekali kenapa tudung yang diorang beli tu selalu tak padan dengan baju diorang. Please… Kami perlu tahu.
Kalau Tak Ada Tudung Dalam Almari.. Tengok Dalam Kotak
Lagi satu, kalau takde dalam almari, cuba tengok dalam kotak. Diorang selalu simpan dalam tu kalau dah banyak sangat.
Terbaru. Terdapat laporan ramai yang order tudung online tapi letak alamat ofis supaya perbuatan mereka dapat dirahsiakan dari suami.
Diharap pihak SPRM tidak akan menghantar pegawai penyiasat wanita untuk menyiasat kerana dikhuatiri diorang akan berborak pasal tudung je nanti. Tak pasal – pasal kes tutup dan ada yang bawak balik sehelai dua. Hahaha..
Terkini. Sila bawa pasukan pemusnah bom sekali kerana tudung yang dah bergosok tu amat bahaya kalau tersentuh. Selalunya anak dan suami jadi mangsa. Confirm meletop !
Tolong SHARE. Perkara serious nie.
Jangan lupa TAG orang yang patut disiasat ya.
Kalau sape – sape rasa memang bersalah tu, cube kongsi gambar koleksi tudung korang? Boleh cuci mata sikit. Hehehe..
Kepada makcik bawang, ini post gurauan je. Bukan serious. Jangan marah haaa..
Pejam celik pejam celik usia perkahwinan anda dah masuk 5 tahun pertama atau mungkin daripada itu. Dalam tempoh perkahwinan ini, mesti ada pahit, manis, suka dan duka. Tapi kalau boleh mestilah nak semuanya baik-baik kan.
Namun, ada masanya badai melanda, mulalah seorang ke hulu dan seorang ke hilir. Kat tengah anak-anak yang tergapai-gapai tak tahu mana yang mahu dipilih. Nak kata tak kenal pasangan, rasanya dah lama kenal tapi mungkin ada sesuatu yang membuatkan anda rasa tidak bahagia walaupun dah dikurniakan anak.
Menurut pakar psikologi perkahwinan yang dikenali Abang Arjuna (Faizal Rohban), setiap pasangan inginkan rumah tangga bahagia, malah Islam amat menitik beratkan soal pembinaan keluarga bahagia kerana ia merupakan platfrom kepada pembentukan generasi masa hadapan.
Namun begitu, niat dan usaha ini tidak akan lengkap tanpa disulami dengan doa. Jika ketiga-tiga elemen ini digabungkan, tidak mustahil keluarga bahagia yang diimpikan itu akan menjadi kenyataan. Jadi, niat, usaha dan seterusnya dilengkapkan dengan doa, pasti sesebuah keluarga itu akan menuju bahagia yang berpanjangan.
Bentuk Keluarga Bahagia
1.Rezeki Halal – Setiap rezeki yang diperoleh akan menjadi darah daging dan akan mempengaruhi pembentukan keluarga bahagia melalui zuriat keturunan nanti.
2.Komunikasi – Fahami bahasa tubuh atau mimik muka yang diberikan oleh pasangan setiap kali berhubung.
3.Kasih Sayang – Tanpa kasih sayang, keluarga yang dibina akan runtuh sekelip mata. Perlu saling melengkapi antara satu sama lain.
4.Toleransi – Amat perlu apabila wujudnya selisih faham antara suami isteri.
Peranan Keluarga
Dalam membentuk keluarga bahagia. Peranan suami, isteri dan anak-anak perlu bersatu demi melahirkan kesejahteraan dalam keluarga. Antara peranan yang perlu dimainkan oleh:
Suami
1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik
2. Setiap kali pulang ke rumah bawalah senyuman sekali. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan merasa bahagia dan rahmat pasti akan turun.
3. Telefon atau hantar pesanan whatsApp untuk menyatakan yang anda sayang atau rindu pada isteri.
4. Sentiasa hiburkan hati isteri dan anak-anak dengan bercerita, buat lawak atau bergurau senda.
5. Sesekali ajaklah isteri untuk mandi bersama sambil bergurau senda sebagaimana Sunnah nabi untuk mengeratkan lagi rumah tangga.
6. Ambil berat kehendak isteri.
7. Didik isteri dengan lemah lembut dan berhikmah.
8. Taat kepada perintah Allah.
Isteri
1.Taat kepada perintah suami. Apabila suami meredhai isteri maka Allah akan meredhai rumah tangga tersebut.
2. Menjaga maruah diri dan harta suami. Tidak menceritakan masalah rumah tangga kepada orang lain.
3. Menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumah tangga. Perkara ini nampak seperti tidak penting tetapi ingatlah kebersihan merupakan satu cara untuk menarik malaikat rahmat kerap mengunjungi kita.
4.Menjaga dan mendidik anak-anak dengan sempurna.
Anak-anak
1. Sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa dan mendengar apa sahaja nasihat dari mereka.
2. Menjaga diri dan maruah keluarga. Anak yang baik akan sentiasa menjaga maruah keluarga agar tidak terpalit ke arah yang boleh merosakkan keluarga.
3. Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa.
4 Perkara Untuk Tindakan Bersama
1. Sentiasa bertolak ansur dan menjadi pendengar setia setiap masalah ahli keluarga.
2. Sentiasa berkongsi masalah dengan keluarga sahaja.
3. Ambil lah masa untuk makan bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
4. Solat berjemaah. Inilah paling penting dalam membentuk keluarga bahagia.
Suami sebagai nakhoda atau jurumudi perlu bijak untuk mengharungi badai rumah tangga, begitu juga dengan isteri sebagai pembantu. Bantulah suami anda dengan penuh taat setia, Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kucing dipukul & disumbat dalam longkang tanpa sebab, wanita kongsi "manis" jadi mangsa jiran benci kucing. Tular di media sosial, seekor kucing bernama "Manis"...