Tak Guna Kos Mahal Pun Nak Hilangkan Penat, Amalkan Zikir Fatimah Dah Lebih Dari Cukup!

Share

Sesetengah wanita mungkin cuma suri rumah tetapi kebanyakan isteri zaman sekarang ramai mengeluh penat dan stres dek kerana tugas yang tak menang tangan. Tambah pula mereka bukan hanya bergelar ibu yang hanya mengurus rumah tangga, malah ada turut bekerja mencari rezeki dari rumah.

Lama kelamaan wanita itu mulai rasa sakit kepala, teramat sangat. Sampai satu tahap dia mudah berasa marah bila mendengar suara bayi kecil menangis. Inilah yang bahaya, risau anak menjadi mangsa!

Isteri Wajib Berehat, Cari Masa Bertenang

Dalam keadaan ini, sebenarnya apa yang kaum ibu ini perlukan untuk merasa lebih baik adalah masa bertenang.

Jangan risau, masa bertenang tidak perlukan kos yang tinggi atau mewah, pergi bercuti atau melancong merata, makan sedap-sedap di luar dan upah pembantu rumah. Masa bertenang adalah tempoh bersendiri.

Ya, kalau tanya pada kaum wanita yang sudah bergelar ibu sendiri, pastinya dia suka kalau suami hadiahkan beg dan baju mahal, bagi voucher spa, sauna atau bagi duit suruh shopping atau bagi masa suruh tengok wayang . Tetapi kalau tidak mampu semua itu baik dari segi kewangan ataupun masa, tolonglah beri masa kepada isteri untuk dapat masa bertenang 15-30 minit sehari. Itu pun dah cukup.

Cara Lain Hilangkan Penat Wanita

Namun ada juga wanita lebih puas meredakan kepenatan ini dengan berehat, bercuti dan juga ke spa untuk rawatan tubuh. Hakikatnya dalam Islam sendiri telah tersedia penawar kepenatan ini melalui amalan Zikir atau Tasbih Fatimah yang diajarkan sendiri oleh Rasululullah s.a.w kepada puterinya Saidatina Fatimah r.a.

Rujuk hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, satu hari puteri Rasulullah s.a.w, Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talib r.a tentang tangannya berasa sakit dan keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukannya.

Saidatina Fatimah kemudian datang menemui ayahandanya baginda Rasulullah s.a.w untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah s.a.w dan hanya bertemu dengan Saidatina Aisyah.

Kemudian Saidatina Fatimah meninggalkan permintaannya kepada Saidatina Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Apabila Rasulullah tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya.

Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya yang ketika itu telah berbaring di tempat tidur. Keduanya mahu berganjak bangun ingin menghampiri baginda akan tetapi Rasulullah meminta mereka tetap di tempat perbaringan.

Dan baginda bersabda;

“Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim, no: 4906)

Maka disaran kepada ibu-ibu yang berasa penat setelah melakukan tugas-tugas harian dan jaga anak kecil supaya mengamalkan Zikir/Tasbih Fatimah ini setiap malam sebelum melelapkan mata.

ZIKIR/ TASBIH FATIMAH

Allahu Akbar – 34 kali

Subhanallah – 33 kali

Alhamdulillah – 33 kali

Kadang walau tidur tetapi otaknya masih tak berehat. Manalah para ibu ini tak alami sindrom kepenatan yang berterusan.

Nak elak daripada emosi tercedera, sentiasalah didiklah hati untuk ikhlas melakukan semua tanggungjawab agar tak merasakan ia sebagai bebanan yang memenatkan walaupun dia tetap perlu menjalankan tugas seorang isteri dan ibu.

Published by
Nadia