Semua orang nak kurus dengan cara mudah. Sebab itulah mudah sangat pengasas produk untuk melangsingkan badan menjual produk sebegini.
Jual lah apa sahaja sudah pasti mereka yang ingin kurus dengan cara mudah pasti akan tertarik untuk menggunakannya.
Saya juga tidak terkecuali. Tetapi cara saya tidaklah drastik untuk mengurangkan berat badan. Sekadar untuk kurangkan berat agar kaki dan lutut tidak sakit untuk berjalan.
Beberapa tahun dahulu saya pernah mengambil produk minuman untuk mengurangkan berat badan. Mahal jugalah produk itu.
Dalam sebulan saya habiskan lebih kurang 300. Selain makan produk itu saya juga kawal pemakanan dan bersenam. Hasilnya dalam masa 6 bulan saya dapatlah capai sasaran berat yang ingin dikurangkan.
Selepas berjaya dengan berat yang diinginkan , saya mudah lupa. Tidak ada lagi kawalan pemakanan. Senaman pun sama. Akhirnya berat saya kembali kepada berat asal.
Adakah saya menyesal kerana usaha lalu telah sia-sia?
Sebenarnya tidak. Kini setelah berumur 40-an, saya sudah malas untuk fikir mengenai berat badan. Kini saya lebih banyak fikir mengenai kesihatan.
Saya puas hati dengan berat saya sekarang. Mungkin berat dan tinggi saya tidak menepati BMI. Mungkin saya agak berisi daripada orang lain. Tetapi saya tidak kisah. Yang penting saya bebas untuk buat apa saya suka.
Sekarang ini apa yang saya amalkan mudah sahaja.
1. Saya akan makan seperti biasa tetapi kawal pengambilan makanan. Saya akan pastikan ada karbohidrat, protein dan sayuran. Makanlah apa sahaja yang anda suka. Kata kuncinya di sini adalah makan dengan sederhana.
2. Saya juga akan pastikan makan buah-buahan dengan kerap. Bukannya apa, melalui cara ini saya dapat memastikan pengambilan serat yang mencukupi. Mudah untuk proses pencernaan berlaku. Paling bagus cara ini dapat memastikan saya dapat buang air besar setiap hari.
3. Saya juga akan cuba minum air kosong dengan banyak. Setakat ini saya hanya mampu minun lebih kurang satu liter air kosong sahaja sehari. Kalau ikut pakar, mereka manyarankan agar minum lebih daripada itu. Saya tidak mampu dan tidak pernah paksa diri. Kenapa kita perlu ikut kata orang kalau diri tidak mampu. Kalau saya teringin minum air manis, saya akan minum tetapi hanya sekali sahaja dalam sehari. Gula penting juga untuk tenaga.
4. Saya agak jarang bersenam. Tetapi setiap hari saya akan cuba berjalan. Biasanya saya akan berjalan dari rumah ke stesen lrt yang terletak lebih kurang 1 km dari rumah. Dapatlah juga saya bakar kalori. Jika boleh, saya akan cuba turun dan naik tangga di pejabat. Dapat juga bakar kalori. Mungkin sikit tapi sekurangnya saya dapat pastikan jantung saya berdegup dengan kencang.
Mungkin cara saya ini pakar pemakanan dan dietitian tidak setuju. Tetapi inilah hakikat hidup. Mungkin ramai juga yang melakukan cara yang sama seperti saya.
Mudah cara saya ini. Saya rasa seronok walau berat tidak turun mahupun naik. Asalkan saya senang hati dan rasa bertenaga sudah cukup. Kenapa perlu hipokrit. Jangan bebankan diri dengan hal-hal remeh.
Enjoy our life!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI