Setahu saya selama ini hanya isteri sahaja yang bermadu. Menerima seorang wanita lain sebagai ‘tuan punya bersama’ ke atas suami memang sesuatu yang sangat menyakitkan. Tapi bagaimana kalau isteri pula yang ‘madukan’ suami tanpa sedar? Apa maksud tu ye?
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga penulis ruangan NOTA UNTUK ISTERI dalam majalah MINGGUAN WANITA.
Sekarang saya telah faham bahkan mengerti hikmah kenapa bukan suami yang dimadukan. Bayangkan suami mendapat berita yang dia terpaksa menerima seorang lelaki lain sebagai tuan punya bersama isterinya yang jelita itu. Saya pasti setiap hari doktor dan pemandu ambulan tidak sempat balik ke rumah.
Namun bagaimana jika ramai isteri tidak sedar yang mereka telah ‘memadukan’ suami masing-masing secara tidak sengaja?
Mereka lebih seronok melayan telefon daripada bersama dengan suami. Mereka menatap ‘media sosial’ dalam telefon itu lebih menyeronokkan berbanding bercakap-cakap atau melayan suami.
Isteri begini bukan curang. Mereka bukan ada lelaki yang terlalu istimewa dalam telefon itu tetapi apabila melayari telefon itu mereka seperti ketagih. Anda faham maksud ketagih?
Walaupun suami ada di depan muka, tetapi ada rasa ‘tidak boleh tahan’ untuk melihat apa yang ada di dalam telefon. Mengikut Kamus Pelajar Edisi Ke-2 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, ketagih itu bermaksud ‘terlalu sukar untuk mengatasi’. Pernahkah anda rasa begitu?
Anda mungkin berselindung dengan alasan kerja, masalah kawan atau saja-saja apabila suami mula tidak selesa. Dari sudut emosi, apabila kita menjawab e-mel, membaca atau membalas pesanan rakan-rakan dalam telefon, minda dan emosi akan teruja. Degupan jantung dan tekanan darah meningkat apabila hormon Cortisol mula dilepaskan dalam saluran darah.
Hormon ini adalah perangsang ‘stress’ yang memberi kesan positif atau negatif bergantung kepada keadaan. Pada masa yang sama hormon Dopamine
iaitu hormon ‘rasa seronok’ juga masuk.Gabungan kedua-dua hormon ini memberi kesan ‘suami boleh dilayan kemudian’ kepada isteri. Apabila perasaan itu telah menakluki akal, jari akan bergerak turun-naik pada skrin telefon untuk mencari berita, gambar atau pesanan lain bagi mendapatkan lebih dorongan rasa ‘stress’ dan ‘seronok’ .
Jangan sangka suami tidak perasan keadaan ini. Dia lelaki dan orang lelaki ditugaskan untuk menjaga bumi dan alam semesta ini. Pasti dia nampak dan rasa dipinggirkan pada kadar tertentu. Dia mungkin cukup sopan dengan bertanya ”Seronok nampak?” atau “Apa yang senyum-senyum tu?”.
Oleh kerana terlalu asyik dengan telefon itu anda tidak dengar soalan dia tadi dan ketika itulah derita suami bermula. Sudahlah isteri memadukannya tanpa rela dan sekarang bermesra pula di depan mata. Anda mahu tahu rasanya bagaimana? Bayangkan suami anda bercumbu dengan madu anda yang lebih cantik dan lebih muda di depan muka anda. Apa rasa? Seronok?
Apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini? Tidak ada jalan lain. Disiplin! Apabila anda berada di rumah, tutup telefon.
Tidak ada yang lebih penting daripada anak-anak, suami dan rumah tangga. Sekiranya anda rasa anda sudah mengalami ketagihan telefon yang teruk, cabarannya untuk melawan ketagihan ini pasti hebat. Ini kerana apabila anda mula menutup telefon di rumah, kesan kedua-dua hormon tadi masih ada dan meraung minta dipenuhi.
Gantikannya dengan apa yang ada dalam rumah. Bercakap-cakaplah dengan suami dan anak-anak. Hias rumah, cantikkan bilik tidur, baca buku agama atau lain-lain aktiviti yang bukan berkaitan dengan apa yang ada dalam telefon.
Mungkin selepas ini kita buat slogan ‘Ketagih Dadah Hidup Sengsara. Ketagih Telefon Rumah Tangga Merana’.